@rubiadaibrahim

Saturday, November 20, 2010

~N3 Special CCB: Dia tekad, nafasku tersekat!~


Canggung aku rasakan perbualan aku dan Faizal kali ini. Aku sekadar menyampaikan pesanan walid padanya. Dia pula memberitahu aku bahawa teman serumah dan sepejabat sudah maklum soal musibah yang menimpa kami. Aku terkejut pada mulanya. Tapi aku kira, apa yang dilakukannya bukanlah satu kesalahan. Kalau pun aku merahsiakannya, lambat laun mereka akan tahu juga. Lama aku termangu menghadapi perubahan Faizal yang amat ketara pagi ini.
            ” Oh ya, pasal malam ni! Saya ada satu pesanan. Jangan lupa masak pulut kuning dengan sambal tumis Nur yang sedap tu tau. Kalau tak, berat hati sikitlah mummy dengan daddy nak datang,” gurauannya memecah kesunyian yang mula tercipta antara kami.
            Aku mengetap bibir. Jelas dia mahu membangkitkan kemesraan antara kami. Aku diburu rasa tidak selesa. Biarpun dia mahu mengenang kembali memori antara kami, aku kira sekarang bukanlah waktu yang tepat.
            ” Encik Faizal, tolonglah serious sikit. Kita kena sedar yang kes ni bukan boleh dibuat main-main. Ada nama baik dan kehormatan keluarga yang kita kena jaga,” tegasku.
            Faizal terdiam. Tak lama kemudian, dia mengeluh perlahan.
            ” Ya, saya tahu. Apa-apa pun, kita sama-sama berdoa dipermudahkan urusan kita ni. Diberi jalan penyelesaian terbaik. Insya-ALLAH,” balasnya tenang sebelum mengakhiri perbualan.
            Kalau itu harapan Faizal, itu jugalah harapan aku. Mengharap hanya yang terbaik dari-NYA. Apa juga keputusan yang disepakati hasil perbincangan keluarga kami petang ini, kami harus terima dengan hati terbuka. Namun, entah kenapa rasa gementar dan bimbang di hati makin menjadi-jadi memikirkan segala kemungkinan yang boleh terjadi. Bimbang andai kesepakatan yang dicapai adalah ikatan yang bakal menghubungkan keluarga As-Syarif dan Al-Agil. Gementar mengingat ada hati-hati yang bakal terguris jika benar hal ini terjadi.
            Aku berselawat dalam hati, mengharap ketenangan hadir kembali. Dalam diam, aku melafaz doa. Berharap apa jua keputusan yang bakal aku terima adalah hasil pertimbangan akal waras kedua belah keluarga dan berpandukan hidayah dari-NYA.
----------------------------------------------
            Aku tetap memasak biarpun tiada pesanan dari ibu. Selalunya, ibu akan membeli lauk di kantin sekolah untuk makan tengahari. Opah hanya menanak nasi di rumah. Memandangkan tidak ada apa yang mahu aku kerjakan di rumah, aku mengisi waktu terluang dengan memasak. Dapat jugalah aku melupakan masalah tersebut dengan kesibukan aku di dapur.
 ” Opah dah bagitahu ibu yang Bibi masak tengahari ni. Terkejut ibu tadi,” cerita opah sambil menarik kerusi di depanku.
Opah duduk berhadapan dengan aku yang sibuk mengupas bawang merah dan bawang putih untuk menumis kangkung goreng belacan. Aku mengangkat muka, senyuman aku lemparkan pada opah.
” Agaknya ibu tak sangka Bibi masih rajin macam dulu kot,” selorohku sambil ketawa kecil.
Seketika kemudian, opah bangkit. Dia mengambil pisau yang disimpan di kabinet dapur. Bila opah duduk kembali, laju tangannya memotong bawang yang sudah dikupas.
” Seronok kalau hari-hari macam ni. Ada orang buat teman berborak. Ni hari-hari, opah duduk seorang dekat rumah. Lagi ibu tak balik dari kerja, opah bercakap dengan TV jelah. Nak balik Perak, walid tak bagi. Risau opah tak duduk diam katanya,” luah opah perlahan.
Aku tersengih mendengar cerita opah. Maklum dengan rutin hari opah yang agak membosannya. Mahu tak mahu, opah harus berdepan dengan rutinnya yang sangat berbeza dengan waktu dia sihat dahulu. Pergerakan opah dikawal dan tidak boleh terlalu aktif lagi.
” Tak ada beza pun duduk Perak dengan duduk sini. Duduk seorang diri juga setiap hari. Kalau di Perak, boleh jugalah opah berkebun lagi. Kalau dekat sini, tanah pun tak subur. Nak keluar rumah, macam-macam peraturan walid. Penat opah nak mengikutnya,” tambah opah lagi. Suaranya kedengaran seperti rungutan pula.
Aku akui kata-kata opah. Sunyi hari tuanya tanpa ditemani. Pemergian atuk 4 tahun lalu sudah tentulah meninggalkan kesan mendalam dalam diri opah. Tapi apa jua tindakan walid, aku kira itu tanda kasih sayang seorang anak pada ibunya.
” Banyak bezanya opah duduk Perak dengan sini. Kalau dekat sini, walid tak adalah risau sangat. Sakit pening opah, semuanya depan mata dia. Senang nak bawa berubat juga. Dah sampai masanya opah berehat dari kerja-kerja kebun tu. Jadi ’mem besar’ pula sekarang ni,” pujukku dalam nada bergurau.
Opah tersenyum sebelum membuka mulut kembali. Menyampai pesanan yang membuatkan aku tak senang duduk. Resah dan gelisah kembali menjalar di lubuk hati.
” Ibu minta Bibi masak banyak sikit. Ada tetamu istimewa nak datang katanya. Tapi dia tak cakap pula siapa. Sengaja nak buat kejutan dekat Bibi kot!”
Aku mengiakan sahaja pesanan opah. Memang satu kejutan bila umi dan abi datang ke sini. Kedatangan mereka sudah tentulah mengundang tanda tanya di benak opah. Untuk memaklumkan kepada opah siapa tetamu istimewa yang dimaksudkan ibu, tiada keberanian muncul di hati. Jadi, biarlah kekal sebagai kejutan. Biarlah opah tahu sendiri sebaik sahaja ibu tiba di rumah sebentar lagi. Kedatangan untuk mengurai rahsia demi rahsia yang pastinya memberi tamparan hebat pada opah. Kisah malang yang menimpa satu-satunya cucu perempuannya. Cuma satu harapan aku, opah dapat menerima segalanya dengan hati terbuka dan tenang. Jangan opah terkena serangan jantung sudahlah.
----------------------------------------------
Sudah aku duga kegembiraan opah menerima tetamu istimewanya hari ini. Ceria benar opah dengan kedatangan umi dan abi. Al-maklumlah, anak menantu semuanya berkumpul. Cuma cucunya sahaja yang tidak lengkap. Hanya aku dan Abang Wan di rumah saat ini. Hanya lain sibuk dengan urusan masing-masing. Melihat kegembiraan opah, serba salah aku rasakan. Malam ini, segala pertanyaan opah akan terjawab juga. Segalanya akan sampai ke pengetahuan opah akhirnya. Bagaimana agaknya reaksi opah menerima kejutan ini?
Umi dan abi bersemuka denganku sebaik sahaja kami selesai menikmati makan tengahari. Keduanya mahu mendengar kita segalanya dari mulut aku sendiri. Aku kisahkan kembali hal terjadi semalam kepada mereka.
Abi termenung sebaik sahaja aku selesai bercerita. Keluhan kecil lahir dari mulutnya. Umi yang berada di sisiku menggenggam erat tanganku, menghadirkan kekuatan dan ketabahan pada dugaan yang menimpaku. Aku cuba mengukir senyuman pada umi biarpun sukar.
” Siapa nama lelaki yang kena tangkap dengan kakak tu?,” soal abi tegas.
” Faizal,” balas umi sebelum sempat aku menjawab soalan abi.
Abi menganggukkan kepalanya perlahan. Dia mengisyaratkan sesuatu pada umi. Umi menanggapinya dengan anggukan kepala. Seketika kemudian, umi melingkarkan tangannya erat di bahuku sebelum menyampaikan maksud isyarat abi padanya sebentar tadi.
” Abi dengan umi nak berbincang masalah ni lebih lanjut berdua. Sebelum tu, kami nak tahu serba sedikit pasal Faizal tu. Untuk memudahkan perbincangan dua keluarga malam nanti. Lebih mudah kami buat keputusan kalau dah tahu pasal kakak dengan Faizal nanti. Insya-ALLAH,” jelas umi panjang lebar.
Segala pertanyaan dari mereka, aku jawab dengan tenang.. Siapa Faizal, apa statusnya, bagaimana keluarganya? Semuanya aku ceritakan tanpa sedikit pun berselindung.
Umi menepuk dahi bila mengetahui status Faizal. Abi juga mengetap bibir. Tak menyangka Faizal adalah bakal tunang dan suami orang. Lebih terkejut lagi keduanya bila aku memaklumkan esok adalah hari bahagia Faizal. Hari pernikahan dia dan Syarifah Ain Batrisya yang terpaksa ditunda ke hari lain sebagaimana yang diceritakan Faizal padaku pagi tadi.
” Ya ALLAH, berat juga kes ni! Jujur dengan abi, sebenarnya apa hubungan Faizal dengan kakak? Kalau sampai sanggup tangguhkan majlis, macam ada yang tak kena je,” luah abi dalam ketegasan suaranya.
Aku mengetap bibir. Patutkah aku bercerita soal Syarifah No Name yang ditunggu Faizal sekian lama pada keduanya? Hati aku membenarkan, namun bercanggah dengan akal warasku. Akhirnya, aku mencipta jawapan yang boleh melegakan hati keduanya. Sedikit berdalih dan menyembunyikan kisah Faizal dan SNMnya.
” Tak ada hubungan apa-apalah abi. Setakat supervisor dengan budak praktikal je. Tapi abi jangan risaulah, semalam dia setuju nak bawa kes ni ke mahkamah syariah. Insya-ALLAH, kami boleh menang sebab tak cukup bukti, ” ujarku penuh yakin.
Umi dan abi saling berpandangan. Kemudian, keduanya merenung jauh. Aku tak tahu apa yang ada di fikiran mereka. Bila umi meminta aku meninggalkan mereka, aku bingkas bangkit. Dari ekor mata aku, jelas keduanya masih terkejut menerima berita ini.
” Ya ALLAH, ampunkan dosaku kerana berita ini mengundang duka di hati kedua ibu bapaku.”
---------------------------------------------------
Semakin hampir jam 8 malam, semakin memuncak debaran di hati. Denyutan jantung tak usah nak katalah, dah tak menentu. Seram sejuk seluruh badan menunggu keluarga Faizal. Sms yang aku terima darinya sebentar tadi mengocak kolam ketenangan di jiwa.
Nur, skjp lg km sampai. Hrp Nur sedia dgn sbrg kptsn yg x dijgka. Mgkn i2 yg terbaik utk kt.
Apa maksud Faizal dengan keputusan yang tak aku jangka? Kiranya di pihak keluarganya, sudah ada satu keputusan muktamad. Tinggal disampaikan dan meminta kata setuju dari keluargaku? Tapi apa keputusannya? Geram aku rasakan dengan sikap Faizal yang mahu berteka-teki denganku.
Smlm Nur buat sy t’kjt bl tau siapa Nur sbnrnya. Skrg, glrn sy plk kasi kjtn dkt Nur.
Itu balasan sms yang aku terima bila aku mahukan penjelasan. Cukup membuatkan detak jantungku makin laju dan sakit kepalaku menyerang. Dia ingat ini rancangan Bang Bang Bom ke? Saling kena-mengenakan antara satu sama lain. Malas mahu melayan gelagatnya yang sedikit menyakitkan hati, aku mencampakkan telefon bimbitku di katil.
Aku keluar dari bilik. Langkah aku atur ke dapur. Umi dan ibu sibuk menyediakan juadah untuk menjamu keluarga Faizal. Melihat kelibat aku, umi mengarahkan aku membawa dulang yang berisi air dan puding roti buatan ibu ke ruang tamu. Jelas terpamer senyuman keduanya melihat kepatuhan aku.
Abi dan walid saling berpandangan melihat aku menatang dulu ke arah mereka. Keduanya mempamerkan senyuman manis. Sama seperti ibu dan umi di dapur. Serba tak kena aku dengan gelagat mereka. Bila aku kedengaran suara orang memberi salam, walid berlalu ke pintu. Abi mengiringi langkahnya. Aku menjeling sekilas, jelas kelihatan mereka bersalaman dengan Faizal dan Uncle Zan.
Belum sempat aku berlalu ke dapur, lembut suara abi memanggil namaku. Aku segera berpaling. Niatku untuk memanggil ibu dan umi terbantut dengan sendirinya mendengar seloroh abi.
” Nak kemana tu kakak? Salam dulu dengan tetamu ni. Menerima kehadiran tetamu kan wajib hukumnya.”
Meledak ketawa yang lain mendengarkan gurauan abi. Dulang di tangan aku tinggalkan di meja teh bersebelahan sofa. Aku menghulur tangan pada Auntie Cah. Dia mengusap kepalaku lembut sebelum memelukku erat. Senyuman Auntie Cah, Uncle Zan dan Faizal menghantar maksud semuanya baik-baik belaka. Namun, debar hatiku tak juga hilang. Hanya satu yang boleh membuatkan aku tenang kembali, keputusan terbaik yang mereka janjikan untukku.Cepat-cepatlah berbincang dan khabarkan apa juga keputusan mereka. Sungguh, tak sanggup lagi aku menanti dan menanggapi debar di hati ini.
----------------------------------------------------------
Selepas menyampaikan pesanan walid pada opah, aku berlalu ke dalam bilikku. Perbincangan di ruang tamu hanya disertai orang-orang tua sahaja. Faizal dan Abang Wan juga tidak dibenarkan ikut serta dalam perbincangan tersebut. Keduanya keluar entah kemana. Jelas tergambar raut kebimbangan di wajah Faizal sebelum meninggalkan rumah sebentar tadi.
” Sekarang ni perbicangan orang-orang tua dulu. Lepas ni, kami panggillah Ejai dan Nur sekali. Hazwan pula kami panggil sebagai saksi utama. Jangan bimbanglah, kami ni orang tua adil dan saksama tau,” pujuk Uncle Fauzan sambil mengiringi Faizal ke muka pintu.
Faizal akhirnya akur. Abang Wan mencapai kunci keretanya dan berlalu. Sempat, dia mengenyitkan matanya padaku sebelum berlalu. Dapat aku duga tindakan Abang Wan selepas ini. Sudah tentulah, dia akan mengorek rasa hati Faizal. Mungkin juga, dia mahu mendengar apa jua cerita dan luahan Faizal sebelum mengadili lelaki tersebut. Tapi entahlah, semuanya samar-samar dan tak jelas. Dan semuanya membuatkan fikiran aku serabut dan nak tercabut kepala dibuatnya.
Aku pejam mata. Berulang kali, aku membaca selawat di dalam hati. Bila hati masih tak tenang, aku berlalu ke bilik air untuk mengambil wudhu. Tafsir Al-Quran di rak buku aku capai. Ayat-ayat-NYA aku baca dan hayati. Syukur, ketenangan akhirnya menggantikan rasa gusar di hati. Benar kata-kata Tuhan Yang Maha Agung.
 ” Hanya mengingati ALLAH, hati menjadi tenang.”
-------------------------------------------------------
Aku dipanggil ke ruang tamu selepas hampir 45 minit perbincangan berlangsung. Aku berdoa agar diberi kekuatan menerima keputusan yang sudah dicapai. Mengharap keputusan tersebut berpihak pada aku. Keputusan yang sama dengan kata sepakat antara aku dan Faizal kelmarin. Itu harapanku, tapi segalanya aku serahkan pada-NYA.
Aku duduk di antara ibu dan umi. Faizal pula mengambil tempat setentang denganku, bersebelahan dengan Uncle Fauzan. Abi menarik nafas panjang sebelum menyampaikan kata sepakat hasil perbincangan mereka.
” Alhamdulillah, kami dah ada keputusan yang kami kira terbaik untuk Faizal dan kakak. Apa-apa pun, keputusan kami ni belum muktamad. Masih boleh berubah, masih boleh dibawa berbincang. Insya-ALLAH. Sebelum apa-apa, kita istighfar dan berselawat dulu ke atas Nabi,” ujar abi tenang.
Suasana di ruang tamu menjadi sunyi sepi. Hanya kedengaran kata pujian buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan permohonan ampun pada-NYA. Aku faham tindakan abi. Itulah yang dianjurkan dalam Islam ketika suatu mensyuarat dilaksanakan. Mengharap segala keputusan adalah hidayah dari-NYA, bukan pengaruh nafsu dan perasaan yang ada kalanya jadi mainan syaitan. Kemudian, abi mengisyaratkan walid supaya mengambil alih tugasnya. Mungkin kerana walid yang paling tua, jadi walidlah yang memimpin perbincangan dan menetapkan kata sepakat ini.
” Bismillahirrahmanirrahim. Keputusan kami sama dengan keputusan semalam. Kita akan bawa kes ni ke mahkamah. Namun, adalah lebih baik Syed Faizal Adli dan Nurhuda Diyana menikah terlebih dahulu untuk mengembalikan nama baik dan kehormatan kedua belah keluarga. Kalau Faizal dan Huda Diyana setuju, barulah perkahwinan tersebut berlangsung. Tidak ada paksaan dari golongan veteran,” ujar walid sambil tersenyum lebar.
Alhamdulillah, rasa syukur menyelinap di dalam hati. Aku kira itulah yang terbaik bagi kami. Namun, pertanyaan selanjutnya dari walid membuatkan aku terpempan di tempat dudukku. Serta-merta senyuman yang cuba aku ukir mati dengan sendirinya. Masih ada yang belum selesai rupanya.
” Faizal, Huda Diyana, apa pendapat kamu berdua dengan keputusan kami?,” soal walid sambil mengalihkan pandangannya pada aku dan Faizal.
” Saya setuju dengan keputusan kes ini dibawa ke mahkamah. Yang keputusan kedua, saya tak setuju,” ujarku dalam getar suara yang cuba aku sembunyikan.
Entah dari mana datangnya kekuatan untuk berbicara aku tak tahu. Entah dari mana datangnya ayat skema tersebut aku tak pasti. Kalau diulang, seperti dalam drama Melayu pun ada.
” Itu kata Huda. Kalau Faizal pula macammana?,” tanya walid pada Faizal pula.
Aku menjeling sekilas pada Faizal yang berada di depanku. Lama dia terdiam sebelum dia membuka mulut. Pandangan mata aku tajam padanya. Jangan dia berubah fikiran, bersetuju untuk mengikuti cadangan orang tua kami sudahlah!
” Saya setuju dengan kedua-dua keputusan. Saya nak minta izin pak cik, mak cik, Tuan Syed, Auntie Zah dan opah untuk menikahi Nurhuda Diyana. Insya-ALLAH, saya akan cuba jadi suami terbaik untuk cucu perempuan tunggal keluarga As-Syarif ni,” balas Faizal penuh yakin.
Ketenangan dan keyakinan Faizal membunuh kegembiraanku. Tidak aku duga, dia seberani itu. Meminta izin dari keluarga aku di kala aku mengharap hal berbeza. Kiranya ini kejutan darinya untukku. Keputusannya mengundang protes di hati. Kalau dipertimbangkan dengan akal waras, pernikahan bukanlah jalan terbaik untuk mengembalikan nama baik dan kehormatan keluarga. Aku pejamkan mata, berharap kekuatan hadir untuk aku meluahkan apa yang terbuku di hatiku.
” Saya tetap tak setuju dengan keputusan yang kedua. Insya-ALLAH, nama baik keluarga akan lebih terjaga bila kami tak menikah. Orang di luar tak akan pandang serong pada kami. Kuasa mahkamah akan buktikan segala-galanya,” ujarku tegas.
Semua mata memandang aku dengan raut tak percaya. Aku sendiri tak percaya dengan keberanian aku bersuara lantang saat ini. Semuanya berpandangan sesama sendiri, masih diburu rasa terkejut barangkali. Akhirnya, walid bersuara. Menjernihkan suasana perbincangan yang sudah mula haru-biru.
” Memandangkan keputusan kedua melibatkan masa depan Faizal mahupun Huda Diyana, keputusan ini tak boleh dibuat serta-merta malam ini. Kita beri masa kepada keduanya untuk berfikir, istikharah dan meminta petunjuk dari ALLAH S.W.T. Apa jua tanda dan keputusan dari kamu berdua, kami terima dengan hati terbuka.”
Keadaan yang tadinya tegang kembali tenang. Aku tunduk memandang lantai. Genggaman tangan ibu dan umi hambar aku rasakan. Kekuatan terbang entah kemana. Kata-kata Kak Nasya yang suatu ketika dahulu aku anggap gurauan kini bertukar jadi kenyataan. Sungguh, aku terpana dan terpempam. Kalau Faizal sudah tekad, bagaimana mahu ku ubah keputusannya?
-----------------------------
Salam semua. Ini n3 terakhir CCB.Ingat nak siapkan manuskrip next week but then ada halangan yang tak dapat dielak. Group saya di OBGIN diutuskan untuk outstation minggu depan walaupun dah exam. Special case memandangkan most my groupmate baru dapat deliver satu baby. So, minggu depan saya amatlah sibuk coz dihantar ke rumah sakit bersalin yang bertujuan menambahkan jumlah2 baby disambut kami. Sabar n redha jelah saya.  Saya cuba postkan n3 kalau masih mampu buka laptop. Coz pengalaman sebelum2 ni memang x sempat pun nak menulis.Huhu.Apa-apa pun, kita ambil sisi baik dari pengalaman. Insya-ALLAH, pengalaman di OBGIN ni sedikit sebanyak memberi nilai tambah dalam saya berkarya dan menulis manuskrip ini. Selamat sayang buat semua. Selamat membaca=)

16 comments:

mizd said...

nice..mkin teruja nk tau smbgn nye..if ad ms smbg r..

garlic said...

gud luck doc ~,^...sgt teruja nk tw kisah si faizal&nur ni,,xjd untk di novelkn ni??

nursya said...

uda nie...
tima jer la ejai tuh..
da jodoh kot...
p/s: semoga bjaya yek doc ngn target tuh...

MaY_LiN said...

alahai~
camtu lak jadinya..
bagus tul la famili ni..
very supportive..

Anonymous said...

sedihnya, post terakhir ;(((

Anonymous said...

ayat power bila ya ???

nana_cunoi said...

aduhai..seksanya menanti CCB nie..!!

tarisuria said...

hehe, suke2 ejai ngan nur..
mmg best r family dye..
harap penulis teruskn bkarya..

nurhakim said...

salam,,,
xsbar nk thu ending cter nie.
hope writer dpt snbg next time..hihi
pe2 pn all the best.

Hanis Azla said...

salam, petama kali ke sini.. saya suka cara penulisan awak.. semoga dpt baca sambungannya nnt..

IVORYGINGER said...

alahai cik writer. post la lg entry br ccb. best la ceta ni. sy br ja read ceta ni kelmarin. semalaman baca smpai abis. rs xcukup la. hehehe... post la lg entry baru. xsabar nk baca. ;D

adaibrahim said...

CCB akan dinovelkan...ni n3 terakhir di blog...lepas ni saya sambung cite lain..huhu..maaf ya

Anonymous said...

ccb ni dah di novelkan ke?keluaran syarikat apa ye? dah lama tunggu..

miza said...

Cik Ada,bl novel ni nak keluar d pasaran..dah lama tunggu ni..

lieynaim said...

betul2 xsabar dgn ccb nie

zo said...

bila nak terbitkan novel ni..hope everything goes well..tak sabar nak beli novel ni..Ada cepat2 siapkan manuskrip ye..kesian sy dah tunggu lama..macam pungguk rindukan bulan dah rasanya =)