@rubiadaibrahim

Tuesday, March 30, 2010

3i1-5:Setia Selamanya!


Tak dapat aku gambarkan rasa gembira di hati bila Wan mengizinkan aku mengikut Ali mandi sungai di hujung kampung. Semuanya kerana perubahan sikap aku yang makin menyenangkan hatinya dan kepatuhan aku pada kursus mengurus rumahtangga yang diikuti sebelumnya. Tambahan pula Ali telah membantunya di kebun sayur petang kelmarin. Lebih mudah urusan pujuk-memujuk Wan pagi tadi. Biarpun begitu, ada syarat yang harus dipatuhi dan diikuti. Kalau tidak, berkurung sahajalah di rumah.
            “ Nak pergi, pergilah. Tapi jangan nak buat aksi tarzan. Kalau sampai dekat telinga Wan, siap Along”. Amaran Wan aku sambut dengan anggukan kepala. Ali terkekek ketawa melihat kepatuhan aku. Sedangkan Afiq hanya diam seribu bahasa. Bimbang dikenakan aku dan Ali barangkali.
            “ Ha, lagi satu!Jangan nak menyakat Angah. Kalau dah bergeng berdua tu, macam-macam benda pelik la kau orang buat. Ali, Wan bagi Along dengan Angah pergi ni bukan sebab Ali tolong Wan semalam. Tapi sebab kesiankan dia orang dah lama teringin nak mandi sungai. Jaga dia orang berdua ni elok-elok ya”, pesan Wan sambil menghulurkan bakul berisi makanan kepada Ali.
            Ali menyambut bakul di tangan Wan sambil menganggukkan kepalanya pelahan. Kemudian, dia mengalihkan pandangannya pada aku. Aku buat-buat tak tanpa pada isyarat matanya yang mahu aku bersekongkol dengannya mengerjakan Afiq. Kalau itulah syarat Wan, nak tak nak terpaksalah aku terima. Rela tak rela, terpaksalah melupakan niat nak menyakat Afiq. Mahu tak mahu, tak ada lagilah ide-idea nakal yang menempel di dalam kepala aku.
            Ali mengeluh perlahan dengan reaksi aku. Aku buat-buat tak tahu. Sedangkan Afiq tersengih lebar kerana Wan menyebelahi dia. Biarlah dia merasa menang untuk saat ini. Kalau Wan dah tak ada depan mata sekejap lagi, siaplah dia aku kerjakan. Biar dia tahu langit tinggi ke rendah sekejap lagi.
            Afiq berjalan beriringan dengan Ali di depan, sementara aku mengikutinya dari belakang. Biarpun Afiq pada mulanya takut-takut dikerjakan tapi kata-kata Wan membuatkan dia yakin aku dan Ali tak akan menyakatnya. Tapi mukanya pucat serta-merta bila aku mendapati dia dikepit oleh aku dan Ali.
            “ Geng tangan berapi, mulut berasap in action!”, jerit Ali dalam ketawanya sebelum mengarahkan Afiq membawa bakul bekalan Wan. Mahu tak mahu, Afiq menurut juga. Aku dan Ali tersenyum senang!
-----------------------------------------------
            “ Lompat jelah weh! Wan bukannya ada. Jangan risau la, tak akan sampai punya cerita ni dekat Wan. Afiq bukannnya jenis mulut tempayan, tak boleh simpan rahsia”, jerit Ali kuat bila aku menolak untuk bergayut ala tarzan di tepi sungai.
            Aku menggelengkan kepala sekali lagi. Afiq tersengih melihat muka Ali yang kecewa dengan penolakan aku. Lambat-lambat Ali berjalan ke arah aku dengan muka yang mencuka.
            “ Tak seronok la kalau macam ni, Tiq. Orang yang jahat macam aku ni, siapalah suka nak berkawan kan”, rungut Ali perlahan sebelum mengambil tempat di sebelah aku.
            Aku menggigit bibir. Tak pernah-pernah nak merajuk, hari ni nak terasa hati pula. Tapi nak memujuk, bukanlah tabiat aku. Akhirnya, aku Cuma berdiam diri dan membiarkan sahaja dia dengan muka cemberutnya.
            “ Dah la balik jarang-jarang. Bila dah jumpa, dah tak mesra. Semua benda yang buat dulu-dulu, semua dah tak boleh. Tak mahu la kacau anak Pak Long dah. Aku balik dulu ya”, ujar Ali perlahan.
            Pandangan aku beralih padanya. Ali sudah bangkit dan mengibas punggungnya. Kiranya, dia benar-benar merajuk dengan tindakan aku. Serba salah aku dibuatnya. Kalau dulu, boleh la nak pujuk pakai sogokan permainan dan belanja makan. Tapi kalau dah besar gajah, macam ni nampak gayanya semua dah tak berkesan lagi. Pening memikirkan apa tindakan paling wajar saat ini.
            “ Ali”, panggilku kuat. Ali berpaling pada aku dengan senyuman lebar di bibirnya. Aku diburu rasa tak tahu dengan reaksinya sebegitu.
            “ Aku minta maaf banyak-banyak. Ikutkan hati memang nak main tali tarzan tapi keadaan aku tak mengizinkan la. Lain kali jelah ye. Kalau kau balik sekarang ni, maknanya kau dah putus tali persahabatan dan persaudaan kita”, ugutku.
            Ali tergelak kuat sambil berjalan kembali ke arah aku. Afiq memandangnya pelik, sedangkan aku dah diburu rasa malu. Dapat aku rasakan darah menyerbu nak ke muka. Segannya, terpaksa mendedahkan rahsia bendera nippon pada Ali. Tak pasal-pasal je!
            “ Patut la dari tadi tak turun mandi pun. Takut air sungai jadi laut merah ye.Lain kali bagitahu awal-awal, senang cerita. Kalau kau tak boleh, adik kau boleh kan?”, suara Ali dengan muka nakalnya.
            Aku menunjukkan ibu jari padanya, menandakan Afiq sudah tentulah tak berhalangan melakukan hal tersebut. Sekali lagi Ali tergelak kuat sebelum beralih pandangan pada Afiq. Bila aku memandang Afiq, Afiq sudah menggigit bibir. Apa nak buat, redha jelah dengan Geng Tangan Berapi, Mulut Berasap sekali lagi.
-----------------------------------------------
            “ Along, tak mahu la buat benda ni. Kalau jatuh sekejap lagi macammana?”, ujar Afiq takut-takut.
            Ali mengangkat bahu. Aku hanya tersenyum lebar. Inilah masanya untuk menguji Afiq, sama ada sudah mencapai piawai anak lelaki seperti diharapkan ayah atau tidak. Kalau nak buat aksi terjun pun tak mudah takut, nampak gayanya impian ayah hanya impianlah. Tak tercapai impianku lagi!
            “ Tak akan jatuh la. Tali ni kuat je. Kau gayut dekat tali tu. Bila dah sampai dekat Ali, lepaskan tangan. Seronok tau, baik kau cuba Afiq. Malu la anak jantan, terjun ala Tarzan pun takut”, tempelak Ali.
            Afiq menggaru kepalanya yang tak gatai. Lambat-lambat dia mengikuti langkah aku dan Ali. Bila sampai dekat tali tarzan, Afiq mengetap bibir. Aku menolaknya perlahan supaya mencapai tali dan bergayut di sana, sementara Ali berdiri di belakang . Afiq memejam mata sebelum tangannya mencapai tali tersebut. Jelas kedengaran di telinga, dia membaca Bismillah. Takut benar adik aku nih!
            “ Jangan pejam-pejam mata la Afiq. Tak adventure langsung hidup. Are you ready?”, soal Ali sebelum menolak Afiq kuat dari belakang.
            Afiq menganggukkan kepala. Dalam muka cuak yang belum hilang, Afiq membiarkan Ali menolaknya dari belakang. Tali tarzan laju berhayun dengan Afiq yang masih berpegang padanya. Tak dilepaskan sebagaimana aksi aku dan Ali sebelumnya. Ali menjerit meminta Afiq melepaskan tangan dan terjun ke dalam air. Lama, hampir 5 kali tali berulang ke tempat permulaan barulah Afiq terjun ke sungai.
            “ Ya Allah!”, jeritan Afiq kuat kedengaran. Aku dan Ali saling berpandangan. Serentak kami berlari ke arah Afiq, bimbang kalau-kalau dia cedera. Ternyata tekaan kami tak tepat bila terdengar Afiq tergelak kuat dengan kepanikan kami. Lebih terkejut lagi bila Afiq berlari laju ke arah tali tarzan dan bergayut untuk kali kedua. Tak sangka cempedak jadi nangka!
            “Along, Ali, saksikan terjunan berani mati Muhammad Afiq ya!”. Jeritan Afiq sebelum terjun sekali lagi mata aku bulat memandangnya.
Tak percaya dengan keberaniannya yang tiba-tiba muncul. Pelik bin ajaib. Apa-apa pun, ada rasa syukur yang menyelinap dalam hati dengan perubahan Afiq. Moga Afiq jadi anak lelaki yang sebenar-benarnya selepas ini. Insyaallah.
---------------------------------------------------
“ Afiq, sudah –sudah la terjun tarzan. Stop dulu. Meh makan”.
Jeritan aku tak dipedulikan Afiq. Dia buat-buat tak dengar dengan arahan aku, masih bergayut pada tali tarzan dekat sungai. Bergilir-gilir dengan Ali. Aku tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Bekalan yang di bawa aku buka dan hidangkan di atas tikar. Nasi goreng masakan Wan aku sendukkan ke dalam pinggan sementara menanti Ali dan Afiq naik dari sungai.
Senyuman di bibir makin lebar mengingat perubahan aku. Kalau cuti sebelumnya, semua diuruskan oleh ibu tapi kali ini tidak lagi. Aku yang menguruskan makan dan minum untuk perkelahan kali ini. Tanpa sedar, aku mengagumi dan mengakui kehebatan didikan Wan. Baru dua minggu tinggal bersama nenek, sudah wujud ciri-ciri perempuan Melayu terakhir sebagaimana harapan ayah.
“ Apa yang seronok sangat ni Tiq? Senyum sorang-sorang. Teringatkan buah hati ke?”, teguran Ali membuatkan senyuman di bibir aku mati. Pandangan aku beralih padanya yang berjalan perlahan ke arah aku.
“ Tiq..tiq, orang tanya tadi tak jawab lagi. Teringatkan buah hati ke?”, soal Ali lagi.
Aku menggelengkan kepala. Manalah aku join bab-bab menjiwakan diri ni. Nak bermadah pujangga, bercinta-cintan jauh panggang dari api.Kalau ada pun yang sukakan aku, sekarang bukanlah masanya. SPM pun tak habis lagi, tak ada maknanya nak bercinta monyet bagai.
“ Mana ada teringatkan buah hati. Teringatkan buah duriah, langsat, rambutan dekat dusun Wan je”, selorohku disambut ketawa Ali. Kelakar benar agaknya.
“ Isk, Tiq..tak habis-habis nak buat perangai ganas. Sudah-sudah la tu. Sekarang, kena lupakan benda-benda tu. Tak lama lagi nak SPM dah. Kalau perangai nakal tu ada lagi, tak ada orang berkenan la kat kau”, balas Ali sambil menyuap nasi goreng ke mulutnya.
Aku memandangnya pelik. Kalau pun aku berubah, apa kaitannya dengan SPM. Tak masuk akal betul.“ Bukan Sijil Pelajaran Malaysia la. Sijil Pinang Meminang”, ujar Ali selamba.
Aku terdiam seribu bahasa. Apa kena pula mamat ni? Tak habis-habis dengan bab-bab sensitif ni. Semalam kata suka dekat aku, tadi tanya aku tak berpunya tidak, sekarang cerita bab pinang-meminang. Kalau dilayan, makin menjadi-jadi agaknya. Tak pasal-pasal bab nikah kahwin pula masuk.Isyh, gasak betul dibuatnya.
 “ Lepas SPM nanti, kau nak sambung ambil course apa Ali? Tak silap aku, kau kelas Sains kan?”, soalku perlahan pada Ali.
Ali tergelak kuat, seakan maklum tujuan aku bertanyakan soalan demikian rupa. Nak melarikan diri dan berhenti dari berbicara bab-bab sensitif. Malu la kalau terus dibahas hal tadi.
“Lepas SPM, aku nak sambung ambil degree suami sejati la Tiq. Sains rumahtangga”.
Aduhai, geramnnya. Lain aku maksudkan, lain pula tanggapan dia. Malas nak bertekak, akhirnya aku mengunci mulut dari berbicara dengannya. Afiq yang masih asyik dengan terjunan ala tarzan Janda Baik aku arahkan makan. Sekali lagi, dia menulikan telinganya.
“ Tiq,jangan la marah dekat Afiq. Aku gurau je tadi. Insyaallah, nak ambil engineering. Kalau ada rezeki, aku nak merantau ke negara orang. Tapi kalau tengok keadaan aku sekarang ni, macam susah sikit la. Kau tahu la kan,  siapa yang nak tolong jagakan adik aku kalau aku jauh esok-esok”.
Kata-kata Ali aku akui kebenarannya. Memang sukar dan payah kalau dia mahu merantau jauh. Meninggalkan adik-adiknya di bawah penjagaan Pak Ngah seorang, sudah tentulah berat hatinya mahu melakukan itu. Sejak Mak Ngah meninggal, dialah yang membantu Pak Ngah menguruskan adik-adiknya. Biarpun ada perangai nakalnya yang belum hilang, aku akui sikap bertanggungjawab Ali pada keluarganya. Seorang abang yang penyayang dan terlalu sukar untuk dicari ganti tentunya.
“ Kalau takdir aku dapat pergi belajar dekat oversea, aku nak minta kau tolong tengokkan adik-adik aku. Yelah kan paling tidak aku tak risaukan sangat nak tinggalkan dia orang. Sebab aku tahu kau pun kakak yang baik juga pada adik-adik. Tapi tu perancangan aku je Tiq. Entah jadi entah tidak, aku pun tak tahu”. Luahan Ali aku sambut dengan anggukan kepala.
 Tak tahu tandanya apa. Mungkin tanda setuju dengan permintaan dia dan mungkin juga setuju kalau dia membatalkan hasratnya. Tapi apa-apa pun, aku tahu Ali mengharapkan impian dia jadi kenyataan. Dan menurut aku, Ali juga harus memikirkan dirinya sendiri juga. Dunianya bukan semata-mata untuk adiknya. Sudah waktunya dia berfikir tentang kejayaan dan masa depannya.
“ Insyaallah Ali. Aku yakin kau boleh berjaya. Pasal adik-adik kau jangan risau la. Insyaallah, mereka faham. Adlin pun dah besar, tanggungjawab jaga adik-adik dia boleh buat. Yang penting, SPM nanti result kita kena gempak. Barulah geng tangan berapi, mulut berasap namanya”.
Ali tersenyum lebar dengan kata-kata aku. Mungkin kata-kata diambil sebagai pujukan dari seorang sepupu dan teman sepermainan dan mungkin juga diambil sebagai motivasi. Apa-apa pun tanggapan dia, aku mengharap dan berdoa agar Allah permudahkan segala perancangannya. Kalau akulah di tempat Ali, tak dapat aku bayangkan  hidup aku. Kelam dan suramlah jawabnya.
“ Ya Allah, panjangkan umur ibu dan ayah. Kuatkan hati Ali menjalani dugaan hidup ini”, doaku dalam hati. Dalam diam juga, ada rasa kagum pada kekuatan Ali menjalar di hati. Betapa tabahnya Muhammad Ali Hisyam menjalani kehidupan yang sukar sejak 2 tahun lalu. Ya, dia lelaki paling tabah yang pernah aku temui.
----------------------------------------------------
“ Wan, Along pelik la dengan Pak Ngah. Kenapalah sampai hari ni dia tak menikah lain? Kesian dekat Ali dan adik-adik dia kena uruskan diri sendiri”, luahku pada Wan ketika kami menikmati makan malam.
            Pertanyaan itu akhirnya terungkap juga dari mulutku. Kalau bertanya pada Ali, rasanya kurang sesuai dan kurang sopan. Tak mungkinlah aku memberi cadangan supaya menjadi ‘ibu tiri’ padanya. Tapi kalau dipersoalkan hal serupa pada Wan, aku kira bukanlah masalah. Kerana sudah tentulah Wan lebih maklum keadaan anak lelaki keduanya itu.
            “Entah la Pak Ngah tu. Wan ada juga cadangkan hal serupa. Dulu dah ada calon tapi Ali dengan yang lain berkeras tak mahu beremak tiri. Sekarang dia orang dah tak kisah, Pak Ngah malas pula nak fikir. Kata Pak Ngah, dia mahu setia pada Mak Ngah sampai ke akhir hayat dia. Setia Selamanya kata orang zaman sekarang ni”, jelas Wan panjang lebar.
            “ Oo, macam tu ke? Tapi betul juga apa yang Pak Ngah kata tu. Tak silap Along la, ada tazkirah kat sekolah yang cakap gini. Dekat syurga nanti kita akan tinggal dengan orang yang paling kita sayang.Sebab tulah kot,Pak Ngah tak nak menikah dah. Kalau Pak Ngah ada isteri baru nanti, manalah tahu dia sayang lebih pada isteri baru. Jadinya, tak dapat la bersama dengan Mak Ngah dekat syurga”.
            Lebar senyuman Wan sebaik sahaja aku selesai berkata-kata. Afiq hanya diam dan menikmati makanan di depan mata. Manalah si Afiq ni suka ambil tahu hal orang lain. Tak busy body macam kakak dia seorang ni. Anak lelaki sejati la konon-kononnya.
            “ Pandai pun Along. Betul la tu. Macam Atiqah binti Zaid di zaman Rasulallah. Selepas suami dia meninggal dunia, dia tak menikah dah walaupun ada lelaki yang lebih hebat meminang dia. Sebab apa? Dia terlalu sayangkan suami dia dan nak tinggal bersama suaminya sahaja di syurga nanti”, tambah Wan lagi.
            Aku menganggukkan kepala mendengar penjelasan Wan. Hampir sama isinya dengan tazkirah yang aku dengar di surau sekolah dahulu. Setia pada yang satu. Itu kisah Atiqah binti Zaid.Kalau Atiqah binti Azri ni, nak setia pada siapa ya?
            “ Kalau Wan nak tahu, Atiqah binti Azri pula setia pada Muhammad Ali Hasyim ni je”.Suara dari pintu masuk dapur membuatkan aku pantas berpaling. Ali berjalan ke arah kami dengan senyuman di bibirnya. Afiq tergelak kuat bila melihati muka aku dah mula merintik merah. Wan menggelengkan kepala dengan kata-kata Ali.
            “ Amboi baru dua minggu jumpa, dah pandai nak berjanji setia. Tak payah percaya la dengan cakap Ali ni Along. Pandai sangat bermulut manis”, tempelak Wan tak lama kemudian.
            Ali tersengih sendiri. Bekas makanan di tangannya diletakkan di atas meja. Serentak, aku dan Afiq memandangnya. Lauk apa pula dihantarnya ke sini?
            “ Ali masak sayur keladi dengan tempoyak untuk Tiq dengan Afiq. Nak buktikan Ali ni abang paling terhebat di abad ni. Calon suami sejati dan bapa mithali ni Tiq. Nak setia dengan Ali tak?”, seloroh Ali lagi dengan kenyitan matanya.
            Laju kepala aku menggeleng. Sayur keladi yang dibawa Afiq aku sudukan ke dalam pinggang. Lambat-lambat aku suakan ke dalam mulut. Memang sedap dan hampir sama rasanya dengan masakan Wan. Dalam rasa kagum aku pada kehebatan Ali, ada kata lain yang mengasak di hati. Entah kenapa, aku rasa mahu menerima tawaran Ali. Aduhai, hebat juga penangan cinta monyet di cuti panjang nih!Nak setia ke tidak ye? Setia jelah sebagai geng tang berapi, mulut berasap. Kalau bab lagi satu tu, nanti sikit la!Bingung!

6 comments:

MaY_LiN said...

alahai~setia ngan ali lah!

Anonymous said...

Assalamu'alaikum... Pe kabo dr.Rock? alahai, rindu ngan CCB lak, haha... Maaf kritik sikit untuk n3 ni takpe kan? setahu saya, seorang muslim akan bersama para istrinya -muslimah- kelak di syurga, bukan hanya salah satu istri yang paling dikasihinya. sebab itu dibolehkan bagi lelaki menikah lebih dari satu, dan di syurga lelaki bakal diberi beberapa orang bidadari, yang ketuanya dan yang paling istemewanya adalah istrinya di dunia. Sedangkan hadith tentang seseorang akan bersama yang dikasihinya disyurga kelak, itu umum, untuk muslim pada temannya, keluarganya, ustadznya, etc... bukan ditujukan khusus untuk hubungan suami istri. krn salah satu faedah hadith adalah, apabila kita mengambil Nabi Muhammad sebagai orang yang paling dikasihi maka kita akan bersama beliau di syurga -dan hal ini dijelaskan dalam hadith lain, sila tanya ustadz yg lbh pakar-. Untuk wanita, barulah ia akan bersama dengan suami yang paling akhir hidup dengannya, bukan dengan salah satu suami yang paling ia kasihi -jikalau ia pernah menikah lebih dari satu kali-. Wallahu a'lam.

mizd said...

besh~~~~smbg r lg...

thya ^_* said...

setuju 100 % setia dkt ali.... lengkap dgn cop sirim lagi hehe
rindu gak dgn ccb.. #_#

iffahnazifa said...

Menggunung impian ali ye..huhu
Ok je klau setia ngan Ali.
Ape salahnya kan??

adaibrahim said...

wslm anon..
tq atas komen..act, saya pun dah tak berapa ingat dengan hadith tu...tq sebab betulkan ya..syukran jazilan a'ala kulli hal!