@rubiadaibrahim

Saturday, April 17, 2010

Pakej 3 in 1:Prolog

    “ Ya Allah, tunjukkan aku jalan keluar dari kemelut yang melanda hatiku ini”.
Doa itu aku lafazkan berulang kali. Hampir setiap kali selepas solat dan bila hati dilanda rasa keliru, aku pohon pada ALLAH S.W.T memberikan aku jalan terbaik dalam menghadapi masalah hati yang tak pernah aku fikirkan sebelumnya. Bingung memikirkan jawapan paling tepat untuk diberikan pada dua insan yang berharap aku menyambut huluran kasih mereka, Syed Ahmad Hariz Al-Syarif dan Muhammad Ali Hisyam.
Kedua lelaki yang aku kenali itu punya pakej cukup lengkap untuk dijadikan suami. Perempuan mana yang tidak mahu bersuamikan lelaki bertanggungjawab, penyayang dan mempunyai kerjaya yang menjamin masa depan. Aku juga punya impian yang sama satu ketika dahulu. Di kala zaman remaja yang penuh impian dah harapan untuk menjalani kehidupan rumahtangga yang bahagia.
Tapi kini? Kini, aku sendiri tak pasti. Tidak keterlaluan kalau aku katakan, impian itu sudah tiada lagi dalam hiduku. Hilang bersama kenangan yang pahit untuk ditelan. Pahit dan lukanya sampai hari ini berbekas di hati. Mungkin trauma bila janji yang termeterai antara kami dikhianati oleh orang yang paling aku percaya. Ya, peristiwa itulah yang membuatkan aku mengunci bibir dari memberi harapan dan jawapan pada mereka yang menanti.
“ Atiqah, saya sayangkan Atiqah. Saya betul-betul ikhlas nak jadikan Atiqah sebagai isteri dan suri hidup saya. Saya akan menanti jawapan Atiqah sampailah Atiqah bersedia. Kalau Atiqah rasa saya yang terbaik untuk Atiqah, sayalah orang paling gembira. Tapi kalau Atiqah rasa ada orang lain lebih sesuai dan lebih baik, saya faham. Apa-apa pun, saya akan terus menyayangi Atiqah.”
            Tenang suara Syed Ahmad Hariz Al-Rafiq melafazkan kata-kata. Itu kali pertama dia berbicara soal hati dan perasaan. Bungkam dan tidak tenteram rasa hati aku dibuatnya. Aku cuba berlagak tenang dalam kekalutan menghadapinya yang selama ini aku kenali sebagai Dr.Hariz, pakar pediatrik di Hospital Besar Kuala Lumpur itu. Dr.Hariz yang cukup baik dan pandai mengambil hati Aqil. Lantaran sikapnya yang cukup penyayang kepada kanak-kanak itu jugalah dia digelar doktor cinta, doktor jiwa oleh teman sepejabatku. Tapi kenapa dia, doktor cinta dan doktor jiwa yang hebat itu melafazkan rasa hatinya pada aku?
            Rabunkah dia? Butakah dia? Kenapa dia tidak memilih perempuan lain untuk dijadikan sebagai seorang pendamping dan sayap kiri menjalani kehidupan berumahtangga? Perempuan yang lebih cantik, lebih baik dan lebih menarik? Kenapa harus aku? Perempuan yang ditakdirkan menyandang tiga tanggungjawab dalam satu masa. Perempuan berpakej 3 dalam 1 yang serba kekurangan ini?
            “Kalau Atiqah rasa saya yang terbaik untuk Atiqah, sayalah orang paling gembira.
            Itu katanya. Dia gembira andai aku takdirnya. Aku? Aku keliru dan tidak tahu. Pernah ada rasa gembira yang bertandang tapi cuma seketika. Berperang hebat dengan rasa bimbang jika aku menerima sahaja huluran kasihnya. Bimbang kalau keluarganya tidak dapat menerima aku seadanya, bimbang kalau terikatnya aku dalam ikatan antara kami membuatkan Aqil bersedih akan kehilangan ‘ibu’nya. Lantaran rasa bimbang yang tak pernah surut itulah, aku terus menjauh darinya. Menjauh dan menyepi.
            “ Tiq tak boleh ambil macam ni. Kesian dekat Dr.Hariz. Dia memang ikhlas dengan Tiq. Mak Ngah dapat rasakan dari perwatakan dia. Cara dia layan Aqil tu dah jelas menunjukkan dia betul-betul layak jadi ayah Aqil, suami Tiq nanti. Mak Ngah yakin dia yang terbaik untuk Tiq.”
            Pendapat Mak Ngah seakan mencabar keyakinanku. Keyakinan yang sering aku utarakan saban hari bahawa akulah ayah, ibu dan kakak terhebat pada adik-adikku. Aku akan menjaga dan membesarkan Aqil dengan sebaik-baiknya tanpa bantuan dari seorang lelaki bergelar suami padaku dan ayah pada adik yang menganggapku sebagai ibunya. Aku mampu melakukan 3 tugas berat itu dalam serentak tanpa bantuan dari insan lain.
            “ Mak Ngah tahu Tiq orang paling hebat di abad ni. Tiq dah buat tanggungjawab Tiq sebaiknya. Tapi sekarang ni dah sampai masanya Tiq fikirkan masa depan Tiq pula. Tiq nak mahu nikah ke? Ada suami, keluarga sendiri?,”soal Mak Ngah lagi.
            Soalannya aku balas dengan gelengan kepala. Mak Ngah mengeluh berat. Kalah dengan kedegilan aku. Kalau tidak kata aku, tidak ada gunanya memujuk rayu. Keputusan aku tak akan berubah dengan mudah. Akhirnya Mak Ngah mengalah sekali lagi. Segala keputusan diserahkan kepada aku.
            “ Mak Ngah dah tak mahu masuk campur. Tiq fikirlah sendiri. Kalau mak Ngah cakap pun, belum tentu Tiq dengar. Tiq dah besar panjang. Tahu baik buruk semua keputusan Tiq.”
            Ya, memang aku sudah besar panjang. Sudah jadi seorang ibu tanpa suami pun. Tapi jauh dari sudut hati, aku keliru dengan rasa hati sendiri. Kebaikan dan sikap Dr.Hariz seakan mengembalikan impian aku sebelumnya untuk punya rumahtangga yang bahagia. Tapi trauma akan kisah lalu lebih menghantui. Bimbang kalau aku akan kehilangan dia andai dia rapat denganku. Tapi entahlah susah untuk ditafsirkan dengan kata-kata.
            Kehilangan demi kehilangan membuatkan aku takut untuk berharap pada erti kebahagiaan. Ibu, ayah, Afiq dan Ali. Semua yang aku sayang menjauh dari aku. Ibu dan ayah pergi tak akan kembali lagi. Afiq pergi dan kembalinya sebagai adik lelaki yang paling rapatku entah bila? Jauh di rantau orang dan kembalinya nanti dengan status yang berbeza.
            Afiq tetap adik lelakiku sampai bila-bila. Biarpun permintaannya tempoh hari menyentak tangkai hatiku, dia tetap adik yang aku sayangi.
“ Angah tahu Along kurang setuju kalau Angah kahwin sekarang. Tapi Angah rasa inilah jalan terbaik. Dari Angah ke sana ke mari dengan Husna tanpa ikatan, lebih baik Angah menikah. Along sendiri yang galakkan orang-orang bercouple ni menikah. Mengelakkan dosa dan menjaga keturunan kan?.”
Permintaan Afiq aku penuhi. Aku mendatangi keluarga Husna, menghantar pinangan dan hajat Aqil. Biarpun awalnya mereka meragui Afiq, pinangan Afiq diterima juga. Aku yakinkan mereka Afiq anak, abang dan adik yang baik. Dia akan menjadi suami yang baik juga pada anak kesayngan mereka. Akhirnya tanpa banyak soal, Afiq diterima sebagai calon menantu. Pernikahan Afiq dan Husna berlangsung juga di bumi Ireland dalam suasana sederhana. Hanya doa yang aku hadiahkan pada keduanya.
Kepulangan Afiq sebulan lagi dengan status seorang suami sudah tentulah berbeza dengan sebelumnya. Afiq perlu menggalas tanggungjawab yang lebih berat selepas ini. Sebagai seorang anak lelaki tertua dalam keluarga, tanggungjawab sebagai ketua keluarga sudah tentulah tergalas di bahunya sepeninggalan ayah.  Dan seharusnya kepulangan dia mampu meringankan beratnya tanggungjawab yang aku galas sebelumnya. Tapi entahlah, terlalu sukar untuk aku bayangkan semuanya dengan kepulangan Afiq nantinya. Yang pasti, aku tidak akan membebankan dia dengan erti sebuah tanggungjawab dan amanah sekembalinya dia nanti. Aku tetap Noratiqah, perempuan pakej 3 dalam 1 selamanya.
“ Tiq, Ali harap Tiq dapat maafkan Ali. Bukan niat Ali nak kecewakan Tiq dulu. Tapi keadaan memaksa. Sekarang Ali dah balik. Ali harap sangat Tiq maafkan Ali dan terima Ali semula.”
            Ucapan maaf tak pernah lekang dari mulut Muhammad Ali Hasyim setiap kali kami bertemu. Rasa bersalah kerana mengkhianati janjinya pada aku. Diburu rasa bersalah pada aku. Sudah aku katakan aku maafkan segala kesalahannya. Tapi dia tetap begitu. Masih diburu rasa bersalah dan terus memohon maaf.
            Bohong kalau aku katakan aku tak marah dan kecewa mengenang sikapnya. Bila dia katakan pada aku dia terpaksa menikahi Catherine Ross demi menyelamatkan akidah saudara baru tersebut, semangat aku terbang entah ke mana. Jauh dan aku bagaikan hilang arah kerana sepupu dan lelaki pertama yang berjanji setia dengan aku mahu melakukan pengorbanan terbesar dalam hidupnya.
            Kerana aku sedar satu hakikat, aku relakan dia terikat dalam sucinya ikatan pernikahan itu. Penyatuan dua hati demi cinta dan kasih pada-NYA. Menyelamatkan saudara baru demi agama Islam adalah tugas mulia. Akhirnya, Motivator dan teman tempat aku bergelar seorang suami. Aku cuba tabahkan hati, menerima segala ketentuan dari ALLAH S.W.T dengan hati terbuka.
Di kala airmata menitis membasahi pipi mengingatkan seorang lagi orang yang paling dekat dengan aku makin menjauh, ada tangan kecil yang memelukku. Dia memujukku dengan menghadiahkan ciuman di pipiku.
            “ Ibu jangan nangis….ibu jangan nangis…ibu jangan nangis,” ujarnya sambil tangan kecilnya mendakapku lebih erat.
            Aku tabahkan hati. Senyuman aku hadiahkan padanya. Kemudian, jari telunjuk aku halakan ke pipi. Ciuman penuh kasih dihadiahkan dan saat itu rasa sebak yang bersarang di hati terbang menjauh. Dia tersenyum manis sebelum menyuakan botol susunya yang sudah kosong padaku. Aku menggeleng kepala dengan telatahnya. Sungguh, terubat segala luka di hati dengan hadiah tak ternilai dari ayah dan ibuku ini.
            “ Tiq tak boleh selfish macam ni. Tiq kena fikirkan orang-orang sekeliling Tiq juga. Aqil perlukan ayah. Sama macam Rasya perlukan ibu. Tiq, tolonglah terima Ali semula. Kita bina keluarga kita sama-sama.”
            Harapan Ali membuatkan aku tersepit. Dia mahu aku jadi ibu pada anaknya. dan dia menjadi ayah pada Aqil. Anak perempuan yang cukup comel yang harus merasai hal yang sama sebagaimana Aqil suatu ketika dahulu. Bukan aku tak kesiankan Rasya, tapi aku fikir membina keluarga bersama Ali bukanlah jalan penyelesaiannya.
            Aku tahu dan maklum Ali boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ayah tunggal pada anak perempuannya dengan baik. Buktinya sudah jelas di depan mata. Tidak mungkinlah abang terhebat yang mampu menguruskan tiga adiknya suatu ketika dahulu jadi lemah dan tak berdaya menguruskan anak yang seorang. Sedangkan aku ibu tinggal yang tak tahu apa-apa soal rumahtangga dapat menjalankan hal terberat tersebut dengan baik, tidak mungkinlah dia tak mampu?
            “ Walaupun Ali boleh laksanakan amanah ni, suasananya tetap berbeza. Rasya perlukan belaian seorang ibu. Tak sama kasih ayah dengan kasih ibu Tiq. Tiq sendiri tahu kan?.”
            Ali melemparkan persoalan begitu bila aku terus berdiam diri. Kalau dia mempersoalkan perbezaan kasih ibu dan ayah, aku sudah maklum hal itu. Biarpun sudah hampir 7 tahun aku kehilangan kasih mereka, kehangatannya masih terasa hingga kini. Tambahan pula, Aqil sudah pandai bertanyakan keberadaan ayahnya kini. Lebih tepat lagi, dia mahukan seorang ayah dari aku.
            Buntu dan bingung dibuatnya! Dalam buntu aku mencari jawapan yang tepat pada pertanyaan itulah, Dr.Hariz memujuk dan memeluknya. Aqil tersenyum kembali dan hatinya berbunga bahagia. Tidak ada lagi persoalan sebegitu dilontarkan pada aku. Mungkin dia sudah jatuh sayang pada Dr.Hariz. Mungkin juga dia merasakan Dr.Hariz adalah ayah yang dicarinya selama ini.
             Kalau difikir dengan akal waras, Dr.Harizlah lelaki yang tepat untuk dijadikan ayah Aqil. Dan seharusnya lamaran Dr.Hariz aku terima tanpa banyak soal. Tapi hakikatnya, tidak semudah itu. Jalan yang akan aku tempuh ke depan masih samar dan tidak jelas. Aku bimbang andai Dr.Hariz juga menghilang dan jauh dari hidup aku sebagaimana mereka yang aku sayang. Sungguh, kehilangan demi kehilangan membuatkan aku trauma untuk menggapai dan mencari sebuah kebahagiaan. Jadi, biarlah aku kekal sebagai perempuan pakej 3 dalam 1 untuk saat ini. Ya, pakej 3 dalam 1 itu hanya milikku seorang. Dulu, kini dan mungkin selamanya!
   

 ---------------------------------------
 Salam alaik semua pembaca yang sudi singgah kat blog saya. Sori sangat2 sebab dah lama xde n3.Sangat sibuk sekarang ni dengan thesis dan final exam. Insyaallah, kalau ada kelapangan, saya  akan postkan n3. Harap boleh memahami kesibukan saya ye. Maaf sekali lagi.Moga terhibur dengan n3 kali ni. Wassalam.=)

3 comments:

MaY_LiN said...

nak tiq nan hariz..

ha-ra said...

dr hariz..
ni abg riz abg uda tue ke??hehe
frust ngn uda ngorat tiq plak erk....

mizd said...

btul2..
biar tiq ngan riz..
br sesuai..