@rubiadaibrahim

Sunday, February 21, 2010

3i1-3:Perempuan Melayu Terakhir!


”Malam ni ayah nak makan masakan Along. Tak kisah la apa pun. Telur goreng pun takpe asalkan Along yang masak. Angah jangan kesian dekat Along, biarkan dia masuk dapur seorang je!”. Tegas permintaan ayah kedengaran di telinga. Lebih kepada arahan dan selalunya arahan ayah tak mampu aku bantah.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal, sedangkan Angah memandang ayah dengan raut tak percaya. Tak percaya dengan permintaan ayah yang bakal membuatkan semua ahli keluarga kami sakit perut tentunya. Mana tak sakit perut kalau nasi mantah jadi hidangan, telur hangit jadi makanan dan potongan buah tak ada bentuk jadi santapan. Aku menagih simpati pada ibu, ibu mengangkat bahu.Tak ada kompromi nampak gayanya. Aku terpana, nak tak nak permintaan ayah harus aku terima juga.

” Tak best la kalau Along kena masuk dapur seorang. Paling tidak, Angah kena la teman Along. Along janji Along buat semua, just Angah bagi arahan je. Boleh ye ayah?”,rayuku dengan suara lirih.

Ayah memandang ibu. Bila ibu menganggukkan kepala, aku tersenyum senang. Tangan Afiq aku capai dan tarik agar mengikuti langkah aku ke dapur. Tapi laungan ayah membuatkan langkah aku terhenti.

” Angah jangan simpati sikit pun dekat Along ni tau. Kalau ayah nampak Angah yang banyak buat kerja, lepas ni Along kena masuk dapur setiap hari!”.

Pesanan ayah membuatkan aku menggarukan kepala sekali lagi. Aisyh, susah juga kalau hidup aku berubah 360o ni. Mungkin kerana tak mahu aku menghabiskan cuti selama sebulan dengan mengerjakan tugas dapur semata-mata, akhirnya Afiq mengatakan persetujuan dengan syarat ayah. Nampak gayanya, telur goreng jadi telur garing sampai hangit la sekejap lagi.
-----------------------------------------
” Angah, jangan la jadi mandur tak bergaji je. Tolong la sikit-sikit. Basuhkan telur ke apa ke? Kesian la dekat Along. Kasar la tangan kalau macam ni”, rayuku pada Afiq yang hanya tercegat memerhatikan aku.

Afiq buat-buat tak dengar dengan permintaan aku. Aduhai, susah juga kalau dapat adik taat setia ni. Akhirnya aku bergerak ke sinki, membasuh telur dan sayur-sayur lain yang dah dikeluarkan dari peti.

” Angah kasi la idea nak masak apa? Along mana tahu sangat bab-bab masak-masak ni. Please”.

Rayuan aku disambut gelak tawa Afiq. Aku menjengilkan mata dengan gelagatnya.

” Alahai, ingatkan dah tahu nak masak ape tadi. Siap keluarkan semua benda dalam dari dalam peti lagi. Erm, kalau ikutkan Along nak masak ape je?”,soal Afiq kembali.

Aku mengangkat bahu. Kalau ikutkan hati aku, aku masak nasi dengan telur goreng je. Tapi tak glamor lah pula bunyinya. Itu makanan orang bujang bukan makanan untuk keluarga tersayang. Kalau aku dengan si Afiq je boleh la layan. Ni nak bagi ibu, ayah, Aisyah sekali. Dengan keadaan ibu yang tengah mengandung, makanan seimbang tu kenalah ada. Tak sihat pula bakal adik aku nanti.

” Angah kasi idea jelah ye. Tapi Along kena buat semua. Kalau takat potong-potong tu, Angah boleh tolong. Tapi dari part menumis sampai siap, Along buat sendiri la. Kalau tidak, tak boleh la kita menikmati cuti-cuti Malaysia. Angah nak juga merayap-rayap dengan Along yang rock nih!”,tambah Afiq lagi.

” Ok, Along buat. Angah rasa apa makanan yang ibu paling suka? Yang ok untuk kandungan ibu juga?”.

Soalan aku dibiarkan tak berjawab. Pantas juga Angah mengambi dua biji bawang merah, dua biji bawang putih dan sepaket rempah sup sayur dari rak barang-barang basah. Kemudian, laju juga tangannya mencapai seikat sawi, lobak merah dan brokoli dari bekas sayur di dalam peti. Aku hanya tercengang memandang tindakannya. Pantas benar, jelas terbukti Afiq dah terbiasa dengan kerja-kerja dapur selama ini.

” Setiap hari, Angah masak sup sayur untuk ibu. Kalau yang lain, ibu suka makan kerabu mangga dengan sayur lemak ikan masin. Tapi tu kita masak lain kali jelah. Untuk makan malam ni, Angah suggestkan Along masak telur goreng, ikan bawal masak merah dengan sup sayur je”, ujar Afiq sambil mengeluarkan bekas berisi bawang dan cili kering yang dah dikisar dari dalam peti.

Aku menganggukkan kepala. Mendengar kata-kata Afiq, semuanya mudah belaka. Tapi nak membuatnya, menitis jugalah peluh ke bumi. Siapa suruh mengelat dari buat-buat kerja dapur, kan susah hidup. Alahai, menyesal pula rasanya melawan ibu sebelum ni. Nak kata tak reti, segan pula dengan Afiq yang serba tahu. Nak melawan cakap ayah, tak mahu digelar anak derhaka pula. Dalam rasa serba tak kena, aku menyambut huluran tangan Afiq. Nak tak nak, kenalah aku melatih diri jadi CIK SERBA TAHU malam ni.

”Angah”, jeritan ayah dari ruang tamu membuatkan Angah segera berlalu meninggalkan aku. Nampak gayanya, terpaksa berkelana seorang dirilah nampak gayanya di dapur. Tanpa pesan, tanpa panduan aku harus melaksanakan amanah ayah pada aku. Susah juga nak senang ye? Ya Allah, permudahkan segalanya.
------------------------------------
Kalut sungguh aku rasakan bila keseorangan di dapur menyelesaikan kerja-kerja memasak. Ibu pula memang tak tahan dengan bau dapur dah pun masuk ke bilik. Hanya aku sendiri di sini, pandai-pandailah mengatur hidup sendiri. Aisyah juga tak ada untuk membantu. Kalau pun Aisyah ada, sudah tentu ibu melarang dari dia turun ke dapur. Bimbang kalau Aisyah terkena minyak panas akibat tingkah aku yang ganas barangkali.

Ralit memotong sayur, tak sedar pula ikan bawal yang dah hangit di kuali. Panik sungguh aku dibuatnya. Terkejar ke sana, terkejar ke sini. Akhirnya, aku mematikan api dapur. Aku duduk di kerusi dan merancang satu persatu kerja yang harus aku lakukan. Biar lambat, asal selamat.

Segala kerja yang berkaitan dengan potong-memotong aku laksanakan terlebih dahulu. Aku cuba mengingat perilaku ibu tatkala ibu di dapur. Ibu akan membasuh sayur-sayuran terlebih dahulu sebelum memotongnya. Aku pandang sayur yang dah tak rupa sayur di depan mata. Saiznya tak sama, batangnya ada yang kecil dan tak kurang juga yang terlebih besar. Kalau beginilah rupanya, ramai yang tercekik la bila makan masakan aku nanti.

Aku menyusun batang-batang sawi dan memotongnya dengan saiz yang sama. Kelakar juga rasanya bila terpaksa mengambil ukuran sebelumnya agar saiznya sama. Bila sampai waktu memotong lobak, aku bingung harus memotong bagaimana. Selama ini, tahu makan je. Bila macam ni, aku memutuskan untuk memotong seperti yang aku makan di dewan makan. Agaknya itulah cara potongan terbaik kot sebab masak untuk semua orang. Lobak aku potong dadu.

Bab potong bawang merah ni aku lemah sikit. Bukannya apa, pedihnya boleh tahan. Tak pasal-pasal aku jadi ratu airmata di dapur sekarang ni. Kalau orang tengok, confirm dia orang gelakkan aku sebab aku yang ROCKY ni menitiskan airmata. Mujur la takde orang. Selamat hidup aku dari kena ejek.

Aku menjeling sekilas ke jam dinding. Dah hampir pukul 8 malam. Nampak gayanya dah sejam lebih aku di dapur tapi tak ada satu pun makanan yang siap. Aku bergegas memasang api dapur. Menggoreng telur dan ikan. Satu dapur lagi aku hidupkan dan tumis bahan-bahan untuk sup sayur. Selesai menggoreng telur dan ikan bawal, aku menggunakan dapur yang sama untuk memasak ikan bawal masak merah. Merah ke pink ke, aku tak kisah dah. Yang penting, aku dapat buktikan aku boleh buat. Anak ayah dan ibu ni, bukan calang-calang orang. Rocky..rocky Atiqah pun, Atiqah tetap anak perempuan ibu. Perempuan Melayu Terakhir lagi!
--------------------------------------
Hampir jam 9, ayah dan Afiq pulang ke rumah dari masjid. Aku menyambut kepulangan mereka dengan senyuman. Mahunya tak bangga, aku berjaya menyelesaikan permintaan ayah sebagaimana yang ayah harapkan. Tanpa bantuan dan tanpa petunjuk dari siapa-siapa. All alone!

Melihat muka aku yang bangga benar, Afiq berlalu ke dapur. Cuma sebentar dan dia kembali semula dengan raut wajah tak percaya. Aku masih mempamerkan senyuman bangga.

“ Tak percaya la Along boleh masak semua tu. Betul la apa yang ayah cakap, Along bukannya tak reti. Tapi Along sengaja buat-buat tak reti selama ni”, puji Afiq sambil menunjukkan ibu jarinya pada aku.

“ Mestilah betul apa yang ayah cakap. Ayah kenal anak ayah. Kalau Along boleh jadi perempuan melayu terakhir, ayah nak Angah jadi lelaki melayu terhebat pula lepas ni. Tak ada lagi, cakap lemah gemalai macam sekarang. Kena jadi anak lelaki ayah yang smart dan hebat!”, komen ayah pada pujian ayah.

Perlahan-lahan Angah menganggukkan kepala. Berbanding aku, Angah lebih mudah menurut kata dan hatinya lebih lembut. Kalau aku, melawan jelah jawabnya. Dah puas melawan, barulah aku memikirkan baik buruk segala keputusan ayah. Ayah tersenyum senang dengan kepatuhan Angah, bangga benar kerana anak-anaknya berubah seiring dengan harapannya. Ye ke harapan ayah dah tercapai?
-------------------------------------
“ Ya Allah , Ya Rabbi, Along masak lauk je ke? Nasinya tak ada”, jeritan Aisyah disambut ketawa kecil yang lain.

Aku menganggukkan kepala, dibibir tersungging sengihan malu. Afiq segera bangkit ke melihat periuk nasi yang diletakkan di atas kabinet dapur. Afiq mempamerkan senyuman manis. Aku memandangnya pelik.

“ Lupa-lupa Along pun ada nasi turun dari langit ni. Selamat perut kita malam ni, tak payah berlapar”.

Seloroh Afiq disambut ketawa ibu. Ibu pantas menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Aku sekadar memerhatikan tindakan ibu. Kemudian, ayah membacakan doa makan. Kami mengaminkan doa yang dibaca ayah dan mengisi lauk ke dalam pinggan masing-masing.

Aisyah menyuap nasi ke mulutnya sebaik sahaja semua lauk berada di pinggan. Mungkin kerana terlalu tergopoh-gapah makan, Aisyah tersedak. Panik juga aku dibuatnya. Pantas ayah menggosok belakang badan Aisyah.

“ Kenapa telur goreng Along ni masin sangat. Macam ikan masin rasanya”,komen Aisyah menyentakkan aku. Aku tak jadi menyuap makanan. Kenapa yang lain tak memberik komen pun pada lauk aku.Mungkin semuanya mahu menjaga hati aku.

“ Mana ada masin, Ecah je dapat part masin tu kot. Angah ok je ni. Sedap wo apa yang Along masak ni!”, protes Afiq sambil menyuap makanan ke mulutnya.
Tapi tak lama kemudian, Afiq berlalu ke sinki. Dia memuntahkan makanan yang baru dimasukkan ke mulutnya. Aku memandang muka ayah dan ibu, kemudian beralih pada Angah yang dah jadi serba tak kena. Aku menolak pinggan ke depan, membasuh tangan dan segera berlalu meninggalkan mereka. Biarpun suara ibu lembut menampar telinga, aku tak berpaling. Nampaknya aku gagal mewujudkan kepercayaan ayah dan ibu buat kesekian kalinya. Entah dirasuk apa, ada air hangat yang mengalir dari mata. Kesal kerana usaha aku tak sedikit pun dihargai.
--------------------------------
Aku bingung. Rasanya tak sewajarnya aku bertindak meninggalkan mereka di meja makan sebentar tadi. Bukan salah mereka kalau mereka berkata begitu kerana memang aku tak ada kemahiran memasak. Tapi bukan salah aku sepenuhnya juga. Ibu tak turun memberi tunjuk ajar, Angah pula hanya memberi idea tanpa sempat menyelia kerja-kerja aku. Ya, memang aku gagal sekali lagi.

Tapi kata orang gagal sekali bukan gagal selamanya. Aku tekad akan memperbaiki kesilapan aku hari ini. Kalau tanpa komen dari Aisyah, tak mungkin aku tahu di mana kekurangan aku. Mungkin selamanya aku akan merasa hebat dan tak sedikitpun aku memperbaiki kekurangan diri. Jadi, seharusnya aku bersyukur kerana ada mereka. Ya, seharusnya aku berterima kasih atas teguran mereka. Bukan rasa rendah diri dan merajuk seperti tadi.

Kruk...kruk..Alahai, perutku ini bergendang pula disaat aku melayan perasaan. Nak tak nak, terpaksalah aku menjejakkan kaki ke dapur di tengah malam yang sunyi sepi begini. Aku menolak selimut ke tepi dan bergegas bangun. Perlahan-lahan, aku melangkah keluar dari bilik.Ada nota kecil dilekatkan di pintu bilik. Aku baca perlahan.

“ Terima kasih Along sebab dah masakkan untuk kami semua. Jangan sedih sebab apa yang Aisyah kata. Sebab kritikan Aisyah tu akan membuatkan Along lebih semangat lagi. Kami hargai apa yang Along buat hari ni. Wait for next dishes dari Along. Terima kasih sayang. We all love you-Ayah, Ibu, Angah, Ecah”.

Aku tersenyum sendiri selesai membaca nota dari ibu dan ayah. Setiap ayat tulisannya berbeza-beza. Ayat pertama dari ayah, ayat kedua dari ibu, ayat ketiga dari Angah dan ayat keempat dari Aisyah. Ayat yang terakhir gabungan tulisan mereka. Sungguh, rasa terharu menyelinap segenap hati. Aku juga sayang pada mereka semua.
Kerana mereka, aku akan berubah kearah lebih baik. Itu janji aku. Ya, demi mereka yang aku sayang, aku nekad menjadi anak terbaik buat ibu dan ayah, kakak teladan buat Angah dan Ecah. Perlahan-lahan aku turun ke dapur. Aku buka tudung saji, terkejutnya bukan main kerana bukan lauk yang aku masak ada di situ. Tapi makanan kegemaran aku, ikan patin masak tempoyak dihidangkan dengan ada nota kecil di tepinya.

“Ibu masak special untuk Along sayang. Selamat menjamu selera!”.

Memang perempuan melayu terakhir dah jadinya kerana aku makan dengan linangan air mata di pipi. Terharu!

4 comments:

Liyana said...

hehehehe...
comey nye....

mizd said...

excited ye nk cite ni...
lme da xde n3 bru..
besh sgt~~~~

Kak Mina() said...

Memang susah nak jadi perempuan melayu terakhir ni, especially bab memasak ni. Dulu kala, masa belum kawin, akak lebih rela berjalan 5 km pergi membeli nasi goreng daripada memasak nasi atau masak mee maggi... ada kawan akak lagi dasyat, ada seorang tu, jerang air pun boleh hangit....he he he... nilah bila asrama memanjakan kite...

MaY_LiN said...

xpe..
practice make perfect