@rubiadaibrahim

Tuesday, November 16, 2010

~N3 Special CCB: Curi?~

             Suasana sunyi menyelubungi perjalanan pulang ke Shah Alam. Tidak ada pertanyaan mahupun ulasan dari walid dan Abang Wan soal kes khalwat yang berlaku pada aku dan Faizal sebentar tadi. Abang Wan memandu kereta dengan kelajuan sederhana, pandangannya ditumpukan pada jalan yang tidak terlalu sibuk. Walid juga mengunci mulut. Aku diburu resah dengan sikap keduanya.
            “ Walid, Bibi nak minta maaf banyak-banyak,” ujarku perlahan.
         Walid tak berpaling. Dia hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Masih marah dan terkejut dengan aib yang terjadi pada cucu perempuan tunggal keluarga As-Syarif ini barangkali.
            “ Benda dah jadi, bukannya boleh diundur. Tak payah nak minta maaflah Bibi. Bukan salah Bibi sepenuhnya pun,” sampuk Abang Wan pula.
            Aku mengerut dahi. Kiranya mereka menerima apa yang terjadi dengan hati terbuka. Seharusnya aku bersyukur dengan penerimaan mereka. Tapi entahlah. Susah ditafsir rasa hati yang masih diburu kebimbangan saat ini.
            “ Kalau tak marah pasal kes ni, kenapa dari tadi Abang Wan dengan walid diam je? Sekali lagi, Bibi minta maaf sebab memalukan keluarga kita,” tambahku lambat-lambat.
            Walid berpaling seketika ke arahku. Dia melemparkan senyuman tipis. Mungkin tanda kemaafan, mungkin juga ada maksud tersirat dari senyumannya itu.
            “ Walid tengah fikir apa jalan terbaik untuk anak kesayangan walid ni. Bukan senang nak berdepan dengan kes ni. Walaupun Bibi dan Faizal nak bawa kes ni ke mahkamah, banyak hal-hal lain kita kena fikirkan juga. Masa depan Bibi, masa depan Faizal selepas ni. Semuanya samar-samar dah tak jelas. Itu yang buat walid risau dan bimbang,” tegas Walid bersuara.
            Aku mengetap bibir. Lidahku kelu, tak mampu berbicara. Kiranya itu yang membuatkan Walid gusar. Kalau Walid pening memikirkan hal tersebut, aku lebih lagi. Tak dapat aku bayangkan masa depanku bermula hari ini. Kalau kami disabitkan dengan dakwaan tersebut, pastinya masa depan aku kelam dan suram. Aku akan dibuang dari universiti dan impian aku untuk bergelar jurutera wanita pasti tinggal angan-angan. Masa depan Faizal tentulah lebih rumit lagi. Sungguh, tak dapat aku bayangkan masa depan kami.
            “ Ya ALLAH, berikan kami kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi dugaan-MU ini.”
------------------------------------------------
Ibu masih belum tidur ketika kami tiba di rumah. Raut bimbang jelas terpamer di wajahnya. Laju juga dia melangkah ke arahku sebaik sahaja aku keluar dari kereta. Ibu memimpin aku masuk, tangannya erat memelukku. Sekali lagi, aku diburu rasa serba salah dengan penerimaan ibu.
“ Zah, Bibi penat tu. Biarkan dia berehat. Kalau nak bincang apa-apa, esok aje,” arahan Walid membuatkan ibu mengunci mulut. Aku dituntun ke bilik. Sebelum menutup pintu, sempat dia berpesan padaku.
“ Selamat malam sayang. Jangan fikirkan sangat pasal kes tu. Insya-ALLAH, semuanya okey.”
Hanya segaris senyuman aku lemparkan pada ibu sebelum ibu berlalu. Sungguh, saat ini aku tak tahu jalan terbaik untukku. Biarpun niat aku untuk membawa kes ini ke muka pengadilan telah bulat, ada hal lain yang mengasak fikiran. Peringatan Kak Nasya soal aku dan Faizal, pengakuan Faizal terhadap Syarifah No Name yang ditunggunya sekian lama. Satu persatu bermain di fikiran, satu persatu kuat di ingatan.     
“ Akak tahu dia pun pernah suka dekat Huda. Cuma dia sendiri tak pasti dengan rasa hati dia. Kalau dia tahu Huda ni SNM , confirm dia akan cancelkan majlis dia tu serta-merta. Please Huda, sesekali Huda kena berjuang untuk hati dan perasaan sendiri,” suara Kak Nasya lantang memarahi aku bila aku menerima berita majlis pertunangan dan pernikahan Faizal dengan tenang.
            Kalau dulu aku tak kisah bila dimarahi begitu, realiti hari ini amat berbeza. Mungkin kerana dulu, aku yakin Faizal tak akan sesekali berpaling pada aku. Tapi hari ini, semuanya jadi serba tak kena. Bimbang benar rasa hati kalau apa yang diperkatakan Kak Nasya jadi kenyataan. Lebih bingung dan resah bila teringatkan luahan hati Faizal di pejabat malam tadi.
            “ Tak tahulah Nur. Tiba-tiba saya rasa sayu bila teringatkan Nur. Padahal tak sepatutnya saya, bakal tunang dan suami orang ni rasa macam tu. Saya rasa dekat sangat dengan Nur dan kalau boleh saya tak mahu Nur jauh dari saya.”
            Lirih dan sayu pengakuannya menampan telinga. Sungguh, bergetar hatiku dengan pengakuannya. Mungkin dia dapat merasakan akulah SNM yang dicarinya sekian lama. Tapi sikap aku yang terlalu berahsia membuatkan dia tak dapat memberikan kepastian. Kalau benar dia meneka akulah SNM yang dicari, dia tak sepatutnya mempamerkan rasa terkejutnya bila walid dan Abang Wan menjemput aku pulang sebentar tadi. Mungkin juga ada rasa kesal yang terbit di sudut hatinya kerana lambat mengenali aku. Dan mungkin juga dia malu bila mengenang betapa angkuhnya dia suatu ketika dahulu.
Tak akan menyesal pun. Sebab Ain Batrisya is much better. Kalau SNM yang you maksudkan tu Nur, baik I membujang sampai tua. Tak sanggup I bayangkan  kalau berlawan cakap setiap hari.Botak kepala den!”
Aku tak tahu apa yang bermain di fikirannya. Dia bagai hilang arah bila aku pergi meninggalkannya sebentar tadi. Tapi entahlah, sukar mentafsir hati manusia. Dan saat ini, aku sendiri bingung dan keliru dengan perasaan aku sendiri.
--------------------------------------------------------
            Usai solat Subuh, ibu meminta aku membantunya di dapur. Sama seperti rutin setiap kali aku pulang ke rumah besar ini. Seakan tiada apa yang berlaku dan mengganggu kami. Namun, aku tahu dan faham benar sikap tenang Walid. Walid akan mencari masa yang sesuai untuk berbicara soal semalam. Walid akan berbincang dari hati ke hati soal itu bila sudah tiba waktunya nanti. Jadi, aku juga harus bersikap tenang walaupun hati ini tak pernah tenteram sejak semalam.
            “ Hari ni kita masak simple jelah Bibi. Sandwic sardin dengan nasi goreng. Bibi buat sandwic, ibu goreng nasi. Kebetulan pula nasi semalam banyak lagi lebih ni,” arah ibu pada aku.
            Aku menuruti arahan ibu. Roti dan tin sardin dalam kabinet dapur aku capai. Selesai membuka tin, aku memasak sardin sebentar di atas dapur. Ibu memerhatikan aku dengan senyum simpulnya.
            “ Bertuah siapa jadi suami anak ibu ni esok-esok. Dah cantik, cekap buat kerja dapur pula tu,” puji ibu.
            Aku hanya tersenyum manis. Pujian ibu cukup dalam maknanya. Seketika fikiran aku teringat akan pujian Auntie Cah yang hampir serupa ketika aku berkunjung ke rumahnya suatu ketika dahulu. Pujian yang membuatkan Ain berjauh hati. Dan kerana pujian itu jugalah, aku menghilang dari mereka hinggalah bertemu kembali malam tadi. Pertemuan yang pastinya meninggalkan kesan mendalam pada keluarga Al-Syarif dan keluarga Al-Agil kerana ia melibatkan maruah dan nama baik keluarga. Tanpa sedar,ada keluhan yang lahir.
            “ Bibi, tak baik mengeluh depan rezeki. Nanti rezeki lari baru tahu,” seloroh ibu.
            Aku tergelak kecil, cuba menyembunyikan rahsia hati. Aku juga tahu dan maklum apa erti gurauan ibu. Dia mahu aku bertenang dalam menghadapi hal ini biarpun berat untuk ditanggung. Berat mata ibu memandang, berat lagi bahu aku untuk memikulnya.
            “ Ibu doakan Bibi tabah dengan ujian ni. ALLAH Maha Tahu setiap sesuatu, DIA tak akan uji hamba dia dengan dugaan yang kita tak mampu. Mudah-mudahan, ada jalan terbaik atas apa yang berlaku pada Bibi.” Tenang ibu bersuara.
            Aku juga mengharapkan hal yang sama. Moga ada jalan penyelesaian terbaik buat aku dan Faizal. Mungkin naik turun mahkamah syariah atau sebaliknya. Namun kalau kami terpaksa memilih jalan kedua, selamanya aku akan diburu rasa bersalah kerana mengkhianati kepercayaan Ain pada aku. Aku kira Faizal juga merasai hal yang sama kerana mengkhianati sahabat baiknya sendiri, Syed Ahmad Hariz. Setakat ini, jalan pertamalah yang akan jadi kesepakatan kami bersama.
-------------------------------------------------
            “ Walid dah telefon umi dan abi. Insya-ALLAH, selepas solat Jumaat mereka sampai. Walid nak minta Bibi telefon Faizal. Katakan pada dia, Walid jemput daddy dan mummy dia datang ke rumah malam ni. Nak berbincang lebih lanjut soal semalam.”
            Permintaan Walid membuatkan selera aku mati. Seperti pasir rasanya nasi goreng di dalam mulutku ini. Aku mengangguk kepala lemah. Walid menggeleng kepala dengan reaksiku.
“ Bibi jangan risaulah. Insya-ALLAH, everthing will be okay,” pujuk Abang Wan pula.
Segaris senyuman hambar aku lemparkan pada Abang Wan. Pujukan Abang Wan tak mampu menghilangkan kerisauan di hati. Rasa bimbang ini akan terus mengasak hinggalah aku temui penyelesaiannya. Persoalannya sekarang, apakah jalan penyelesaian terbaiknya? Yang aku tahu, semuanya akan terjawab sebaik sahaja kedua keluarga bersua muka dan mencapai kata sepakat. Debar di dalam hati makin menjadi-jadi mengingat hal itu.
“ Oh ya, Bibi jangan lupa telefon Nasya. Maklumkan Bibi tak masuk hari ni, nanti risau pula orang-orang dekat pejabat,” pesan Walid sebelum dia meninggalkan aku di meja makan.
Aku termangu. Walaupun sudah hampir 5 minit aku ditinggalkan sendirian di meja makan, aku masih duduk di situ. Merenung masa depan yang tak pasti. Bingung memikirkan bagaimana aku harus berdepan dengan umi dan abi tengahari ini? Bagaimana penerimaan keduanya pada aib yang melanda? Bagaimana aku mahu menyampaikan alasan ketidakhadiran aku pada Kak Nasya? Bagaimana pula reaksi Kak Nasya bila mengetahui hal sebenar? Sungguh, bingung dan buntu aku dibuatnya.
------------------------------------------------
Telefon bimbit di tangan aku renung buat sekian kali. Tidak ada kekuatan yang lahir dalam diri saat ini. Button on belum aku tekan biarpun sudah hampir 10 minit telefon bimbit dalam genggamanku. Rasa takut untuk menghadapi penerimaan orang sekeliling. Sudahnya, aku menumpukan perhatian pada rancangan Malaysia Hari Ini di depan mata. Ralit dengan rancangan topik perbincangan pagi yang dipaparkan hingga tak menyedari kelibat opah di ruang tamu.
“ Bibi tak kerja hari ni?,” soalan opah mengalihkan perhatianku.
Laju aku menggeleng kepala.
“ Baguslah. Boleh temankan opah dekat rumah. Tak adalah sunyi sangat. Erm, Bibi tak sihat ke hari ni? Opah perhatikan dari tadi termenung jauh je.  Bibi ada masalah ke? Nak kongsi dengan opah,” sambung opah lagi.
Aku menggigit bibir. Kiranya dah lama opah memerhatikan aku. Siapa suruh termenung di tempat umum, dah malu sendiri! Puaslah aku nak mencari alasan dan berdalih dengan opah sekejap lagi.
“ Kurang sihat sikit opah, tak sedap badan. Tak ada masalah apa-apalah opah,” balasku, cuba menyembunyikan hal sebenar.
Pada perkiraan aku, opah masih tak tahu kisah semalam. Buktinya, sampai saat ini tidak ada pertanyaan berupa soal siasat muncul dari mulut opah. Mungkin walid merahsiakan hal tersebut kerana tak mahu opah risau. Mengingat hal itu, aku menarik nafas lega.
“ Bibi dengan Faizal macam mana sekarang? Masih tak ada apa-apa ke?”
Pertanyaan opah lembut dan cukup perlahan menampar gegendang telinga. Aku berpaling pada opah disebelahku. Opah tersengih melihat reaksiku yang serba tak kena.
“ Ada apa-apa macammana tu opah,” soalku kembali dalam getar suara yang cuba aku tahan.
Opah tergelak perlahan. Dia menepuk perlahan pahaku.
“ Kalau tak ada apa-apa, takpelah. Bertuah siapa jadi isteri dia esok-esok. Baik budaknya, hormatkan orang tua. Siapalah agaknya perempuan bertuah tu ya?,” tambah opah.
Aku mengangkat bahu, malas mahu berbincang soal Faizal lebih panjang. Aku mengunci mulut, soalan opah aku biarkan tak berjawab. Biarpun aku dah maklum Syarifah Ain Batrisya adalah perempuan yang bertuah kerana mendampingi Faizal, aku tak mahu nama tersebut keluar dari mulutku. Aku tak mahu opah bertanya lebih lanjut soal keduanya. Selebihnya ada rasa bersalah yang mengasak dalam diri dek peristiwa semalam.
Peristiwa yang pastinya meninggalkan kesan mendalam pada hubungan dah hidup Syarifah Ain Batrisya mahupun Syed Faizal Adli .
“ Bibi, soalan opah Bibi tak jawab lagi,” teguran opah membuatkan aku kaget. Opah mempamerkan muka ingin tahunya.
“ Er...Syarifah.”
Deringan telefon di meja mematikan kata-kataku. Opah mengangkat telefon dan berbicara dengan pemanggil. Opah tersenyum sendirian sambil memerhatikan aku. Rasa ingin tahu memuncak dengan gelagat opah yang sedemikian rupa. Pastinya perbualan antara opah dan si pemanggil ada kaitannya dengan aku. Tapi siapa gerangan yang menelefon?
---------------------------------------------
“ Faizal telefon. Dia nak cakap dengan Bibi,” ringkas pesanan opah sebelum dia menyerahkan telefon pada aku.
Huluran opah aku biarkan tak bersambut kerana masih terpempam dan tak menyangka Faizal menelefonku pagi ini. Selebihnya aku tak tahu bagaimana mahu memulakan bicaranya dengannya.
“ Bibi, tak baik biarkan Faizal menunggu. Kesian dekat dia, “ tambah opah sebelum berlalu meninggalkan aku.
Aku memandang opah sekilas. Opah menjauh dari aku, seakan mahu memberi ruang pada aku berbicara. Namun raut gembira yang jelas tergambar di muka opah menyundang tanda tanya.  Jangan opah fikir bukan-bukan sudahlah! Akhirnya, telefon aku lekapkan di telinga lambat-lambat.
“ Assalamualaikum,” tegurku.
            “ Waalaikummussalam, Nur. Apa khabar?” balas Faizal di hujung talian.
Lain benar nada bicaranya. Suaranya cukup lembut, seakan berbicara pada sang kekasih pula. Ketawa aku meledak menanggapi cara percakapannya itu, menyembunyikan degupan jantung yang dah tak menentu.
            “ Kalau dah ketawa macam ni, confirm sihat sejahtera ni. Nur, malam tadi dapat tidur lena tak?,” tambahnya lagi sambil ketawa perlahan.
            Nadanya masih sama. Degupan jantung makin tak menentu dibuatnya. Sedikit sebanyak kata-katanya suatu ketika dahulu menghantui fikiranku.
            “ Nur, kau pun doalah sama ye. Lagi cepat aku jumpa dia, lagi cepat aku berubah perangai. Insya-ALLAH, kalau dah jumpa dia, aku tak akan berkasar lagi dengan kau. Aku takkan buat perangai sengal dan menggatal lagi dengan perempuan-perempuan yang aku jumpa. Sebab, aku akan beri komitmen 200% pada SNM .Insya-ALLAH. Kau pun nak aku berubah kan? Tolong  doakan ya.”
            Aku terpaku dengan perubahan sikapnya. Jelas terbukti kata-katanya suatu ketika dahulu bukan main-main. Dia telah membuktikannya hari ini. Dalam rasa serba tak kena menanggapi dia saat ini, aku akui ada rasa gembira yang mula datang di hati. Salahkah aku berperasaan begini? Ya ALLAH, apa ertinya semua ini?
            ” Nur..Nur, ada lagi tak ni?,” dia memanggil namaku bila aku diam membisu.
            Aku membiarkannya bercakap seorang diri sebelum gagang telefon aku letak kembali.
            ” Faizal cakap apa Bibi? Sekejapnya berborak,” teguran opah membuatkan aku mengangkat kepala.
            Aku mengalihkan pandangan pada opah yang setia menanti jawapan dari aku.
            ” Dia tanya khabar Bibi je. Tak sempat nak borak lama-lama, putus tadi,”dalihku.
          Opah menganggukkan kepala. Bila telefon berdering sekali lagi, opah menyuruhku mengangkatnya kerana sudah tentulah Faizal yang menelefon. Lama aku biarkan telefon menjerit meminta di angkat. Aku menimbang apa jalan terbaik menghadapi perubahan Faizal yang tak pernah aku duga.
            ” Encik Faizal, call my phone number. Assalamualaikum,” seringkas mungkin aku sampaikan pesanan.
            Dia mengiakan permintaan aku sebelum meletakkan telefon. Aku kira dia juga maklum betapa tidak selesanya aku berbicara dengan menggunakan telefon rumah. Kemungkinan besar opah memasang telinga mendengar butir perbicaraanku. Aku tak mahu opah tahu segalanya sebelum tiba masanya. Aku kira itulah jalan terbaik menyembunyikan hal tersebut dari opah untuk saat ini.
Laju tangan aku menekan button on telefon bimbitku. Langkah aku atur ke halaman rumah biarpun mengundang pertanyaan opah sebelumnya. Tak lama aku menunggu, nama Faizal sudah terpamer di skrin telefonku. Dengan lafaz BISMILLAH, telefon bimbit aku lekapkan di telinga. Moga aku dapat menyembunyikan rasa hati dengan perubahan Faizal selepas mengetahui akulah Syarifah No Name yang dicarinya selama ini. Itu harapanku biarpun aku maklum betapa lemahnya aku bila berdepan dengannya .
” Duhai hati, janganlah kau dicuri dek perubahan supervsiorku ini,” rintihku perlahan.
Dengan layanannya yang ala diktator pun aku mampu bertahan, bagaimana pula reaksiku bila layanan ala kekasih yang dipersembahkan? Jangan aku tersungkur lemah dek rayuan dia sudahlah!
---------------------------------------
Salam semua. Maaf sangat2, lama menyepi. Busy dengan rotation OBGYN n hal2 clinical. Penat dan semput mengejar masa. Alhamdulillah, saya dah habis exam. N after this, saya akan cuba sedaya upaya untuk postkan n3 di blog ni. N3 CCB ni special buat semua memandangkan saya pun xtahu bila manuskrip akan siap sepenunya. Insya-ALLAH, saya akan postkan satu lagi n3 CCB untuk tatapan anda semua.Moga2 n3 ni dapat mengubat rindu anda semua pada Syed Faizal dan SNMnya. Wassalam. Selamat menyambut Aidiladha. Maaf zahir & batin

8 comments:

Anonymous said...

tq2..rs terubat dgn n3 ccb ni..sbb sy masih kabur dgn ending yg pernah di post dulu..knp nur blh tinggalkan faizal??

Anonymous said...

Salam..

Dah lama menanti samb. CCB ini;
alhamdulillah rindu telah terubat. Moga manuskrip cepat siap atau kalau tak siap juga, poslah n3 ke sini... ramai yang menanti, ramai yang teruja nak tahu rahsia SNN yang telah terbongkar tanpa sengaja..

TQ

tarisuria said...

trima kasih penulis...
mmg best citer nih,trkejut jgk td tgk..mcm xcayer jer, sbb kate nk bukukn kn..jd x jangka la de smbungan..hoho..
tp mmg best r citer nie, keep on writing..still mnunggu..:)

Anonymous said...

its been a long time lah adik.....miss sngt kat faizal...nak lagi plz plz


hanis501

MaY_LiN said...

alahai..
tertunggu2 n3 nye..
hihihi

nana_cunoi said...

alahai..x siap lg ker manuskripye,,kata dulu dlm taun nie jgk CCB kuar..ala..frustnye..tp x pelah asalkan ada entry baru pun kira okla..sy suka sgt citer nie, x sabr betul nk tau kesudahannye...

mizd said...

btoi2 trubat rindu..senang2 post r lg n3 br

nursya said...

akhirnyer..
ader gak n3 utk pgubat windu CCB nie...
tq writer...