@rubiadaibrahim

Friday, June 3, 2011

AKAK 1: Perasan?


Dia tersenyum sendirian. Ceramah Ustaz Hashim tempoh hari menampan ingatannya. Senyumannya kian lebar.
            “ Jika meninggal anak Adam, hanya tiga perkara yang akan berkekalan. Amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh. Kepada yang belum banyak amal jariah, marilah menderma. Sama-sama kita berkongsi ilmu yang bermanfaat walaupun hanya sepatah ayat. Dan kepada yang belum berkahwin, cepat-cepatlah cari jodoh yang baik. Insya-ALLAH, dikurniakan anak yang soleh yang akan mendoakan kita bila kita tiada nanti.”
            Kerana pesanan itu, dia berada di Rumah Penyayang ini. Cuba selagi termampu mendidik dan berbagi ilmu yang dia miliki. Berusaha menjadi guru terbaik buat anak-anak yang tidak berkesempatan menikmati kelas tambahan seperti orang lain. Dia lakukan dengan rela hati, tanpa perlu diberi bayaran. Hanya kejayaan pelajarnya yang dia harapkan.
            “ Aida, terima kasih banyak-banyak. Alhamdulillah, prestasi mereka dah semakin baik. Kalau Aida tak tolong, ibu tak tahulah apa nasib mereka,” luahan Puan Zainab mengembalikan dia ke alam nyata.
            Genggaman tangan wanita seusia bundanya digenggam mesra. Kemudian, dia menggeleng perlahan. Bibirnya menghambur kata pujukan.
            “  Sama-sama ibu. Apa yang saya buat ni tak seberapa di bandingkan dengan apa yang ibu buat. Sama-sama kita doakan mereka berjaya. Insya-ALLAH.”
            Bibir tua itu mengulum senyuman. Aida membuang pandang ke padang tempat anak-anak bermain. Puan Zainab tepat memandang wajahnya. Dia mahu mengungkai persoalan di hatinya. Nama Aida dipanggil perlahan. Aida menyahut dengan segaris senyuman.
            “ Kalaulah ayah Aida masih ada, tentu dia bangga dengan Aida.”
            Aida tersenyum lagi. Lantaran dia mahu jadi anak yang soleh buat kedua orang tuanya, dia menabur bakti di sini. Dia mahu menunaikan permintaan ayah yang sudah pergi. Dia mahu menyambung tugas ayah suatu ketika dahulu di sini. Kerana di sini juga, kenangan lalu tercipta. Di sini juga, dia merasakan aura ayah sentiasa membara. Dan di sini juga....
            “ Bukan ayah aje, Ihsan pun bangga dengan Aida. Insya-ALLAH.”
            Tangan Puan Zainab makin kuat memegang tangannya. Dia tahu dia tidak kuat mendengar nama itu disebut. Biarpun sudah lima tahun lelaki itu meninggalkan dirinya, kenangan demi kenangan masih kuat di ingatan. Dan sedaya mungkin, dia tidak mahu kenangan itu luput dari kepalanya.
            “ Aida masih tak boleh lupakan dia?,” Puan Zainab bertanya lagi.
            Aida diam tidak berkata. Tidak mengangguk, tidak juga menggeleng kepala. Dia kira Puan Zainab juga merasakan beratnya sebuah perpisahan, hebatnya semua kehilangan dan peritnya pemergian orang yang disayangi.
            “ Ihsan pergi sebab ALLAH lebih sayangkan dia.  Kita sama-sama redha dengan pemergian dia. Dah lama dia pergi, dah sampai masanya Aida cari kebahagiaan Aida. Ibu tak mahu Aida terlalu mengenang kisah lama sampai Aida lupakan hasrat bunda. Ibu nak tengok Aida menikah, ada suami, ada anak dan ibu nak menumpang kasih cucu dari Aida.”
            Dia cuba menahan sebak. Permintaan Puan Zainab bukanlah kali pertama. Sudah acapkali hasrat itu diluahkan. Cuma kali ini, hatinya tersentuh benar. Mungkin kerana hari ini adalah hari penting dalam kamus hidupnya. Hari yang tidak mungkin memberikan dia harapan bergelar suri hidup Muhammad Ihsan Hadi selama-lamanya.
            Tidak terucap kata-kata, hanya dia tersedu dalam tangisan. Ustazah Zainab memeluknya erat. Mampukah dia menunaikan permintaan yang satu itu?
            -------------------------------------------
Rafiq cuba berlagak tenang biarpun dia tidak senang dengan situasi yang dihadapinya. Dua wanita cantik di depannya memandangnya dengan pandangan yang tidak dimengertikan. Bagaikan seorang pesalah, dia hanya mampu berdiam diri. Sedangkan jiran lamanya itu menghakiminya dengan renungan mata dan bahasa tubuh mereka. Rasa mahu lari dan tidak akan memijakkan kaki di sini lagi. Aduhai, gasaknya hidup.
“ Masya-ALLAH, buruknya perangai budak-budak zaman sekarang. Tetamu datang bukannya nak dihidang air, ditenung, direnung macam nak makan. Malu bunda dapat anak macam ni,” ujar Asma sebaik sahaja duduk di sofa.
Aina dan Aisya ketawa kecil. Laju mereka mengangkat kaki, berlalu ke dapur. Sebelum ceramah bunda panjang berjela, mereka harus melarikan diri. Tidak sanggup menahan telinga dan selebihnya mereka bimbang kalau idea yang terlintas di kepala dibantah bunda.
Asma tersenyum memandang tetamu di depannya. Perpisahan hampir 10 tahun lalu banyak mengubah penampilan anak muda di depannya. Sudah hilang wajah nakal Rafiq. Tergambar di wajah anak muda itu sikap penuh tanggungjawab, sebagai pemimpin keluarga. Cukup kacak dan penampilannya membuatkan rasa ingin tahu Asma berganda.
“ Bunda apa khabar?,” Rafiq memulakan bicara.
“ Alhamdulillah, sihat. Ummi pulak macammana? Sihat?.”
Rafiq menganggukkan kepala dalam senyuman. Perempuan di depannya masih sama seperti dulu. Ramah dan cukup bersahaja.
“ Kenapa tak ajak ummi datang sini sekali? Rindu pada dia. Dah sepuluh tahun tak pernah jumpa. Adik-adik  sekarang dekat mana? Dah besar ni mesti makin cantik.”
“ Saya datang ni pun tak dirancang bunda. Kalaulah syarikat tak hantar outstation dekat sini, agaknya sampai sekarang tak jumpa jalan rumah ni. Nak cari Aida Dayana, sekali jumpa dengan semua ahli keluarga dia pulak. Tak sangkalah pulak Aida Diyana tu Didi. Lama sangat tak jumpa, sampaikan saya dah lupa nama penuh musuh lama saya tu.”
Asma tergelak kecil. Sikap lelaki tersebut masih sama seperti dulu, sarat dengan gurauan dan pandai mengambil hati orang yang bersamanya.
“ Datang nak cari Didi rupanya. Ingatkan memang nak jumpa bunda, ni nak rasa merajuk nih. Kalaulah tak disebabkan urusan kerja, sampai sudahlah kita terputus hubungan ya,” suara Asma berbaur rajuk.
Rafiq menggaru kepala. Bunda yang dikenalinya dulu memang sensitif. Kalau dulu, dia akan memujuk bunda dengan pelukan. Tapi sekarang janggal rasanya melakukan hal itu. Sudah ada keterbatasan dalam hubungan ini, tidak boleh mesra seperti dulu. Dan dia hanya mampu menghiburkan hati wanita itu dengan gurauan dan pujukan.
“ Tak mahulah merajuk bunda. Nanti Fiq tak kenal bunda, baru tahu. Makin banyak merajuk, makin banyak kedut dekat muka. Nanti kalau jumpa bunda, tak pasal-pasal Fiq ingatkan bunda ni nenek pulak. Kalau senyum, makin awet muda macam sekarang. Kalah ummi yang dah bercucu dua tu tau.”
Asma mengukir senyuman. Sungguh, rindunya pada anak muda ini terubat. Namun, terlalu banyak persoalan yang bermain di mindanya. Semuanya mahu dia uraikan segera, secepat mungkin dan entah kenapa dia rasakan inilah calon menantu yang dinantinya. Bila Aina dan Aisya datang menghidangkan minuman dan makanan buat tetamu mereka, Asma melemparkan senyuman penuh makna. Rafiq diburu rasa keliru sekali lagi.
-------------------------------------------
            Mata Rafiq liar melihat ruang tamu yang tersusun kemas. Di atas meja hiasan, satu persatu gambar ditelitinya. Tanpa sedar dia mengukir senyuman bila matanya tertancap pada gambar Aida dalam pakaian konvo, menggenggam segulung ijazah. Jauh bezanya dengan Didi yang dikenalinya dulu. Didi tersenyum manis, semanis orangnya yang sudah mengenakan tudung merah jambu di kepalanya. Kalaulah dia tidak ke sini, mungkin dia tidak dapat mengecam Aida Dayana yang ingin ditemuinya itu.
“ Selalunya Didi balik pukul berapa bunda?,” Rafiq bertanya lembut.
Asma menunjukkan angka 5 di tangannya. Kiranya sudah lebih 10 minit Aida terlambat pulang. Rafiq tidak senang duduk. Sebolehnya dia mahu singgah sebentar sahaja di sini, sekadar menyerahkan kertas cadangan dari syarikatnya kepada Aida. Dia mahu lari dari pertanyaan demi pertanyaan yang mengacu kepada kehidupan peribadinya.
“ Bunda lupa Along memang balik lambat kalau hari Jumaat sebab dia mengajar hari ni. Lepas magrib baru balik. Tadi Fiq tak ke pejabat dia dulu ke?.”
“ Tak. Fiq sampai KL dah pukul 4. Fiq cuma telefon pejabat dia. Katanya Aida dah balik. Fiq minta alamat, terus datang sini. Terus kena interview dek bunda nak dijadikan menantu,” balas Rafiq dalam gurauan.
Bunda tergelak kecil. Sedar sikapnya yang tidak berhenti-henti bertanya pastinya menghantar rasa tidak senang Rafiq. Cuma dia mahukan kepastian segera. Kalau benar Rafiq masih sendiri, tidak salah mencuba nasib. Andainya Rafiq sudah berpunya, hanya doa yang dia hadiahkan. Moga rumahtangga yang dibina bahagia selamanya.
“ Kalau nak tunggu Along balik, lambat lagilah. Kalau kelas dia habis awal, lepas magrib sampailah dia. Kalau tidak, pukul sebelas pun belum tentu nampak batang hidung.”
Rafiq menghela nafas panjang. Akalnya ligat berfikir. Mahu tidak mahu dia harus menunggu Aida Diyana. Kalau dia menitipkan kertas kerja tersebut melalui bunda, dia merasa tidak amanah dengan tanggungjawabnya. Dia bingung. Ketika itu juga, telefonnya bordering. Nombor yang tidak dikenali tertera di telefon bimbitnya.
------------------------------------------------
 “ Assalamualaikum Encik Rafiq.”
Lembut suara perempuan memberi salam. Rafiq menjawab perlahan. Belum sempat dia bertanya siapa gerangan yang menefonnya, si pemanggil terlebih dahulu memperkenalkan diri.
“ Saya Aida Diyana, arkitek yang dilantik syarikat Encik. Maaf ye Encik Rafiq, saya keluar awal tadi. Ada urusan di Rumah Penyayang. Kalau boleh tahu Encik Rafiq di mana sekarang? Kita jumpa sekarang.”
Rafiq menelan air liur. Lain benar nada suara Didi. Lembut dan seketika membuatkan dia tidak percaya. Benarkan Aida Diyana yang menelefonnya adalah Didi teman sepermainannya.
“ Encik Rafiq.” Rafiq menyahut perlahan.
“ Ye saya. Saya dekat rumah Cik Aida sekarang. Maaf ye sebab datang sini tak beritahu Cik Aida saya ke sini. Main redah je datang,” balas Rafiq dalam rasa debar yang menampan hatinya.
Aida di hujung talian tergelak kecil. Rafiq cuba tenangkan diri. Entah kenapa, ada rasa debar yang bertandang.
“ Tak apa Encik Rafiq. Tak salah pun. Kalau macam tu, tunggu saya di rumahlah. Insya-ALLAH, I’ll be there in fifteen minutes. Maaf ya terpaksa menunggu,” tambah Aida dalam ketawa yang masih tersisa.
 Rafiq sekadar mengangguk dalam senyuman. Entah kenapa dia tidak sabar mahu bersua muka dengan Aida. Namun, saat ini lidahnya kelu tidak terkata. Hanya mahu mendengar bait bicara Aida padanya. Sempat dia berpesan pada Aida agar memandu berhati-hati.
“ Terima kasih Encik Rafiq. Insya-ALLAH, I’ll driver carefully. Assalamualaikum.”.
Saat Aida  mengungkap salam, dia membalas perlahan. Dalam senyuman, dia cuba menghilangkan debar di hati yang bertandang. Melihat senyuman bunda dan adik-adik Aida di ruang tamu, dia menelan liur. Kakinya diatur perlahan.
“ Fiq, resah semacam je bunda tengok. Orang rumah telefon ya?,” soal Asma.
“ Kalau bukan orang rumah abang Fiq, mesti orang rumah sini ni!,” teka Aina.
Rafiq hanya melemparkan senyuman. Bila dia mengangguk kepala, tiga wanita cantik di depannya tersenyum penuh makna. Rafiq menggaru kepala, membuang pandang ke arah pintu masuk. Dia bingung memikirkan kata pertama yang mahu diucapkan saat pertemuan sebentar lagi. Berdebar sungguh hatinya mahu berdepan dengan Didi. Melihat Aina dan Aisya menunjukkan ibu jari tanpa bagus, melihat senyuman bunda padanya, dia makin bungkam
 “ Bunda, kami dah jumpa,” Kata-kata Aina menampan telinganya. Dalam rasa hati yang tidak pasti, dia cuba mencipta kesimpulan. Agak-agaknya mereka tengah mencari calon suami untuk Aida. Siapa calonnya. Diakah? Alahai, apa kono jang? Perasan sungguh!
----------------------- 
Salam alaik semua. Maaf lama xde n3, seperti biasa busy-busy day datang lagi. Sekarang saya di bahagian Radiologi. Untuk n3 kali ini, nak kongsi tentang kehilang orang yang kita sayang. Memang perit, memang pahit. Namun kematian adalah peringatan kepada kita. Kita yang masih hidup harus teruskan hidup sebagai musafir di bumi Tuhan. Al-fatihah buat TOKWE ( nenek) saya yang dah kembali ke rahmatullah Ahad minggu lalu. Moga ruhnya ditempatkan di kalangan orang beriman. Amin. Jemput ke blog saya yang satu lagi ye: cuba~try~test!

2 comments:

cactaceous opuntia said...

aha...musuh lame ye...hehe..mak dah sotuju tuh...heheh

Anonymous said...

sukenye....x sbr nk tau n3 seterusnya...Ada, smbglah lagi...
excited dh ni nk tau citer
lepas nii....:)

~terataibiru~