@rubiadaibrahim

Monday, March 1, 2010

3i1-4:Cinta Monyet?


Harum bau nasi lemak membangkitkan aku dari tidur. Tak memperdulikan rambut yang mengerbang dan gigi yang belum bergosok, aku bingkas ke dapur. Ibu tersengih melihat aku. Afiq mengggeleng kepala, buruk sangat rupa aku agaknya.
“ Muka penuh air liur basi, terus nak makan ke Along?”, soal Afiq sambil menyendukkan nasi ke dalam pinggan di atas meja.
Aku tidak membalas pertanyaan Angah, punggung aku labuhkan di kerusi sebelah ibu. Ibu memandang aku dengan raut tak percaya.
“ Along pergi cuci muka dulu. Kumur-kumur mulut seribu kali tak mahu gosok gigi sekalipun. Mual tekak ibu tengok Along macam ni. Kalau orang tengok, malu ibu!”, arah ibu pula.
Malas nak melawan dan sedar keadaan ibu yang berbadan dua, laju aku melangkah ke sinki. Ibu memandang aku dengan raut tak percaya. Apa yang nak dipelikkan ibu? Anak ibu ni dah jadi anak perempuan terbaik sepanjang zaman lah!
“ Kalau Along dah berubah macam ni, sejuk perut ibu mengandung”. Ulasan ibu aku sambut dengan senyuman di bibir. Aku duduk kembali di sebelahnya. Tiada protes seperti sebelumnya. Bila aku mahu menyuap nasi ke dalam mulut, pantas ibu menegah tindakan aku.
“ Tunggu ayah dengan Aisyah dulu. Kita makan sama-sama. Dah malam tadi Along merajuk, hari ni kenalah Angah dan ibu pujuk”, ujar ibu tenang.
Afiq tersengih memandang aku yang menahan malu. Bila kedengaran suara ayah memberi salam, Afiq bergegas membuka pinta dengan lengggoknya seperti selalu. Tak hilang lagi kelakuan lembutnya biarpun sudah hampir setahun ayah memberikan pendidikan tegas pada Afiq. Ayah bertegas supaya angah berubah sikap kepada lebih pada anak jantan. Tapi nampak gayanya terlalu sukar.
Tambahan pula, Afiqlah tulang belakang ibu mengerjakan kerja-kerja rumah. Ketiadaan aku membuatkan Afiq kekal dengan dunia yang bukan untuknya. Sepatutnya aku yang melakukan kerja-kerja Afiq. Dari perihal memasak hinggalah ke menyambut ayah. Tapi dunia dah terbalik pula! Kalau nak kembalikan ke tempat sepatutnya, sempat lagi tak ye?
---------------------------------------------------
“ Apa yang dimenungkan tu Along?”, sapaan ayah mengundang rasa serba tak kena.
Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Ibu tersengih memandang aku, tahu sangat dengan perangai aku yang nak menutup rasa malu yang bertandang. Ayah mengambil tempat dan mengarahkan Afiq membaca doa. Aku memandang ayah, ayah memandang Afiq.
“ Angah kan lelaki, kenalah belajar jadi pemimpin dari sekarang. Bukan kerja Along lagi!”, tegas ayah.
Afiq akhirnya memimpin bacaan doa, mengambil alih tugas yang sebelumnya aku lakukan tanpa pernah disuruh. Doa aku aminkan perlahan. Selesai berdoa, laju aku menyuapkan nasi ke dalam mulut. Ayah tersengih melihat gelagat aku. Pelik dengan gelagat aku yang tak ubah macam setahun tak jumpa nasi agaknya.
“ Nasi lemak dekat asrama tak best langsung. Nasi OK, tapi sambal KO! Tapi apa boleh buat, sumbat jelah dalam perut. Kalau tidak, keperempeng la Along dekat sana”, cerita aku tanpa dipinta.
Ibu dan ayah tersenyum mendengar rungutan aku kerana mereka juga pernah mengalami hal yang sama ketika zaman persekolahan dulu. Tapi lain pula reaksi Afiq dan Aisyah, buntang matanya memandang aku. “ Apahal pandang Along macam tu? Tak percaya apa yang Along cerita ke? Kalau tak percaya, masuk la asrama. Promosi tak berbayar ni!”, selorohku.
Aisyah memandang aku dengan raut tak percaya dan Angah tekun mendengar cerita aku. Mungkin tak menyangka sebegitu parahnya makanan di asrama. Itu baru kisah nasi lemak. Kalau aku buka cerita pasal ikan jaket, alamatnya semangat Aisyah yang berkobar-kobar nak masuk asrama tingkatan 1 nanti hilang serta-mertalah jawabnya. Melihat muka Aisyah yang dah berubah, pantas ayah membetulkan tanggapannya. Timbul juga sisi baik tinggal di asrama biarpun hati aku memberontak kuat menafikannya.
“ Bukannya semua benda dekat asrama tu buruk. Ada juga sisi baiknya. Kita kenalah fikir positif semua benda dekat asrama tu.Jadual dekat asrama tu lebih teratur dan melatih pelajar jadi berdisiplin. Tengok la Along sendiri, kalau dulu dapat nombor 1 dari belakang, sekarang dah dapat no 1 dari depan. Disebabkan makanan tak best dekat sana, balik rumah Along dah mula belajar memasak. Dan apa yang paling ketara, Along lebih bertanggungjawab sekarang ni”, jelas ayah panjang lebar.
Muka Aisyah yang tadinya tak keruan dah berganti dengan senyuman. Sedangkan aku mati kata-kata. Dalam protes di hati, aku tetap mengakui kebenaran kata ayah. Aduhai, kalah lagi!
------------------------------------
Bila ayah mengumumkan perancangan untuk kembali ke kampung di Pahang selama 2 minggu cuti sekolah, akulah manusia yang paling gembira. Manakan tidak, saat inilah yang aku paling nantikan sejak awal kembali ke rumah. Kembali ke Kampung Janda Baik yang tenang dan damai pastinya satu kemestian bagi aku, cucu pertama dalam keluarga dalam ayah. Kalau kami tak pulang, pastinya Wan akan tertunggu-tunggu.
“ Kalau ayah sebut je pasal balik kampung, Alonglah manusia paling happy. Angah dengan Ecah pula monyok semacam je. Takut kena buli dek Ali ye?”, soal ayah kepada Afiq dan Aisyah yang hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang.
Afiq mengangkat bahu. Aku tergelak kuat dengan reaksinya, faham benar dengan sikap penakutnya pada Ali. Sepupu aku paling kasar dan suka mengenakan orang. Masih terbayang diingatan, sampai terkencing-kencing Afiq bila disakat dengan katak pisang. Aku pula sama nakalnya dengan Ali, habis semua sepupu yang lain aku kerjakan.
“ Ha, Along balik kampung ni tak boleh nak mengakat orang dah. Ayah hantar sana bukan nak Along jadi makin nakal dan bersekongkol dengan Ali”.
Kata-kata tegas yang lahir dari mulut ayah mematikan senyuman yang bermain di bibir. Afiq dan Aisyah menutup mulut, menahan ketawa dengan muka terkejut aku. Belum sempat aku mengeluarkan kata protes, ayah menyambung bicaranya. Satu harapan tinggi yang sukar untuk aku capai aku kira.
“ Ayah harap sangat anak ayah ni belajar uruskan rumahtangga dengan Wan.Kalau takdir Along kena besarkan adik-adik seorang diri nanti, Along dah tahu apa nak buat. Tak terkial-kial nak minta tolong orang. Insyaallah, Along boleh tunaikan harapan ayah ni. Bukan harapan ayah je tapi harapan ibu juga”, sambung ayah sambil tersenyum meleret pada ibu.
Ibu menganggukkan kepala, mengiyakan kata-kata ayah. Sedangkan aku tergamam dan hilang kata-kata. Kalau beginilah tingginya harapan mereka, makin tinggilah juga semangat yang harus aku tanamkan. Tapi kata-kata ayah mengundang rasa kurang senang di hati. Kenapa kata-kata ayah seakan wasiat pula bunyinya. Ah, mungkin hanya mahu menyedarkan aku. Kalau tidak, tak lahir keinsafan dalam hati. Demi mereka, aku akan tanamkan azam dalam diri dan aku akan terus berusaha supaya harapan ayah dan ibu bukanlah sekadar mimpi.
-----------------------------------------
Menjalani latihan anak dara minthali di rumah Wan memang perlu banyak bersabar. Belum puas membalas hutang tidur, syarahan pagi dari Wan dah bergema.
“ Anak dara, bangkit la oi. Takkan nak tunggu sampai langkah dek burung kepala? Kalau macam tu, rezeki dapat lambat, hidup kurang berkat”.
Seawal jam 5 pagi, Wab sudah menggerakkan aku supaya bangun. Disuruh solat tahajjud dan mengaji hingglah Subuh berkumandang. Selesai solat, harus turun ke dapur dan menyediakan sarapan pagi. Ajaran nenek tak ubah seperti di asrama. Biasanya, pukul 5 dah ada bacaan Al-Quran dipasang dan pelajar-pelajar digalakkan bangun untuk solat sunat. Tapi seingat aku, boleh dikira dengan jari sahaja berapa kali aku menyahut seruan tersebut. Selebihnya, aku penuhi dengan tidur.
“ Kena biasakan macam ni. Kalau nak menikah nanti, tak payah nak pening-pening belajar itu ini. Hal rumahtangga uruskan sendiri, tak usah berhabis duit nak menggaji orang. Duit yang ada simpan untuk benda lain, pergi umrah ke, haji ke”.
Aku hanya melemparkan senyuman dengan syarahan Wan.Memang hebat Wan berkata-kata. Didikan Wan aku akui berkesan dan sudah jelas hasilnya. Seketika terlintas di fikiran kata-kata ayah sebelum aku mendaftar ke sekolah berasrama tahun lalu.
“ Kalau Along duduk dengan Wan, rasanya Along tak kisah nak duduk asrama. Sebab masa hari pertama ayah masuk asrama dulu, tak ada pun culture shock. Semua yang Wan ajar dekat rumah, jadual yang Wan buat tu sama macam dekat asrama. Lagi satu zaman ayah dulu, manalah ada TV ni. So, tak adalah rindu nak tengok CAKERAMA”.
Dalam tak sedar, aku tersenyum sendiri mengingat cerita ayah. Wan memang tegas mendidik anak-anaknya. Aku yang suka melawan ni tak terlawan dengan arahan Wan. Disuruh ke dapur, aku ke dapur. Disuruh ke pekan sari, aku tanpa segan silu mengikut Wan dengan bakul di tangan. Sampai diorat dek orang jual ikan jugalah Nur Atiqah bila berjalan ala-ala perempuan melayu terakhir ke sana.
Satu kebanggan dan pencapaian besar bila aku dah pandai memasak nasi dengan menggunakan dapur kayu. Tak lembik dan tidak terlalu keras nasinya. Bila nenek memuji aku, kembang jugalah pipi. Mahunya tak bangga. Setelah merah-merah mata meniup api , akhirnya berjaya juga melaksanakan permintaan nenek.
“ Orang zaman sekarang ni terlebih memanjakan anak. Hidup dah senang, anak-anak tak diajarnya hidup susah. Bila anak dah besar tak reti apa-apa, mulalah merungut. Padahal salah sendiri”.
Rungutan Wan membuatkan aku ketawa. Terbayang raut ayah dan ibu yang dah pening kepala membentuk aku. Sebagaimana janji ibu, seharusnya cuti ini ibu mengajar aku segala hal yang diserahkan pada Wan. Tapi kehamilan ibu menghalang niat suci ibu. Tak pasal-pasal juga Wan berburuk sangka dengan mereka.
“ Bukan salah ibu la nenek. Along yang degil tak mahu dengar cakap. Memang ibu nak ajar Along benda-benda ni masa cuti. Tapi dah mabuk macam tu, memang tak boleh la. Bau makanan pun dah mual. Inikan pula nak menumis itu ini”, jelasku tenang, membetulkan tanggapan Wan pada ibu.
Ibu memandang aku dengan raut tak percaya. Bila aku meyakinkan Wan bahawa ibu sedang mengandungkan adik kami, Wan menepuk dahi. Tak sangka pula ayah berahsia dengan Wan hal tersebut. Bila ayah menelefon bertanyakan khabar aku, panjang juga syarahan nenek. Pandai sangat nak sorok, dah kena ketuk!Redha jelah ayahku!
----------------------------------------
Permintaan ayah pada Wan bukan untuk mendidik aku seorang tetapi pada Afiq juga. Mungkin kerana bimbangkan perangai Afiq yang masih kekal dengan sikapnya yang lembut dari biasa, Wan diminta mengerahkan Afiq mengikuti Pak Ngah ke kebun. Muncunglah Afiq menerima arahan Wan.
“ Angah tu lelaki, buatlah kerja lelaki. Ni duduk dapur, tak macho langsung”, perliku akan rungutan Afiq.Afiq tarik muka cemberut dengan kata-kata aku.
“ Kalau Along boleh buat, Angah mestilah boleh juga. Go Angah, go..You can do it”, jeritku, memberi semangat pada Afiq. Lambat-lambat Afiq menuruti langkah Pak Ngah. Lain benar dengan aku yang pantang disuruh. Kalau bab masuk kebun, aku memang suka. Petani sejati la konon-kononnya.
“ Ayah pesan Along tak boleh masuk kebun balik ni. Along dah besar panjang, dah jadi anak dara pun. Tak sesuai lagi nak kerja panjat-memanjat ni. Sekarang kerja Along semuanya Angah yang ganti”,tegas Wan.
Wan tetap bertegas menghalang dari mengikut Afiq dan Pak Ngah ke dusun di hujung kampung. Kalaulah dusun tu dekat, dah lama aku pergi jalan kaki. Tapi memikirkan boleh nipis selipar aku, nak tak nak terpaksalah aku ganti ke masa dan waktu yang lain. Mungkin cuti lain kali la kot. Nampak gayanya, cuti kali ni tak meriah sangat la sebab acara wajib aku tak ada. Oh pokok langsat, pokok rambutan, jangan rindu dekat aku yek!
------------------------------------
“Alahai, baru tengok aku dah takut. Belum kena baling cacing lagi. Tak macho betul la kau ni Afiq”. Ketawa Ali yang kuat membuatkan aku berhenti mencabut rumput di batas sayur. Wan berpaling pada Ali yang berdiri dekat pintu pagar kebun. Jelas kelihatan muka takut Afiq pada Ali, sekongkol aku. Bimbang aku dan Ali mengerjakan dia agaknya.
“ Ali, kalau datang sini nak mengacau Afiq, baik la pergi balik. Bukan nak menyenangkan kerjaWan tapi makin menyusahkan je. Elok Afiq nak menolong, tak pasal-pasal dia terlolong pula”, marah Wan.
Ali tersengih-sengih seorang diri sebelum melangkah masuk ke dalam kebun. Dia menghampiri aku dan tanpa aku duga pantas juga dia mencabut rumput di batas yang sama dengan aku. Dari jelingan mata, aku perasan Wan tersenyum senang dengan perubahan Ali.
“ Ikutkan hati, malas nak tolong Wan. Tapi kalau tak tolong, tak boleh la nak ajak kau orang mandi sungai sekejap lagi. Nak tak nak, kena main tanah jugalah aku”, luah Ali perlahan.Senyuman aku lemparkan padanya. Aku dah agak dah, dia ada muslihat nih. Kalau tidak tak mungkinlah sampai sanggup datang ke sini.
“ Apa mimpi kau pakai kain batik turun kebun ni? Orang Kuala Lumpur dah jadi orang berlumpur nampak gayanya. Lagi satu, rasa janggal pula bila kau dah tak nakal macam dulu. Tapi kan, aku suka tengok kau macam ni.Cantik, sedap mata memandang.. Kalau betullah kau nak nak jadi perempuan Melayu terakhir dah, aku cop nak jadi calon pertama hantar pinangan. Jangan terima orang lain tahu”, tambah Ali selamba.
Dalam ketawa yang aku buat-buat, ada rasa panas yang naik ke muka. Alahai, pujian melambung si Ali ni dah buat aku kembang. Kiranya aku ni masih adalah sifat malu ala-ala perempuan Melayu ni. Tapi, biarpun bangga, aku kurang senang dengan gurauan Ali.Aduhai, serabutnya hidup. Loya tekak aku dibuatnya.Tak pasal-pasal ada kes Cinta Monyet pula dekat Janda Baik cuti ni. Oh monyet, tolong lah bawa balik cinta kau nih.

5 comments:

Anonymous said...

salam... ala abis kn cta ccb dlu.. x sbr nk tau ending dia cmne.. pls..

mizd said...

proceed ngan 3in1 pn xpe dl..
ccb kan nk d'pblish...so baik abiskan lg 2 n3 lmbt2 ckit..xde r lme sgt nk tggu kuar nvel..xr rindu ccb sgt.pe2 pn up 2 u r doc...mne2 pn bez..bikin engak sabar mau tahu aja

MaY_LiN said...

hahaha..
sesi kerahan tenaga nmpk..

Sue said...

go afiqah go.. jd la sorg pompuan yg sepatutnya.. hehehe...!

tp sian kt afiq kan! kena kerah g kebun tlg pakngah lak. eh! ali ada hati kt along dah ker? he nk kena tau gak nih!

Anonymous said...

setuju ngan org ats sekali..abeskn la satu2..tls cite byk2 tp sumer xhbs pun xsyok gak..huhu..xelok wat kje separuh jln..huhu..soriii...