@rubiadaibrahim

Sunday, May 16, 2010

Dia Guruku!


“ Da, tahun ni mak tak dapat hantarkan Da masuk sekolah. Da masuk sekolah tahun depan la ye, masa umur 6 tahun. Kalau masuk umur 5 tahun, nanti bosan pula kena ulang belajar benda yang sama 2 tahun.”
Alasan emak membuatkan aku menarik muka masam. Padahal mak dan berjanji, dan mak memungkiri janjinya sekali lagi. Aku memandang emak geram sebelum berlari meninggalkan dia.
“ Da, tak baik buat macam tu dekat mak. Sedih mak Da buat dia macam tu tahu tak?.”
Pujukan Wana aku biarkan sahaja. Aku masih dalam esak tangisku. Sedih mengenangkan impian aku nak ke sekolah tahun ini tak kesampaian lagi.
“ Mak buat keputusan macam tu mestilah ada sebabnya. Kita ni bukannya senang macam orang lain. Da pun tahu la kan, Abang nak masuk universiti. Banyak duit nak guna. Da masuk sekolah lambat, bukan bermakna Da tak pandai,” pujuk Wana lagi.
Aku mengesat airmata. Teringat cerita emak tempoh hari. Soal abang yang akan masuk universiti tak lama lagi.
“ Nanti kalau Da dah masuk sekolah, belajar rajin-rajin sampai masuk universiti. Macam abang.”
 Tangisan aku akhirnya terhenti. Biarpun aku tak mengerti sepenuhnya kisah abang dan universiti, tapi aku cuba memahami pujukan Wana. Apalah yang dapat aku fahami saat itu, di usia ku 5 tahun. Mungkin yang kau tahu hanya satu! Segala kemahuanku harus dituruti biar apa jua keadaan sekali pun. Dan kesedihan masih menyelubingi hati kerana kemahuanku kali ini tak dipenuhi. Impian aku nak ke sekolah di usia 5 tahun tak kesampaian. Dan malam itu, aku tidur dalam tangisan.
----------------------------------------------
Aku ralit memerhatikan Wana dan Nana bersiap ke sekolah. Jelas tergambar kegembiraan di wajah keduanya. Kegembiraan yang membuatkan aku tak sabar untuk mengikut jejak langkah mereka.
“ Apa lagi yang seronok dekat sekolah?,” soalku pada Nana dan Wana pagi selepas kami menikmati sarapan.
“ Ada banyak kawan. Cikgu baik-baik. Boleh main-main juga. Banyak la. Nanti kalau Da masuk sekolah, Da rasa sendiri la,” balas Nana.
Wana hanya mengiyakan kata-kata Nana. Malas nak melayan persoalan demi persoalan aku mungkin.
“ Tak sabarnya nak masuk sekolah. Nanti kalau Da dah sekolah, Da nak belajar rajin-rajin. Nak dapat no 1setiap kali periksa,”tegasku.
Nana dan Wana hanya tersenyum mendengar tekadku. Ketika itu jugalah mak datang menghampiri kami, menyuruh kakak-kakakku bersegera ke sekolah kerana jam di dinding sudah menunjukkan pukul 7.15 pagi. Keduanya bingkas bangkit. Aku mengikuti mereka dari belakang.
“ Nanti kalau dah balik, jangan lupa beli gula-gula cincin tu. Jangan buat lupa tau. Kalau tak, Da tak mahu kasi duit tabung dah,” pesanku pada Wana.
Anggukan kepala Wana membuatkan aku mengukir senyuman. Wana dan Nana laju berjalan meninggalkan aku di muka pintu. Belum jauh mereka meninggalkan aku, suara emak memanggil aku membuatkan aku berpatah balik ke dapur.
“ Da dah tak sabar nak masuk sekolah ya?,” soal emak perlahan.
Laju aku menganggukkan kepala. Emak tersenyum manis padaku.
“ Tahun depan Insya-ALLAH, mak hantarkan Da ke tadika. Tahun ni Da sekolah dengan mak dulu. Nanti kalau masuk sekolah, Da dah tahu yang penting-penting. Boleh dapat no 1 setiap kali periksa,” tambah emak lagi.
Aku mengiyakan kata-kata mak. Kemudian, mak menghulurkan kotak-kotak barang yang sudah dipotong kepada saiz kertas kepadaku. Aku menyambutnya dengan pandangan pelik.
“ Mak dah tulis A sampai Z dekat kotak ni. Iya ikut apa yang mak tulis ni. Satu huruf buat sepuluh ok,” terang emak perlahan.
Aku tersenyum girang mendengar penjelasan emak. Emak menghulurkan pensil pada aku. Sudah diasah tajam. Faham benar emak dengan keinginan anaknya ini. Mahu ke sekolah dan emak sudah menunaikan niatku dengan menjadi guruku di rumahnya sendiri. Hari pertama aku  merasai pengalaman bersekolah. Memang seronok kerana ada emak sebagai guruku. Dan emak akan melayani segala karenahku tanpa sedikit pun memarahiku.Bila aku selesai tugasan yang diberikan olehnya, emak mengusap kepalaku dan menghadiahkan ciuman. Aku tersenyum bangga bila emak menanda hasil kerjaku dan menulis 5 bintang di kotak tersebut.  Sama seperti bintang yang ditunjukkan Wana dan Nana tempoh hari.
Kata mereka, 5 bintang tanda hasil kerja terbaik. Dan aku tersenyum senang atas pengiktifan emak pada hasil kerjaku.
----------------------------------------------------------------
Aku  jadi anak murid emak sepanjang masa ketika aku menjalan usia 5 tahun. Emak mengajar aku mengenali huruf dan angka. Dari A hingga Z, dari 1 hinggalah 100. Dan emak memujiku terang hati, senang untuk menerima segala ajarannya. Aku tersenyum bangga dengan pujian emak.
“ Terangkan hati hamba ini, terang seperti hati Rasulallah.”
Doa itu wajib aku baca sebelum sesi pembelajaran bermula.Waktu belajar  aku sama seperti di Tadika Kemas. Cuma bezanya,  tempat belajar aku di merata tempat. Kalau emak mengikut abah ke kebun kepala sawit, aku belajar di celah pokok kelapa sawit yang merimbun. Aku disuruh mengira sambil mengutip buah relai di sana sebelum dikutip dan dimasukkan ke dalam guni. Kalau emak ke kebun getah, aku akan mengira 1,2,3 berdasarkan pokok, buah getah dan getah skrap yang aku kutip.  Kalau emak ke kebun, aku akan membaca A hingga Z hinggalah mak selesai  kerja.
Waktu aku pulang dari kebun tengahari sama dengan kawan-kawan seusiaku kembali dari sekolah. Mereka memandang aku dengan muka pelik. Pelik dengan kemunculan aku entah dari mana barangkali.
“ Setiap pagi, aku ikut mak pergi kebun. Seronok tau,” ceritaku bila mereka bertanya.
“ Seronok lagi pergi sekolah. Pergi kebun, bau busuk. Patut la bau kau busuk. Lekat bau getah skrap, tak mahu la kawan dengan kau,” mereka meninggalkan aku sendirian.
Aku menangis dengan kutukan dan hinaan mereka. Aku kembali ke rumah, emak memujukku.
“ Biarkan dia orang nak mengata. Kita bukannya jadi cacat pun,” kata-kata emak tesemat kuat di fikiran. Kerana kata-kata emak juga membuatkan aku tegar menjadi kehidupan ke depan. Ya, kerana dia adalah motivator terbaik dalam hidupku.
----------------------------------------------
Emaklah paling gembira bila aku dapat nombor 1 di sekolah ketika darjah 1. Berseri-seri muka mak dengan berita yang aku sampaikan. Aku meneruskan kejayaan untuk tahun-tahun berikutnya. Bangga benar dia dengan anak didikannya ini. Dan kesusahan bukan menghalang kejayaanku. Biarpun hujung minggu harus mengikuti emak dan abah ke kebun, pelajaranku tak pernah terabai.
Pernah suatu ketika ketika cikgu di sekolah meminta bayaran buku yang belum aku jelaskan, aku dan emak mengutip getah dalam hujan lebat yang turun ke bumi. Kami berganding bahu mengutip dan memikulnya ke kedai getah petang itu. Kenangan itu tak penah luput dalam ingatanku hingga hari ini. Mak mengajar aku tabah dalam menjalani erti hidup.
Emak juga bertindak  menjadi guru disiplin padaku ketika aku degil dan tak mahu mendengar kata. Masih terbayang di fikiran surat penjanjian yang harus aku tandatangani untuk memastikan aku mendapat 5A dalam UPSR suatu ketika dahulu.
Aku antara murid yang aktif bersukan ketika di sekolah. Aku pelari terhebat, pemain bola jarring, pemain bola baling dan pemain hoki biarpun tak sempat mewakili sekolah dalam cara tersebut. Mungkin kerana kedudukan kukuh itu sebagai top 3 di sekolah, aku tetap mahu mengambil bahagian dalam perlawanan hoki di sekolah walaupun dilarang keras oleh emak dan abah kerana sudah dekat dengan peperiksaan UPSR. Ketika itu, aku diberi amanah sebagai penjaga gol oleh guruku. Dengan pakaian berat membalut muka dan badan, aku melangkah penuh yakin di padang.
Selesai perlawanan, ada suara yang menegur.
“ Hebat ya main hoki.”
Aku berpaling ke arah suara tersebut. Abah tersenyum memandangku. Mahu tak mahu, aku harus akur bila disuruh pulang ke rumah. Mak dan kakakku sudah menanti dengan surat perjanjian sebaik sahaja aku tiba. Perjanjian yang mengubah hidupku serta-merta. Aku diikat dalam perjanji tersebut. Harus segera pulang ke rumah sebaik sahaja selesai sekolah. Harus rajin belajar dan tidak melawan kedua orang tua ku. Dan aku kira semua yang tercantum dalam perjanjian itu adalah resepi terbaik untuk mengajar kejayaan di manapun.
--------------------------------------------------------------------
Aku ke sekolah berasrama ketika usiaku 13 tahun. Perpisahan dengan keluarga membuatkan aku terus tabah menjalani hidup. Batas jarak dan kesusahan keluarga kami membuatkan aku harus redha ditinggalkan di asrama tanpa mereka datang menziarahiku untuk tempoh yang lama. Untuk bertemu dengan emak dan keluarga yang lain hanyalah ketika cuti hujung bulan.
Pernah juga aku merungut pada emak bila keluarga orang lain datang melawat teman-temanku.
“  Kalau Da sentiasa balik hujung bulan, macammana mak nak melawat Da,” seloroh mak.
Aku sedar dan maklum keterbatasan emak untuk mengunjungiku. Seiring dengan usia, akhirnya aku menerima keadaan tersebut sebagai dugaan dalam hidupku. Dugaan untuk aku lebih tabah menjalani erti hidup.
Pernah juga, aku putus duit di asrama. Mahu tak mahu, aku harus meminta duit dari emak. Aku menelefon rumah nenek saudaraku dan meminta mereka menyampaikan pesan. Kiriman pos laju aku terima tidak lama kemudian. Istimewanya kiriman tersebut bukan hanya berisi wang pos semata-mata, tetapi ada kata-kata semangat yang emak titipkan buatku.
Pasti ada doa di setiap surat yang emak kirim. Emak tuliskan zikir dan tips-tips untuk berjaya. Nota dari emak masih aku simpan hinggalah ke hari ini. Terlalu istimewa untukku. Tulisan emak mengubat rindu aku pada emak ketika berjauhan dengannya. Cerita emak dalam setiap notanya membuatkan aku tersenyum tanpa sedar. Dan adakalanya juga, berlinangan airmata terkenangkan mak yang jauh di mata.
--------------------------------------------------
Pengalaman ketika zaman kanak-kanak dan remaja membuatkan aku tegar menjalani kehidupan di rantau orang. Emak tetap jadi motivator terbaik untukku menjalani kehidupan di universiti.
Manakah tidak, jarak beribu batu dengan tanahair tercinta memaksa aku belajar memasak dengan emak. Resepi demi resepi aku pelajari ketika berpeluang pulang  ke tanahair. Dari membuat sambal tumis hinggalah kepada memasak rendang. Semuanya aku pelajari dari dia.
 Nak berhari hari dalam suasana Malaysia, aku menelefon mak untuk mendapatkan resepi ketupat dengan mudah.
" Nak buat ketupat ape dekat New Zealand tu Da? Mana nak dapat daun kelapa dekat sana," gurau emak biarpun dah maklum keberadaan aku di sana.
" Sebab takdelah nak minta tips ni. Tak boleh buat ketupat, nasi impit,kuah kacang  dengan rendang pun jadilah mak!," balasku.
" Nak masak nasi impit, satu cawan beras air dia cawan. Masak macam biasa dalam periuk nasi.Nanti mampatkan dalam dulang".
Laju aku menyalin resepi yang diberi emak. Emak kemudian memberikan resepi kuah kacang dan rendang pada aku. 
" Nanti dah siap masak jangan lupa telefon dan cerita dekat mak ya," pesan emak sebelum perbualan kami tamat.
Aku mencuba resespi yang diberikan emak bersama teman serumahku. Kelakar juga bila dikenang. Manakan tidak, nasi impit berubah jadi bubur nasi. Kuah kacangnya boleh tahan menjadi tapi nak dimakan dengan apa? Sudahnya, hidangan hari raya kami ketika baru sampai di bumi orang itu hanyalah bubur nasi resepi sesuka hati.
" Tak menjadi lah mak. Segan betul dengan kawan-kawan. Last-last Da otter jelah. Jadilah bubur nasi lauk rendang tak pasal-pasal."
Emak tergelak di hujung talian. Pantas juga dia memujukku.
" Tak apalah. Pertama kali cuba. Nanti-nanti kalau selalu buat, menjadilah tu. Yang penting, jangan rasa putus asa. Gagal sekali bukan gagal selamanya!".
Ya, gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Kerana semangat yang emak tularkan, aku mencuba segala jenis resepi yang aku rasakan mahu makan. Jadi tak jadi, lain cerita. Tak sangka pula dapat gelaran Cik Da serta tahu dengan sikapku itu. Dan gelaran itu tak lain tak bukan kerana adanya guru terbaik dalam hidupku. Emakku seorang!
--------------------------------------------------------------------
“Tahniah Cikgu Syuhada.”
“  Tak sangka Da dapat guru terbaik peringkat daerah tahun ni. Tahun depan Insya-ALLAH, boleh dapat guru terbaik peringkat negeri pula”.
“ Da, kau memang cikgu terhebat yang aku kenal di abad ini. Tahniah ye sahabatku.”
Ucapan tahniah dari teman-teman seperjuangan satu persatu aku terima sebaik sahaja aku diumumkan sebagai guru terbaik bagi subjek matematik semalam. Tak henti-henti handphone berbunyi, menerima ucapan dari teman-teman yang jauh. Dan penat juga mulutku menuturkan ucapan terima kasih atas ucapan dari guru-guru lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati.
Keluarga aku juga mengirim ucapan yang sama. Dari Along hinggalah ke Acik di luar negara, semuanya melahirkan rasa bangga atas pengiktirafan tersebut. Namun demikian, ucapan dari emaklah paling menyentuh hatiku.
“ Mak tahu anak mak ni hebat. Masuk dekat mana pun, akan jadi hebat. Macam orang kata. Jatuh ke laut, jadi pulau. Syukur Alhamdulillah.”
Aku tergelak kecil dengan pujian emak. Terlalu berlebihan aku kira pujian emak. Masih ada ramai lagi yang lebih dari aku. Cuma, mungkin nasib dan takdir menyebelahiku kali ini.
“ Memang la nasib dan takdir. Tapi kalau tak hebat, orang takkan pandang kerja Da. Apa-apa pun, apa yang Da dapat hari ni dah cukup membahagiakan mak. Moga jadi cikgu terhebat anak mak seorang ni!,” ucapan emak membuatkan rasa sayu bertandang di hati.
Gelaran guru terbaik tersebut satu kebangaan dan pengiktirafan atas usaha kerasku selama ini. Bergelar pendidik dan menabur bakti pada anak bangsa.. Kata orang, guru umpama lilin yang membakar diri. Rela berkorban dirinya untuk memastikan orang yang disekelilingnya diterangi cahaya. Dan aku memanjatkan kesyukuran kerana aku ditakdirkan untuk bergelar seorang guru hari biarpun tanpa kerelaan aku pada mulanya.
“ Risau mak dengan Da. Kerja tak tentu masa, makan minum tak terjaga. Da berhenti jelah kerja, jadi cikgu je. Minta KPLI macam anak Mak Ngah Nab tu. Kerja cikgu ni senang sikit. Tengahari dah habis kerja, cuti pun banyak. Gaji pun boleh tahan,” nasihat emak bergema di fikiran.
Nasihat emak 5 tahun lalu masih kuat di ingatan hingga ke hari ini. Kerana nasihat emak jugalah, akhirnya aku meletakkan jawatan sebagai seorang akauntan di tempat kerja lamaku. Biarpun gaji yang aku terima berganda dari gaji yang aku terima sekarang, nasihat emak aku turuti juga.
Kalau difikir-fikir itu mungkin itu kali pertama aku mendengar nasihat emak tanpa sebarang bantahan. Sebelumnya, ada sahaja alasan dan bantahan yang aku keluarkan. Mungkin kerana aku sendiri sudah tak tahan dengan tekanan di tempat kerja, akhirnya aku sendiri mengambil keputusan meninggalkan kerjaya yang jadi jadi impianku sejak kecil. Dan akhirnya aku di sini, bergelar seorang pendidik. Pendidik yang ditugaskan mendidik anak bangsa tanpa kira penat lelah.
Namun kalau pendidik terbaik itu tak terhad pada insan yang mengajar di sekolah, ada insan yang lain yang seharusnya menerima pengiktirafan itu. Aku kira emak lebih layak untuk anugerah guru terbaik dalam hidupku. Emak guru matematikku, emak guru tadikaku, emak guru disiplinku dan dia juga guru yang mengajarku erti kehidupan.Emak adalah guru terhebat dalam hidupku.  Ya, dia adalah guruku selamanya. Selamat hari guru buat dia, emakku guruku!
-------------------------------------
Salam semua. Untuk pembacaku sayang, maaf sangat2 tak dapat post n3 setiap hari hinggalah bulan 6 ni.Saya habis exam 25 hb 5 ni. CCB pun masih dalam proses menyiapkan manuskrip. Jadi kemungkinan besar cerita ni lambat sikit keluarnya. Saya akan cuba siapkan sebelum bulan 7 ni memandangkan ade cuti bulan 6 ni. Doakan ssaya ya. Untuk n3 AAP, maybe lambat sikit lepas ni sebab prioriti saya lebih pada CCB. But then, saya akan cuba cara masa untuk sambung cerita tu. Kemungkinan besar AP pun akan dijadikan manuskrip juga. Untuk hal tersebut, saya akan buat mini e-novel buat anda semua. So, harap boleh vote cerpen2 saya tu. Yang mana tertinggi, saya akan panjangkan jadi mini e-novel. Apa-apa pun, terima kasih sebab sudi singgah dan baca karya saya. Terima kasih semua. Lots of love-Dr.ROCK

2 comments:

Anonymous said...

alahai...biarla AP abis di blog. CCB trus wat novel kn? kesian ktrg dok bc tp xtau ending...u can do better story utk next novel rite?

MaY_LiN said...

hihihi..
xpe..
yang penting hasil nya..
da siap jgn lupe inform..
gud luck ya..
tamau stress2