@rubiadaibrahim

Sunday, January 16, 2011

Ayat Power 29:Buntu


Aku tidak tahu bila Einstein pulang ke Kuantan. Sememangnya dia tidak memaklumkan aku segala tindak tanduknya. Tidak ada sepatah kata dari corong telefon, mahu pun pesanan ringkas darinya. Sedar-sedar dia sudah ada di sampingku sebaik sahaja aku membuka mata pagi Sabtu ini. Dari mata yang baru terbuka, aku perhatikan dia memandangku tanpa kata.
” Abang!,” aku memanggilnya perlahan.
Matanya masih merenungku. Panggilanku tidak bersahut. Dingin benar reaksinya. Dia tidak mengucapkan salam, tidak juga mengucapkan selamat pagi. Hanya renungan seorang suami pada isterinya. Renungan yang cukup dalam dan aku sendiri tidak mampu mentafsir renungannya itu. Dia mengukir senyuman perlahan-lahan sebaik sahaja tanganku menyentuh bahunya.
” Assalamualaikum,” suara Einstein menampar gegendang telingaku. Cukup perlahan, namun membuatkan rasa bahagia menyelinap di dalam hati. Aku membalas senyumannya.
” Selamat pagi, sayang,” tambah Einstein lagi.
Senyumanku kian lebar bila dia mengucup dahiku. Dalam hati, ada rasa syukur yang menjalar. Akhirnya dia kembali kepadaku. Perlakuannya menunjukkan dia masih memerlukan aku dalam hidupnya. Dan entah kenapa, mudah benar hati ini terpujuk dengan kata-katanya.
” Bilah, kita bangun ya sayang. Kita solat sunat dulu sebelum azan Subuh ni,” tambah Einstein lagi.
Aku menganggukkan kepala. Pelukannya di pinggangku dilonggarkan. Dia bangun dan segara berlalu ke bilik air . Aku memandang tingkahnya. Einstein kembali kepadaku, mempamerkan tingkah Einstein yang aku kenali sejak hari pertama kami menjadi suami isteri. Dia bukanlah sosok lelaki yang tega menghancurkan hati seorang isteri. Tidak mungkinlah dia bersamaku hanya untuk mengenang kisah cintanya yang tidak kesampaian. Fikiranku bertelagah dengan kisah yang terungkap dari mulutnya tempoh hari. Aku memejamkan mata. Mengharap ketenangan pagi ini tidak terganggu dengan fikiranku yang mulai berselirat dengan teka-teki perubahan sikap Einstein padaku.
” Bilah,” panggilan Einstein memaksaku membuka mata.Dia duduk di samping katil, di sebelahku. Sudah siap memakai kain pelikat dan baju Melayu.
” Bilah larat bangun ke tidak. Kalau tak, tak apelah. Abang aje yang solat. Bilah sambunglah tidur. Nanti bila dah Subuh, abang kejutkan,” tambah Einstein perlahan.
Aku menggeleng kepala, menafikan segala sangkaannya. Aku masih kuat untuk bangun dan menunaikan ibadah sunat. Berdoa kepada-NYA agar diberi kekuatan untuk menghadapi hari mendatang, berharap padanya agar diberi petunjuk dan jalan keluar dari segala kekeliruaan yang aku hadapi saat ini.
Aku bangun dari pembaringan. Sejadah aku capai, dibentangkan untuk Einstein. Dia memerhatikan perlakuanku dengan senyuman. Bila aku mahu berlalu ke bilik air, ucapan terima kasih keluar dari mulutnya.
-----------------------------------------------
Einstein masih berteleku di sejadah saat aku selesai solat Witir, penutup amalanku pagi yang hening itu.
Dia berpaling ke arahku sebaik sahaja aku mahu berdoa. Dia yang memimpin bacaan doa pagi itu.
            ” Ya ALLAH, kekalkan kebahagiaan ini dengan rahmat kasih sayang-MU. Kekalkan ikatan cinta antara kami dengan nikmat kasih sayang-MU yang abadi. Ya ALLAH, rahmatilah kami. Berikan kami hidayah dalam menjalani kehidupan ini sebagai suami dan isteri. Pimpin kami agar kami sentiasa jadi hamba yang taat kepada-MU. Ya ALLAH, Ya Rahman Ya Rahim.”
            Doa yang di baca Einstein menyentuh hatiku. Aku aminkan sambil menahan sebak di dada. Harapan Einstein sama dengan harapanku. Tidak mungkinlah aku mahu ikatan yang baru terbina ini terkandas di tengah jalan. Sesungguhnya hasrat di hati ini mahukan pernikahan ini berkekalan hingga ke syurga.
            Untuk memastikan impianku itu terlaksana, aku harus membuang segala prasangka burukku. Segala pengakuan Einstein tempoh hari aku harus cerna dengan akal sihatku. Harus aku pertimbangkan dengan perlakuan dan tingkahnya sepanjang pernikahan ini. Dan yang paling utama, perbincangan dari hati ke hati adalah jalan penyelesaian yang utama. Lebih cepat, lebih baik!
            -------------------------------------
            Usai solat Subuh, aku turun ke dapur membantu mama menyediakan sarapan pagi. Aku tinggalkan kebiasaan tidur kembali selepas Subuh hari ini. Tidak molek berlakuan begitu di depan suami. Tambahan pula, morning sickness sudah berkurang. Jadi, itu aku jadikan alasan meninggalkan Einstein sendirian di bilik. Sekurang-kurangnya dia tidak tersinggung dengan sikapku yang agak dingin dan acuh tidak acuh sahaja melayannya.
            ” Along  tahan ke dengan bau masakan ni. Kalau tak tahan, biarlah mama aje yang masak. Tak pasal-pasal muntah-muntah sekejap lagi,” ujar mama sebaik sahaja melihat kelibatku.
            Aku hanya tersengih mendengar bebelan mata. Pantas tanganku mencapai pisau di rak pinggan. Bahan- bahan basah untuk memasak aku sediakan satu persatu.
            ” Along turun dapur ni sebab nak lari dari Umar ye? Isk..isk, tak patut buat suami macam tu!,” bebel mama lagi.
            Aku tersenyum kelat. Memang niatku begitu. Dan pantas mula mama mengesan muslihat tindak tandukku. Aduhai, segannya.
            ” Along bukan nak lari mama. Cuma rasa lain bila berdepan dengan dia. Ada rasa rindu, ada rasa marah. Ada rasa tertipu, ada rasa buntu. Dan Along sendiri tak faham dengan perasaan Along sendiri. Along nak marah pada dia, tapi tak terluah,” luahku pada mama.
            Mama membuang pandang ke arahku. Dia mengangkat bahu. Jelas, dia juga bingung dengan perasaan yang melandaku saat ini.
            ” Kalau tak pasti, tenangkan diri. Bila fikiran dah tenang, bawalah berbincang. Mama sendiri tak percaya dengan cerita Umar tempoh hari. Mama rasa dia cakap macam tu semata-mata nak melindungi Along,” balas mama. Aku terdiam. Bingung dengan kata-kata mama. Umar membuka kisah lamanya kerana mahu melindungiku? Apa ertinya?
--------------------------------------------------
            Soalan yang bermain di kepala belum aku temui jawapan. Kelu lidahku untuk bertanya kepada Einsten. Dan ketiadaan Einstein di sisi membuatkan rasa ingin tahuku makin menjadi-jadi. Rasa ingin tahu ini membuatkan lenaku tidak datang dan aku terus diburu rasa bimbang. Kebimbangan yang membuatkan aku serba tidak kena tentunya.
Penat berbaring, aku duduk di katil. Penat duduk, aku bangkit dan termenung di jendela. Buntu fikiranku kemana papa mengajak Einstein keluar selepas bersarapan pagi tadi. Lantaran Einstein menuruti permintaan papa, aku ditingggal bersendirian di bilik pagi ini. Bila aku bertanya kemana arah tuju mereka, papa hanya tersenyum penuh makna. Sempat juga dia bergurau denganku.
” Tak kemana-manalah. Along jangan risau, takkan patah riuk suami kesayangan Along ni keluar dengan papa. Papa jamin keselamatan Umar 100% tau.”
Biarpun sudah hampir jam 2 jam pergi, papa dan Einstein masih belum pulang. Mungkin papa ingin menyelami hati lelaki Einstein. Bercerita dan berkongsi kisah perjalanan rumahtangga dengan mama. Mungkin juga menghamburkan sedikit rasa sesal dan marah atas perlakuan Einstein padaku tempoh hari. Namun, semuanya tidak ada kepastian.
Aku berbaring di katil, penat rasanya kerana terlalu banyak berfikir. Seketika aku terfikirkan album perkahwinan yang belum sempat aku tatap sejak kembali ke uiversiti tempoh hari. Mengingat itu, laci di samping katil aku buka. Album perkahwinan aku tatap.
Satu persatu gambar hari bahagiaku meniti di mata. Dan aku terkenangkan peristiwa itu. Saat paling bahagia kerana disatukan dengan insan tersayang. Fikiranku menjengah perkenalanku dengan Einstein. Aku dan Einstein tidak sempat berkenalan lama. Cuma teman biasa, jarang berbual dan berkongsi cerita. Namun segalanya berubah bila mama menagih janjiku.
Bila mama mahu seorang menantu, Einstein menawarkan diri. Dia mahu memikul tanggungjawab sebagai suami, menjadi pemimpin dan imam dalam hidupku. Dan aku tanpa banyak soal, menerima lamarannya. Tempoh perkenalan kami tidak lama. Tidak sempat mengalami proses perkenalan yang sebenar-benarnya.
Dia mengutuskan ibu mertuaku dalam proses lamaran. Bukan katanya sendiri. Dan aku sendiri bingung dengan diriku. Aku menerima lamarannya tanpa banyak soal. Hari Jumaat aku katakan persetujuan, dua hari kemudian aku sudah jadi tunangannya.
Tempoh pertunangan sahajalah waktu yang aku ambil untuk mengenalinya sedikit demi sedikit. Tidak semua kisah hidupnya aku selidiki. Semua kisah lamanya aku tidak mahu ambil tahu kerana bagiku masa depan lebih utama. Andai sudah terbina kepercayaan antara satu sama lain, pastinya kebahagiaan akan menjelang. Dan sungguh, aku bahagia bergelar isterinya hinggalah kisah lamanya sampai ke pengetahuanku sedikit demi sedikit. Aku kenang perjalanan kehidupan kami sebagai suami isteri. Aku dan Einstein merasai indahnya alam percintaan setelah akad nikah terlaksana. Layanannya membuatkan aku merasa aku insan paling bahagia dan teristimewa dalam hidupnya.
Einstein suami yang cukup penyayang. Romantis dan memahami diriku. Berada di sampingnya, aku belajar menjadi insan yang lebih baik. Kelemahanku sedikit demi sedikit dia tutupi dengan kelebihannya. Biarpun kailan ikan masin yang cukup masin jadi santapan, dia tetap makan. Tanpa sedikit pun terkeluar koman yang menyentap hatiku. Ah, terlalu indah saat itu kalau dikenang.
Einstien tidak pernah bercerita kisah lamanya. Mungkin kerana aku tidak pernah bertanya dan mungkin juga dia tidak mahu mengenang kisah dukanya itu. Yang jelas, dimataku dia adalah suami dambaan setiap perempuan. Dan aku bersyukur, kerana dia memilihku sebagai isterinya. Tanpa sedar, ada airmata yang menitis laju dari tubir mataku saat aku menatap gambar kami dalam persalinan baju pengantin.
-----------------------------------------------
” Along, tidur ke?,” suara mama di luar bilik membuatkan aku mengesat pipi yang sudah dibasahi airmata.
Aku menatap wajahku di cermin. Ligat akalku memikirkan alasan kalau mama bertanya sebab mataku merah sebentar lagi.
” Nabilah tidur agaknya tu. Tak mengapalah kalau dia tidur. Tak ada rezeki nak jumpa menantu agaknya ni. Kirim salam ajelah pada Bilah ye.”
Suara ibu mertuaku kedengaran juga di luar pintu, berselang seli dengan suara mama memohon maaf kepada besannya. Aku mengeluh perlahan. Tidak sedap rasanya kalau aku mengambil tindakan berdiam diri di bilik. Lambat-lambat langkah aku atur ke tingkat bawah.
Mama masih berbual mesra dengan besannya itu. Dari jauh, butir perbualan mereka terarah kepada soalku dan Einstein. Masing-masih melahirkan rasa bimbang dengan hubungan kami. Aku mengukir senyuman kelat sambil meneruskan langkah ke arah mereka.
Kata-kata mereka terhenti. Mereka memandang aku tidak berkelip. Melihat reaksi mereka, aku tergelak kecil. Keduanya berpandangan sesama sendiri sebelum ikut ketawa. Aduhai, macam-macam hal mak orang dan bakal mak ni.
” Kenapa mama dengan ibu tengok Along macam alien?,” soalku dalam tawa.
” Terkantoi dah mama dengan ibu mengumpat Along,” seloroh mama.
Aku hanya tersenyum tipis. Tangan aku hulurkan kepada ibu mertuaku. Kami bersalaman. Ibu menarik tanganku agar duduk di sampingnya. Aku akur.
” Bilah sihat sayang?,” soal ibu mertuaku.
Seakan mahu memberi privasi kepadaku, mama meninggalkan kami berdua di ruang tamu.
” Alhamdulillah, sihat.” balasku pendek.
” Alhamdulillah. Sekarang ni masih morning sickness ke?.”
Laju aku menggeleng kepala.
Mungkin sebelumnya mama sudah bercerita soal mual muntah yang melandaku seawal aku kembali ke Kuantan tempoh hari.
” Cuma penat sikitlah. Maaf ye ibu, Bilah terlupa ibu nak datang hari ni.  Tertidur tadi.”
” Tak mengapa sayang. Ibu faham. Bilah dah okay dengan Angah?,” soalnya lagi lambat-lambat.
Aku tidak membalas pertanyaannya. Okey sebagaimana yang ibu maksudkan?
” Masih marahkan Angah?.”
” Entahlah ibu. Sebelum abang balik, Bilah marah jugalah. Dia tak hantar khabar pun. Bila dia ada depan mata, tak rasa marah. Cuma rasa kekok bila berdepan dengan dia. Rasa tak percaya dengan apa yang dia cerita dekat Bilah dulu. Pendek kata, rasa serba tak kenalah ibu.”
Ibu mengukir senyuman mendengar jawapanku.
” Bilah percaya dengan cerita Angah tu?.”
Aku mengeluh perlahan. Memang awalnya aku percaya. Namun, setelah ditimbang dengan akal waras, rasanya tidak masuk akal pula. Tidak mungkinlah Einstein menikahiku kerana mahu menyambung rasa sayang pada kekasih hati yang sudah pergi.
” Ibu, Bilah nak tanya sesuatu boleh tak?,” pintaku perlahan.
Ibu menganggukkan kepala.
” Sepanjang ibu kenal Bilah, ibu rasa Bilah memang sama tak dengan arwah Diana?.”
Ibu tetap tenang. Dia terdiam seketika sebelum menuturkan kata.
” Sama tapi tak serupa. Itu juga yang Angah rasa barangkali. Bilah adalah Bilah. Dan sebagai ibu, ibu tahu Angah pilih Bilah bukan sebab Bilah sama dengan Diana. Dia memang sayangkan Bilah. Angah nak Bilah jadi bidadarinya sampai ke syurga,” tungkas ibu.
Aku terdiam. Sungguh dalam  kata-kata ibu, penuh dengan makna tersirat.
” Apa yang boleh ibu katakan, Angah sayangkan Bilah lebih dari dia sayangkan Diana. Sebab Bilah adalah isterinya. Dan Angah sendiri katakan pada ibu, cinta dia hanya untuk yang halal dan berhak sejak alam ruh lagi. Kalau tak jelas dengan maksud kata-kata ibu, Bilah tanyalah pada Angah sendiri. Insya-ALLAH, dia dah  ada semua jawapan soalan Bilah.”
Aku menggigit bibir. Bagaimana mahu ku tanyakan pada dia soal hatiku ini? Ah, buntu!

7 comments:

MaY_LiN said...

tamaula gaduh2 lg..
umar ni pun..
tamaula diam je..

nadiah_abdllah said...

mengharapkan happy ending untuk cerita ni. waaahhhH~

Anor said...

sambunglah lagi rasa tak
sabar nak tunggu n3 baru.

Anonymous said...

hmm..nak Einstein suffered!

bilah kesian sgt..huhu

nursya said...

alahai...
cian bilah ngn umar nie...
harap2 sumanyer akan ok nie..
huhuhu...

Anonymous said...

memang nak bilah n umar brbaik tp b4 itu trjadi bialah umar lak merana jap... dah la x d hiraukan bilah sejak bilah blik kg..sian sgt kat bilah ni.... ngan perasaan umar cam tu lg....

azzna said...

naper jadik camnie...sedihnya...mg buntu....cepat2 sambung yek...takmo la....sad ending....kita suka citer nie...coz ada nama kita hehehehe.....