@rubiadaibrahim

Sunday, August 22, 2010

Ayat Power 25:Dia?

Hampir 3 minggu aku menjalani praktikal di bahagian psikiatri, barulah keputusan aku bertukar ke bahagian lain diterima. Orang yang paling gembira dengan berita tersebut sudah tentulah si Einstein. Meleret senyuman dibibirnya sebaik sahaja menerima surat jawapan dariku. Tak henti-henti juga dia mengucap syukur.
” Alhamdulillah, senang hati abang lepas ni. Tak ada la risau sangat takut anak kita kena kenan,”selorohnya.
Aku mencebikkan bibir. Tak habis-habis dengan kenan. Percaya sangat dengan benda-benda mengarut.
” Masuk kat opthalmologi ni boleh la ibu mengandung rehat lebih sikit. Kerja pun tak berat mana, tak adalah Bilah letih macam duduk psikiatri dulu,” tambah Einstein lagi.
Kata-katanya aku akui. Memang kerja di bahagian opthalmologi lebih ringan berbanding di psikatri. Jadi, tumpuan aku pada kandungan yang sudah mahu masuk 3 bulan ini sudah tentulah lebih baik. Insya-ALLAH, aku akan menjaga buah hati kami yang makin membesar ini sebaik mungkin.
” Lepas ni, tak ada lagi alasan sibuk sampai tak lalu nak makan,” tegas dia berkata-kata. Kedengaran seperti amaran pula di telingaku.
” Bukan sebab sibuk juga tak lalu nak makan sebelum ni. Memang tak ada seleralah abang. Rindu nak makan masakan abang kot,” gurauku.
Einstein tergelak kecil. Laju tangannya mencuit hidungku. Aku menjelingnya tajam, berpura-pura geram.
” Alahai, merajuklah pula. Rindu nak makan masakan abang ke? Abang boleh masakkan, tapi bukan sekaranglah. Bilah tahu la tour kerja abang tu macam mana. Tak menentu,” balas Einstein perlahan.
Aku menganggukkan kepala. Aku faham kesibukan dia. Kerana itulah, aku tidak terlalu berharap dia melayanku seperti layanan pasangan bakal ibubapa yang lain. Aku sedar ada komitmen sebagai pelajar yang harus kami penuhi dan laksanakan juga.
” Insya-ALLAH, lepas ni abang free sikit. Bilah cakap ajalah Bilah nak makan apa, abang masakkan semuanya. Kalau mengidam pelik-pelik pun abang cuba tunaikan,” balasnya dalam nada bergurau.
Aku tergelak. Berjanjilah sekarang, nanti aku tuntut baru tahu. Kalau sekarang, bolehlah manis kata-kata, berjanji macam-macam. Kalau aku dah mengidam esok-esok, tak tidur malam lah Encik Umar Al-Farouq dibuatnya.
” Sekarang ni Bilah tak mengidam apa-apa lagi. Cukuplah perhatian dan kasih sayang abang,” ucapku. Syahdu pula bunyinya.
Einstein mengalihkan pandangan pada aku. Bila aku membalas pandangan matanya, senyuman terukir di bibirnya. Serta-merta, dia mengeratkan genggaman tangannya. Kami berjalan beririingan hinggalah aku tiba di depan rumah sewaku. Einstein menghantar aku hingga ke pintu rumah. Sebelum kami berpisah, sempat dia berpesan pada si kecil dalam kandungan.
” Jangan nakal-nakal tau. Jangan buat mama letih. Sayang anak mama dan papa ni. Assalamualaikum”.
————————————————————–
Saban malam, Einstein akan menefonku. Dia akan berbicara denganku sebelum bersama-sama membacakan surah-surah amalan ketika hamil. Kalau dikenang-kenang, habis jugalah duit dia kalau berterusan begini. Nak topup kredit. Bila aku mula bising kesiankan dia, dia memberikan alasan tersendiri.
” Abang tak mahulah anak kita rindukan papa dia. Takkan mama je dengar suara papa. Mana fair macam ni.”
Aku tergelak kecil dengan alasannya. Macam-macam perangailah suamiku ini.
” Tak apalah sayang. Habis duit untuk isteri sendiri. Abang tak mahu Bilah rasa sunyi duduk jauh-jauh macam ni. Kalau orang lain yang duduk sama, sama-sama bacakan surah-surah tu. Abang nak juga rasa benda yang sama walaupun terpaksa berpisah sekejap,” jelasnya panjang lebar.
Aku mengiakan kata-katanya. Bila dia menelefon saban malam, aku rasakan betapa dia juga sudah sedia memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa. Kegembiraan di hati hadir setiap kali dia meluahkan rasa hatinya pada aku. Sungguh, aku tetap merasakan kebahagiaan itu biarpun terpaksa berpisah seketika.
” Hujung minggu ni kita balik Gombak ya sayang. Tak tahanlah dah dua minggu tidur seorang diri. Lagipun, abang kesiankan isteri abang ni dah lama mengidam nak makan masakan abang,” cadangnya.
” Insya-ALLAH. Itulah siapa suruh tak mengandung, dah tidur seorang diri. Kalau mengandung, ada juga yang temankan abang. Jangan jealous dengan Bilah ya,” gurauku.
Einstein tergelak di hujung talian. Dia menanggapi kata-kataku. Kalaulah lelaki boleh mengandung, dia sanggup mengandungkan anak kami. Kelakar juga bila dikenang-kenang. Muka punyalah macho, sekali perut boyot bawa budak!
” Jealous la ni. Tapi tak apalah. Kalau dah habis emergency nanti, kita pindah rumah sendiri ya. Senang abang nak jaga mak buyung abang ni. Apa-apa pun ni sekarang ni dah dekat pukul 11 malam. Selamat malam sayang. Peluk cium abang untuk mama dan baby. Assalamualaikum. Love you,” ucap Einstein sebelum mengakhiri perbualan.
Aku membalas ucapannya perlahan. Tanpa sedar, ada senyuman terukir. Baru sebentar tak mendengar suaranya, sudah ada rasa rindu berputik di hati. Sungguh, rindu serindu rindunya pada suamiku yang jauh di mata dekat di hati itu.
———————————————–
Biarpun tugasan di bahagian mata tidaklah seberat bahagian-bahagian yang lain, penat tetap terasa. Tambahan pula pesakitnya boleh tahan ramai. Penat juga melayan karenah pesakit yang macam-macam. Apa-apa pun, aku akan gagahi demi tugas. Mahu tak mahu, aku tidak boleh memanjakan diri. Harus melaksanakan amanah yang diberi dengan sebaik mungkin. Dari sudut lain, pelajaran buat anak dalam kandunganku ini agar jadi manusia yang tabah dan cekal di masa akan datang.
” Aku suka stail kau Nabil. Tak manjakan kandungan kau. Kalau dimanjakan sangat, lembik dan cengenglah anak kau nanti,” komen Dania bila aku bercerita soal kesibukanku sehari-hari.
” Tau takpe. Kalau mama dia ligat semacam masa mengandungkan dia, terlebih aktif la anak kau nanti. Aktif-aktif pun dia confirm takut dengan Cik Nani dia ni,” seloroh Nani pula.
Ketawa aku lepas mendengar kata-kata Nani. Kalau betullah anak aku nakal esok-esok, Nanilah aku cari untuk didik dia. Tapi harap-harap, terkawal la si kecil kami ni esok-esok. Kalau tidak, penatlah aku nak melayan karenahnya.
” Nak tengok baby nakal ke tidak esok-esok, doakan la baby keluar dengan selamat ye,” balasku.
Keduanya mengukir senyuman dengan kata-kata aku. Suasana ruang tamu sunyi seketika. Tak lama kemudian, deringan telefon bimbitku memecah kesunyian. Aku tersenyum sendirian sebelum mengangkat telefon. Nani dan Dania tersengih-sengih melihat reaksiku.
” Cik abang dia telefon la tu? Dengki aku,” ujar Dania kuat.
Aku tergelak kecil sebelum mengatur langkah ke bilik.
” Kalau dengki, silalah nikah cepat. Maaf la kawan-kawan. Waktu untuk bermesra dengan suami terseayang dah bermula. Harap maklum,” balasku selamba.
Tanpa memperdulikan mereka mencebik padaku, aku terus berlalu. Inilah adat rumahtangga zaman belajar. Siang berkerja, malam bermesra. Tapi melalui telefon jelah! Redha jelah aku!.
———————————————–
Aku bertemu dengan Khadijah ketika waktu rehat. Melihat dia makan seorang diri, aku akhirnya mengambil keputusan untuk menemani dia. Awalnya dia terkejut bila aku menegurnya. Lama-kelamaan, rancak pula kami berborak. Al-maklumlah, Khadijah orang pertama yang mengetahui soal kehamilan aku. Macam-macamlah soal siasatnya. Bimbang benar dia kalau tidak ada orang yang memerhatikan aku.
” Jangan bimbanglah Khaty. Dekat rumah ada 2 orang mak nenek jaga aku. Dekat sini, ada 3 orang mak nenek. Tambah dengan kau, ada 6 orang mak nenek semuanya,” selorohku.
Mengekek Khadijah ketawa.
” Yelah aku mak nenek. Kau bakal mak orang. Jaga kandungan kau baik-baik. Sebagai orang pertama tahu pasal ni, aku tak sabar nak tengok baby kau nanti,” ujar Khadijah.
” Kalau kau tak sabar, aku lebih-lebih lagi. Kau doakan lah semunya ok ye. Risau jugalah kalau-kalau jadi apa-apa. Tapi selagi termampu, aku akan jaga kandungan ni baik-baik,” tambahku penuh yakin.
Khadijah meyakinkan aku. Katanya aku akan jadi ibu terbaik suatu hari nanti. Dan itu juga harapan aku tentunya. Anak yang sudah membesar dalam kandungan ini lahir dengan selamat. Dia akan jadi anak yang soleh pada kedua ibubapanya, Nabilah Azna dan Umar Al-Farouq.
Namun, cerita yang disampaikan Khadijah sebelum kami berpisah sedikit  mengangguku. Katanya ada perempuan seusia ibuku bertanyakan keberadaan aku di bahagian psikatri sehari selepas aku berpindah ke bahagian lain. Bila aku bertanya lebih lanjut, dia juga tak pasti siapa orangnya. Cuma sempat dia berpesan agar aku tidak ke bahagian psikatri lagi. Bimbang kalau diapa-apakan perempuan yang mendaftar sebagai pesakit luar tersebut. Bingung juga aku dibuatnya!Siapa yang mencari aku agaknya ya?
——————————————————–
Aku dan Einstein pulang ke rumah mentuaku di Gombak petang Jumaat. Adik iparku menjemput kami dengan menggunakan kereta ayah. Biarpun aku sedikit terganggu dengan cerita Khadijah dua hari lepas, aku cuba mempamerkan raut gembira pada adik iparku. Tak sabar melihat aku selepas mengandung katanya.
” Tak banyak bezalah. Cuma Kak Ngah makin cantik. Seri pembawakan baby ni!,” seloroh Aisyah.
Aku mengiakan sahaja. Dah ramai berpendapat begitu. Tapi entah berseri, entah tidak aku tak tahulah. Tak sempat membelek muka dek kesibukan bekerja ke sana ke sini.
” Tapi Kak Ngah makin kurus sekarang. Kurus menanggung rindu dekat abang la ni ye?,” tambah Aisyah lagi.
” Mahunya Kak Ngah tak rindu dekat Angah. Suami terbaik di muka bumi ni,” balas Eisntein sebelum sempat aku membuka mulut.
” Eleh, perasan. Siapa yang rindu siapa sebenarnya?,” gurauku.
Einstein tergelak. Dia mencapai tanganku dan dibawa ke bibirnya. Dikucup lembut. Malu juga aku diperlakukan begitu dihadapan Aisyah.
” Kalau malu, suruh Aisyah duduk mata,”selamba Eisntein menuturkan kata-kata. Aku menjengilnya geram. Bila aku mahu mencubit lengannya, dia menyambar tanganku pantas. Sekali lagi, tanganku dikucup lembut. Dan kali ini, aku membiarkan sahaja. Kalau diberi amaran, makin menjadi-jadi perangai dia.
———————————————
Dua hari di rumah mentua memang saat paling bahagia bagiku. Manakan tidak, layanan diberikan ala diraja. Apa juga aku mahukan, ditunaikan. Melihat aku yang makin kurus selepas disahkan mengandung, makin banyaklah makanan-makanan berkhasiat dihidangkan pada aku. Kalau beginilah makanan yang dimakan setiap hari, tak lama kena Diabetes Melitus pula aku. Tak pasal-pasal dapat Giant Baby esok-esok. Tapi apa-apa pun, syukur kepada ALLAH kerana dikurniakan keluarga mentua sebaik ini.
” Kalau nak makan apa-apa, telefon je ibu. Insya-ALLAH, ibu masakkan. Kalau tunggu Angah, macam menunggu pungguk la Bilah,”pesan ibu mentuaku sebelum kami berangkat pulang.
” Setakat ni tak ada apa-apa lagi ibu. Nanti kalau dah mengidam, Bilah cakap dekat ibu. Harap-harap, cucu ibu ni tak mengidam yang pelik-peliklah,” balasku.
Ibu tersenyum manis mendengar jawapan aku. Lauk-pauk untuk bekalan makan malam dimasukkan ke dalam bonet kereta. Jelas dia bimbang kalau-kalau aku melupakan makan malam aku. Justeru, dikirim masakannya untuk aku makan malam nanti.
” Lauk ni jangan lupa makan. Kesian dekat cucu ibu lapar nanti,” tambahnya sebelum aku masuk ke dalam kereta.
Lebar senyuman aku menandakan aku akan mengikuti apa juga nasihatnya.
” Dengar tu sayang. Ibu membebel je panjang lebar dekat Bilah ni. Kalau dengan Angah, dia bukannya makan saman,” sampuk Einstein.
Aku menjelingnya geram. Selamba memalukan aku depan mak mentua aku. Geram betul.
” Ibu tak mahu membebel dekat Bilah. Ibu nak membebel dekat Angah. Seribu kali sibuk pun, jangan lupa dekat anak isteri. Setiap hari kalau boleh luangkan masa dengan Bilah. Dengar apa ibu cakap ni. Sekejap ye Bilah, ayah panggil Angah masuk,” ujar ibu.
Seakan meminta izin dariku pula. Aku ditinggalkan dengan Aisyah di luar rumah. Einstein mengikuti langkah ibu ke ruang tamu. Lama juga kami mereka di dalam. Entah apa dibualkan, aku pun tak pasti.
”Angah kena brainwash dengan ayah kot. Maklumlah tengok Kak Ngah kurus macam ni, agaknya ayah takut ada masalah kot. Sometimes wrong somewhere,” ujar Aisyah.
Kata-katanya seperti mahu memujukku. Menghilangkan kegusaran di hati. Tapi rasa gusar tetap tak hilang. Melihat wajah Einstein yang makin keruh selepas pertemuan dengan ayah di dalam, hati aku berdegup makin kencang. Seakan-akan ada sesuatu yang dirahsiakan dari pengetahuanku. Untuk bertanya lebih lanjut, aku tak tahu mahu berkata-kata apa. Sudahnya, aku berdiam diri hinggalah aku tiba di depan rumah sewaku. Biarpun pesanan dari Eisntein menggambarkan betapa dia mengasihi aku, sikapnya yang terus berahsia membuatkan fikiran aku terganggu.
” Jaga diri baik-baik sayang. Love you always,” ucapnya perlahan sambil menghadiahkan kucupan di dahiku.
Aku membalas perlahan kata-katanya dalam rasa hati yang tak pasti. Bila kereta ayah berlalu meninggalkan rumah, barulah aku membuka pintu utama. Aku melangkah masuk.
” Assalamualaikum, Dr.Nabilah,” sapaan seseorang dari dalam rumah membuatkan aku kaget. Matanya yang mencerlung tajam pada aku membuatkan aku di buru rasa bimbang. Kenapa dia datang lagi? Tak cukupkah dia membuatkan hidup aku serba tak tentu dek kunjungannya sebelum ini?
”Ya ALLAH, diakah yang dimaksudkan Khadijah sebelumnya? Kalau dialah pesakit yang bertanyakan aku, KAU lindungilah aku dan kandunganku ini,” lafazku dalam hati.
Sungguh, aku tak tahu harus bagaimana menerima tetamu yang tak ku duga ini!

3 comments:

Miss Kira said...

siapakah????

miz ruha said...

wah,,,!!
lme tgu n3 bru,,,

sape tu,,,??

iena said...

salam cik writer...

dah lama tunggu smbungan cerita ni..alhamdulillah akhirnya ada jgk smbgn...suspen la plk sapa tu...ni mesti makcik yang jumpa bilah hari tu....

x sabar nak tunggu novel smbgn ccb...