@rubiadaibrahim

Sunday, August 22, 2010

3i1-7: Erti Doa

“ Alahai Tiq, habis pecah pinggan rumah Wan! Seribu kali terkejut dah dapat restu, buat-buat biasa sudah la. Tahu la tak sabar nak jadi Mrs. Ali,” selamba benar Ali menuturkan kata sambil tersengih kepadaku.
Aku mencebik bibir padanya. Suka benar dia bila ayah bergurau bab nikah kahwin ni. Sedangkan aku, tak menentu degupan jantung dibuatnya. Kalau betullah gurauan ayah, aduhai tak terbayang masa depan aku! Muda-muda dah berderet anak.Oh..tidak..tidak!
“ Apa yang pejam-pejam mata tu Along. Cepat bersihkan kaca-kaca tu. Kalau terpijak dek adik-adik sekejap lagi, tak pasal-pasal ke hospital pula malam ni,” tegur ayah.
Laju tanganku mengutip kaca-kaca yang bertebaran di lantai. Adlin menghampiriku dengan penyapu di tangan. Ali hanya memerhatikan aku dari tempat dia berdiri.
“ Kalau Ali kecil dulu, kena dah toreh tangan bila pecahkan barang dapur ni. Nak kasi pengajaran jangan ulang dan cuai lagi. Kalau sekarang ni, tak tahu la kena toreh tangan lagi ke tak?,” ujar Ali lagi.
Kerja membesihkan kaca yang pecah terhenti. Aku berpaling pada ayah. Kalau betul ada hukumannya begitu, aku rela menadahkan tangan.
“ Tak payah la nak bertoreh tangan, Along bukannya budak kecil lagi. Dah besar panjang pun,”  balas ayah pendek.
Kiranya hukuman begitu hanyalah sebagai pengajaran agar hal yang sama tak berulang kembali. Tapi kalau pun mahu ditoreh tangan aku, bukanlah sampai luka. Cuma hiris tipu-tipu sahaja! Tak dihiris pun tak apa!
“ Selamat tangan Tiq. Kalau ada parut kesan toreh, tak pasal-pasal kurang seringgit hantaran kahwin orang tu nanti,” sampuk Ali sambil ketawa mengekek.
Aku menjelingnya geram. Tak habis-habis lagi rupanya bab nikah kahwin ni! Agaknya tak ada benda lain dalam fikiran si Ali ni. Alahai, pening kepala melayan budak baru baligh nih! Gatalnya terlebih-lebih!
“ Diam pun abang bila kena jelingan maut Kak Tiq. Padan muka kena sound!,”tempelak Adlin bila ketawa Ali terhenti dek jelinganku.
Ali mengangkat tangan tanda menyerah kalah. Raut mukanya yang takut-takut membuatkan aku mengukir senyuman. Alhamdulillah, sedar diri juga akhirnya!
—————————————-
Ayah mengambil keputusan untuk bertolak dari rumah Wan seawal jam 8 pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas musim cuti sekolah yang akan berakhir. Awalnya Wan berat hati mahu melepaskan kami pulang tapi akhirnya akur juga. Aku dan Afiq dilepaskan pulang dengan satu pesanan.
“ Jadi anak soleh pada ibu dan ayah. Bukan anak yang toleh!”
Aku dan Afiq mengangguk laju. Bukan kerana nasihat Wan yang menusuk kalbu tapi kerana tak sabar mahu kembali ke rumah sendiri. Rindu dengan games, rindu pada shopping mall dan rindu pada kehidupan lama yang sudah 3 minggu kami tinggalkan.
“ Jangan angguk je, Wan nak tengok buktinya!,” tegas Wan lagi.
Aku dan Afiq tersengih sesama sendiri  dengan pesanan Wan. Aduhai, macam tahu-tahu je perangai cucunya ini!
“ Yes, mam!” Wan tersenyum lebar bila aku dan Afiq membalas kata-katanya serentak dan penuh semangat. Bangga benar dengan cucu hasil didikannya musim cutinya ini gamaknya!
“ Mak jangan risaulah bab budak-budak ni. Azri yakin didikan mak berkesan punya. Mak Azri kan hebat, melentur buluh yang dah keras pun dia boleh buat.” seloroh ayah pada Wan sebelum mereka bersalaman.
Aku dan Afiq mengiyakan kata-kata ayah sambil ketawa mengekek. Wan mencebik bibir. Faham benar dengan ayat ayah yang berbasa-basi.
“ Kalau tak berkesan, apa Azri nak buat,” soal Wan pendek pada ayah.
Ayah menggaru kepalanya yang tak gatal. Sekilas, dia berpaling pada kami.
“ Ayah hantarkan balik Along dengan Angah dekat sini sampailah didikan Wan tu berkesan. Lagi pun, kalau kami datang, boleh temankan Wan,takdelah Wan sunyi sangat,” balas Afiq selamba.
Senyuman ayah terukir di bibir sebelum menganggukan kepala.Wan hanya menggelengkan kepala mendengar kata-kata Afiq yang memang ada benarnya.
“ Boleh belajar uruskan rumahtangga juga. Taklah pening Ali nak didik Tiq esok-esok,” sampuk satu suara di belakang aku.
Afiq tersengih memandang aku yang mengetap bibir. Tak lain tak bukan mamat kus-kus yang datang, geng tangan berapi yang dah pandai mengayat aku!Si Ali.
“ Datang tak bagi salam, terus menyampuk orang berborak. Teruk betul perangai,” tempelakku.
Ali tersengih sendiri, sedar kesilapannya. Dia menghampiri aku dan Ali. Di tangannya ada buku nota kecil. Aku memandangnya pelik, apa kena pula hamba Allah seorang ni?
“ Ali nak minta alamat Tiq, sekolah dengan rumah. Nak tukar-tukar kertas soalan periksa, boleh kan?”, jelas Ali pendek.
Aku menganggukkan kepala. Buku nota yang dihulur Ali aku sambut. Laju aku menulis alamat yang diminta. Jangan dia menggatal tulis surat berbunga-bunga cinta dekat aku sudah la!
——————————————————————
Kembalinya aku ke sekolah tahun ini dengan perasaan berbeza. Tak boleh naka-nakal lagi, harus memikul tanggungjawab sebagai pengawas sekolah. Mahu tak mahu, harus memupuk sikap lebih bertanggungjawab dan memberi teladan yang baik pada pelajar yang lain.
“ Orang tu dah tak boleh geng dengan kita. Dia dah naik pangkat, manalah boleh kawan dengan budak nakal macam kita ni lagi,” sindir Aida di hari pertama persekolahan.
Bingung aku dibuatnya. Antara tanggungjawab dan erti persahabatan. Bila Aida melakukan kesalahan disiplin, mahu tak mahu aku harus membuka mulut menegurnya. Aida tarik muka, aku diburu rasa bersalah. Kalau ikutkan hati, aku nak meletak jawatan serta-merta. Tapi pujukan Cikgu Nab membuatkan aku terpaksa harus rela memikul tugas ini.
“ Tugas Tiqah ni tanggungjawab dari Allah. Tak boleh mengalah. Mula-mula je kawan-kawan susah nak terima. Lama-lama bila dia dah faham, semuanya ok la tu.”
————————————————–
Ali menepati janjinya pada aku. Kali pertama dia selesai peperiksaan, dia mengirimkan kertas soalan peperiksaan kepadaku dengan satu pesanan.
“ Tak sabar nak tunggu Tiq balik Pahang cuti bulan 3 ni. Rindu sangat-sangat ni!”.
Aduhai, ayat power habis sepupu aku seorang ni. Mujurlah pesanannya ringkas sahaja. Kalaulah dia tulis ayat-ayat power dia dalam kertas kajang macam orang lain yang hangat bercinta, silap hari bulan naik nama aku waktu perhimpunan sekolah. Tapi terkesan juga hati aku dengan tulisannya itu. Tak pasal-pasal!
Namun, harapan Ali tinggal harapan bila kami sekeluarga tak jadi pulang ke Pahang cuti tersebut. Kandungan ibu mengalami komplikasi dan ibu ditahan di hospital. Kelahiran adik baru harus disegerakan. Cuti bulan 3 kami meriah dengan adik lelaki comel, Muhammad Aqil namanya. Wan dijemput ayah ke rumah, menjaga ibu sepanjang berpantang.
Aku tak duduk diam di rumah. Harus mengambil alih tugas ibu. Tambahan pula ibu menjalani pembedahan ketika melahirkan Aqil, lebih banyak pantang larangnya. Tak boleh terlalu aktif seperti orang lain, tak boleh itu, tak boleh ini. Macam-macamlah pantang larangnya.
“ Kalau macam nilah seramnya bersalin, Along tak mahu la beranak esok-esok,” luahku.
Wan dan ibu ketawa mengekek. Pantas juga ibu memujuk aku. Katanya, itulah pengorbanan terbesar seorang ibu untuk anaknya. Pengorbanan yang akan dikenang sampai bila-bila dan dijanjikan oleh Allah S.W.T pahala dari-Nya.
“ Mana boleh cakap macam tu. Tak boleh merasa lebih dan istimewanya perempuan la kalau tak mahu beranak. Tak silap ibulah, kalau seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya. Besar tu ganjaran dari Allah S.W.T, Along tak nak ke?”
Hanya segaris senyuman aku lemparkan pada ibu. Dalam nada bergurau, aku katakan pada ibu aku akan mengikuti jejaknya. Menikah sebaik sahaja selesai SPM, lebih cepat merasai istimewanya bergelar seorang perempuan.
“ Ibu pegang kata-kata Along. Calon pun dah ada, tak payah susah nak mencari. Tapi sebelum tu, kenalah belajar uruskan baby dulu. Ni pegang baby pun takut, macammana nak jadi ibu mithali,” seloroh ibu lagi.
Aku menggaru kepala. Siapa suruh bergurau tak kena tempat, tak pasal-pasal aku terkena balik. Melihat aku serba tak kena, ibu tergelak kecil.
“ Ibu gurau jelah. Ibu tak mahu anak ibu ikut jejak ibu. Ibu nak Along belajar setinggi mungkin. Kalau boleh dah ada degree, barulah fikir pasal nak bersuami,” pujukan ibu mengembalikan senyuman aku.
Nasib baik ibu bergurau. Kalaulah betul, suram dan kelamlah hidup aku!
—————————————————
Mengingat harapa ibu dan ayah pada aku, aku harus berusaha bersungguh-sungguh untuk SPM yang bakal menjelang. Sebagaimana tips yang diberikan oleh penceramah, aku bertukar soalan peperiksaan dengan negeri lain. Tak lain tak bukan, soalannya dari negeri Pahang aku perolehi dari Ali. Biarpun balasan dari aku lambat dan kadang kala aku lupa untuk menghantar soalan-soalan yang dimintanya, dia tetap dengan rutinnya. Mengingat sikapku begitu, malu juga dengan dia. Mujur ayah sering mengingatkan aku. Katanya orang dah berbudi, aku kenalah berbahasa!
“ Dapat surat cinta lagi ke Atiqah? Dengki betul Cik Ta,” seloroh Cik Azita, kerani sekolah setiap kali aku mengambil sampul surat berisi kertas soalan dari Ali.
Aku tersengih sahaja dengan tegurannya. Maklum juga dengan status Cik Azita yang masih bujang walaupun usianya sudah menjangkau 40 tahun.
“ Kalau Cik Ta nak surat ni ambil la! Tiq tak kisah pun. Sebab tak boleh nak gelak ketawa pun baca. Cemberut muka buat soalan periksa adalah,” balasku.
Cik Azita tergelak. Surat yang bertulis namaku bertukar tangan. Surat kali terakhir barangkali kerana hanya soalan peperiksaan percubaan SPM belum diterima. Tinggal bertungkus lumus dengan soalan-soalan percubaan yang mungkin keluar di peperiksaan sebenar. Selepas ini, tak mungkin ada lagi tulisan luahan hati Ali pada aku pada setiap kertas soalan yang aku terima. Angau tak habis-habis. Penat aku bergelak ketawa dengan ayatnya yang berbunga-bunga. Aduhai!
———————————————-
Pelik aku rasakan kali ini, tak ada lagi ayat-ayat jiwang dari Ali di setiap kertas set soalan. Cuma ada doa. Doa-doa memohon kepada Allah S.W.T dipermudahkan segalanya. Setiap doa yang ditulis, ada nama aku dia yang tercantum sama. Di set soalan terakhir, hati aku tersentuh. Dia meluahkan rasa hatinya, kesedihan dia dalam menghadapi peperiksaan mendatang. Dan aku sedar, betapa kuatnya dia menghadapi dugaan dari Illahi tika dia seusia denganku.
“ Ya Allah, ampunilah kedua ibu bapa kami dan sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi kami ketika kami kecil. Ya Allah, kuatkan aku menghadapi dugaan-Mu. Ya Allah, sungguh aku rindu pada dia, ibuku yang kau pinjamkan seketika padaku. Ku rindu pada belaian dia di kepalaku. Ku rindu pada setiap butir bicaranya bila aku tidak mahu mendengar katanya. Ku rindu akan doa seorang ibu pada anaknya. Tapi aku tahu, KAU lebih menyayangi dia. Ya Allah, aku rindu dia. Rahmati dia dan tempatkan di kalangan hamba-MU yang beriman. Ya Allah, perkenankanlah permintaanku ini.”
Tak sedar ada titisan airmata yang laju menuruni pipi. Panas aku rasakan. Kertas soalan aku letakkan di meja, laju aku mengangkat kaki meninggalkan study room. Aku ke tempat wudhu. Kemudian, aku kembali ke bilik untuk solat hajat. Berdoa agar kekuatan terus bersama Ali, rahmat dan keredhaan terus bersama kami, Mak Ngah ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang beriman dan kejayaan dunia akhirat jadi milik kami.
Dan tulisan Ali juga menyedarkan aku betapa beruntungnya aku kerana masih mempunyai seorang ibu. Dan sungguh rasa rindu pada ibu membuak di hati saat ini. Kalaulah tak kerana peraturan tidak boleh menggunakan telefon di malam hari, sudah lama aku menghubungi ibu. Tapi apa nak buat, aku hanyalah menurut perintah. Mahu tak mahu, aku harus mematuhi peraturan yang ditetapkan. Takkan seorang pengawas nak buat perangai macam mawas lagi kan?
——————————————————
Ibu terkejut bila aku menghubungi dia seawal jam 7 pagi. Bukan satu kebiasaan aku menelefon ke rumah di pagi hari. Aku berdalih pada ibu. Aku katakan aku rindu pada Aqil yang sudah pandai meniarap.
“ Rindu dekat Aqil je ke? Ibu tak rindu?,” gurau ibu.
“ Kalau dekat ibu, lagilah berganda-ganda rindunya. Minggu ni, ibu datanglah sekolah Along. Bawa adik sekali. Tak sabar nak gigit pipi adik.”
“ Tak sempat Along gigit dia, dia dah menangis. Aqil dengan Angah je dia ok. Sebab Angah biasa layan dia. Dengan Aisyah, menangis jelah kerjanya. Aisyah suka menyakat dia,” cerita ibu lagi.
“ Dengan Along agaknya dia menangis jugalah bila jumpa. Dah sebulan tak jumpa, tak kenal dekat Along dia ni agaknya,” luahku.
“ Jangan risaulah. Mula-mula je macam tu. Kalau dah lama sikit, dia ok la nanti,”pujuk ibu.
“ Erm, ibu. Along call ni bukan sebab rindu. Sebenanrnya Along nak minta maaf pada ibu atas segala salah silap Along.” Bila aku memohon ampun dan maaf, sekali lagi ibu tergelak kuat.
“ Minta maaf sebab apa? Hari raya lambat lagi kan?,”seloroh ibu.
“ Apa mimpi malam tadi ni Along?,” soal ibu dalam ketawanya yang masih belum hilang.
“ Tak mimpi apa-apa. Cuma rasa Along banyak berdosa pada ibu je. Ibu maafkan Along. Along harap ibu doakan kejayaan Along dunia dan akhirat,” balasku dalam nada sebak.
Ibu terdiam seketika sebelum mengiyakan sahaja permintaan aku.
“ Ibu maafkan. Ibu doakan Along bahagia dan berjaya dunia dan akhirat. Jadi anak soleh pada ibu dan ayah selama-lamanya.”
Saat ibu menuturkan kata-kata itu, fikiran aku melayang jauh ke Kampung Janda Baik. Terkenangkan Ali yang tak punya kesempatan menikmati hal yang serupa sepertiku. Sungguh, rasa simpati membuak-buak padanya. Doa seorang ibu yang dijamin Allah S.W.T akan dimakbulkan tanpa hisab sebagaimana pesanan Ustazah Azlina kelmarin.
“Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah S.A.W. akan hal tersebut, jawab baginda: “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”
Dalam hati, sekali lagi melafaz syukur kerana masih punya ibu yang amat penyayang. Moga Ali tabah menghadapi dugaan ini. Itu doaku dalam kejauhan kami!

No comments: