@rubiadaibrahim

Wednesday, June 29, 2011

AKAK 2: Ingat!


“ Ingat lima perkara sebelum lima perkara
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati”.
Bibirnya mengalun lagu nasyid “ Demi Masa” sambil memandu dalam kelajuan sederhana. Sesekali Aida mengintai jam di dashboard kereta. Rasa bersalah menerpa kerana membuatkan tetamunya terpaksa menunggu di rumah. Terdetik juga rasa bimbang di hatinya andai keterlewatannya menghadirkan rasa tidak senang pada wakil Syarikat Alam Bina tersebut. Bimbang benar dia kalau reputasinya selama ini tercemar dengan kesilapannya.
Aida cuba bertenang dan memujuk diri sendiri. Alasan demi alasan muncul di fikiran. Kalau wakil syarikat tersebut marah, dia akan segera meminta maaf. Kalau Encik Rafiq bertanya kenapa, dia akan bercerita tentang jadualnya. Seringkas dan sepadat mungkin. Itu kata hatinya, itu tekad dalam mindanya.
Aida membuang pandang ke jalan raya yang masih sesak. Dia mengeluh perlahan. Sedar dia tak mungkin sampai ke rumah sebagaimana yang dijanjikan, dia mencapai telefon. Nombor telefon rumah didail.
---------------------
Asma rancak bercerita. Rafiq tekun mendengar bait bicara jiran lamanya itu. Bunda dan ummi dah banyak beza. Mungkin semua yang bergelar ibu juga mempunyai keinginan yang sama. Selesai anak menggenggam ijazah, mahukan anaknya menikah dan mahu menimang cucu sesegera mungkin. Tercuit hatinya mendengar luahan tersebut.
            “ Susah sangat nak menimang cucu, bunda ajelah yang menikah. Mengandung, dapat baby lagi, dapat main dengan anak sendiri.”
            Asma menjeling tajam. Ketawa Rafiq pecah. Pasti telinga akan menerima hamburan kata-kata yang serupa dengan ummi tempoh hari.
            “ Ada ke patut suruh bunda menikah. Tak mahulah bunda. Dah tua-tua macam ni, dah tak teringin nak bersuami. Tua-tua macam ni lebih baik bunda banyakkan ibadah. Ajal maut bila-bila boleh menjelma. Tapi sebelum tutup mata, bunda teringin nak tengok anak-anak bunda bahagia. Tidaklah berat hati meninggalkan dia orang. Paling tidak bunda tahu ada lelaki yang baik dapat jaga anak-anak bunda.”
            Rafiq mengangguk perlahan. Sama seperti ummi yang menyimpan harapan melihatnya membina rumahtangga. Namun, hasrat tersebut belum kesampaian. Bukan tidak pernah mencari, bukan tidak pernah mencuba mengenali calon demi calon yang berkenan di hati ummi. Cuma dia tak pernah merasakan itu jodoh yang ditetapkan Tuhan padanya. Lantaran itu, dia senang menyendiri, menguruskan diri sendiri sampai ke hari ini.
            “ Fiq, kalau bunda nak tanya sesuatu boleh tak?.”
            Pertanyaan bunda mengundang senyuman di bibir Rafiq. Entah kenapa, dia berharap benar bunda bertanya lebih lanjut perihal dirinya. Memang sejak tadi, dia tidak sabar mahu bercerita tapi tidak tahu mahu bagaimana mahu memulakannya. Laju dia mengganggukkan kepala dengan senyuman masih bermain di bibir.
“ Kalau nak tanya banyak pun boleh bunda. Insya-ALLAH, saya jawab semampu saya,” balas Rafiq dalam makna tersirat.
Asma mengukir senyuman.  Namun, sebelum sempat  dia membuka mulut bertanya, telefon rumah berdering kuat. Asma mengeluh berat. Rafiq hanya mengekek ketawa dalam debaran hatinya yang masih tidak hilang.
--------------------------
Aida membuang pandang ke arah jalan raya di hadapannya. Sesak dengan kenderaan berbagai jenis dan rupa. Dia mengeluh perlahan sambil menanti jawapan dari rumah. Tidak lama kemudian, kedengaran suara Asma memberi salam.
“ Wa’alaikummussalam. Bunda, Along ni.”
“ Ye Along. Dah balik belum?.”
“ Dah,” Aida membalas ringkas.
“ Baguslah macam tu. Lama lagi ke nak sampai rumah? Kesian Encik Rafiq menunggu Along tau,” soal Asma lagi
Aida terdiam seketika.
“ Erm, macam tulah bunda. Kereta merayap macam siput ni bunda. Nak tak nak memang dia kena menunggu Along la. Semantara menunggu Along sampai, bunda entertain la dia.  Boleh kan bunda?,” soal Aida dalam nada merayu.
Bunda mengekek ketawa.  Aida tidak henti berdoa dalam hati.
“ Kalau bunda tolong Along, Along nak bagi hadiah apa?.”
Aida meneguk air liur. Apa hadiah yang terbaik harus dipersembahkan pada bunda. Laju akalnya berfikir. Dia buntu. Lantas laju mulutnya melontarkan pertanyaan kepada bunda.
“ Erm, Along ikut je kata bunda. Bunda nak hadiah apa?.”
Asma membalas pertanyaan Aida dalam tawa. Aida terpempam dengan permintaan bunda. Sekali lagi, hal jodoh dibangkitkan.
“ Tengoklah macam mana nanti bunda. Kalau ada orang nakkan Along, sampailah hadiah tu. Kalau tak ada orang nakkan Along, Along hadiahkan doa jelah. Moga ALLAH beri kesabaran pada bunda berdepan dengan anak dara dot..dot bunda ni,” balas Aida dalam nada berseloroh.
Bunda di hujung talian makin galak ketawa. Aida diburu rasa pelik. Kata-kata Asma seterusnya menambah seribu pertanyaan di hati.
“Along tak payah tunggu orang nakkan, tunggu Along nakkan orang je. Along tak payah susah-susah cari calon juga sebab bunda dengan adik-adik akan uruskan. Along siapkan diri dan hati je. Insya-ALLAH, calon yang bunda carikan tu boleh bahagiakan Along dunia dan akhirat.”
Senar nada suara bundanya menutur kata. Cukup membuatkan Aida tertanya-tanya. Belum sempat dia bertanya lanjut, bunda menamatkan perbualan bila azan Magrib bergema. Alamak, suspennya!
--------------------
Rafiq duduk bersendirian di ruang tamu. Azan Magrib yang berkumandang dari masjid tidak jauh dari rumah menghantar rasa insaf di hatinya. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke sana. Kebiasaan tersebut sudah lama ditinggalkan lantaran kesibukan tugas. Dan hari ini, dia tersentak dengan panggilan penuh syahdu itu. Rasa insaf di hatinya memaksanya menjengah ke sana. Dia bangun dari sofa, melangkah dari ruang tamu. Saat dia baru berkira-kira mahu ke sana, panggilan bunda membuatkan langkahnya terhenti.
“ Nak ke mana ni Fiq? Takkan dah tak sanggup menunggu musuh lama kot?.”
“ Isk, bunda. Sanggup tunggu, siapa kata tak sanggup. Fiq ingat nak pergi solat jemaah dekat masjid. Mudah-mudahan balik dari masjid nanti Didi dah balik, boleh bincang dengan dia terus. Taklah rasa lama sangat menanti dia.”
 “ Ooh, gitu. Bunda rasa Fiq tak yah pergi masjidlah. Kita solat jemaah sama-sama. Boleh tak?,” soal Asma sambil menghulurkan baju melayu dan kain pelikat.
Rafiq diam tidak berkata. Tangannya menyambut huluran Asma.
“ Fiq bersiaplah di  bilik tetamu. Buat macam rumah sendiri. Jangan malu jangan segan,” tambah Asma lagi sambil mengiringi Rafiq ke bilik tamu berhampiran tangga.
Rafiq tersenyum sumbing. Kata-kata Asma mengandung makna tersirat. Besar benar harapan bunda padanya. Rafiq berandaian sendiri.
“ Kami dah lama tak berimam dengan lelaki di rumah ni. Rafiq datang ni sebagai pemimpin kamilah. Manalah tahu, ada rezeki jadi pemimpin tetap di rumah ni.”
Bukan tidak pernah menjadi imam sebelumnya, cuma kali ini rasanya lain.. Seakan-akan dia sudah diterima sebagai ahli keluarga di rumah ini tanpa banyak soal. . Mungkin bunda hanya bergurau, tapi permintaan dan butir bicara bunda menghantar debar di hatinya. Aduhai, cuaknya!
---------------------------------------------
Aida menarik nafas lega. Setelah hampir sejam terperangkap dalam kesesakan jalan raya, akhirnya kereta yang dipandu sampai di rumah. Laju langkahnya diatur keluar dari kereta.
Aida memberi salam. Lama dia menunggu, tidak ada jawapan dari dalam rumah. Yang kedengaran hanya suara lelaki mengimami solat Magrib. Dia tersenyum sendiri. Pelik rasanya tetamunya mahu menjadi imam tanpa banyak soal. Lebih aneh lagi bila memikirkan kemesraan yang sudah terjalin antara ahli keluarganya dan lelaki bernama Rafiq tersebut.
Pintu utama dibuka dari luar. Sebaik sahaja membuka pintu, wajah adik bongsunya Aisha muncul di depan matanya dengan senyuman.
“ Waalaikummussalam,” ucap Aisha sebaik sahaja Aida masuk.
Aida menjeling tajam. Aisha mengekek ketawa.
“ Tak payah nak perli Along. Assalamualaikum,” ujar Aida sambil melangkah ke ruang tamu. Aisha mengikuti langkah kakaknya dengan senyuman nakal.
“ Adik, Encik Rafiq ke jadi imam tu?.”
Pertanyaan Aida dibalas dengan anggukan kepala. Aisha masih tersenyum.
“ Uisyh, segannya Along. Dah la Along mungkir janji dengan dia. Balik-balik, dia jadi imam pulak. Mana Along nak sorok muka Along ni,” rintih Aida perlahan.
Aisha mengangkat bahu. Suka benar dia melihat muka cemas Aida. Sesekali mengenakan Aida, apa salahnya.
“ Tak payah nak sorok muka. Dah salah pandai-pandai la minta maaf. Kalau sorok muka, macam mana Fiq nak tengok muka musuh lama dia ni,” sampuk Asma.
Aida menggaru kepala. Mukanya diangkat.
Matanya bertentangan dengan tetamu yang berada di belakang bunda. Bulat matanya memandang tetamu tersebut. Walaupun sudah lama tidak bertemu, dia dapat merasakan hubungan yang masih mekar antara mereka. Itulah Fiq, teman lama tempat dia berkongsi cerita suatu ketika dahulu. Seketika, hatinya merasa bahagia.
---------------------------------------
“ Encik Rafiq.”
Aida menahan tawanya dari meledak. Kelakar benar rasanya bila berbicara dalam nada formal begitu. Rafiq hanya tersenyum. Aida masih seperti dahulu, suka bergurau dan ketawa.
“ Cik Aida Diyana…Cik Didi, kurus macam lidi,” balas Rafiq.
Aida tergelak kuat.
“ Eh, tolong sikit Fiq. Didi depan mata ni dah tak macam lidi ya. Fiq tu yang masih kurus macam cicak kobeng. Mujurlah muka tak berubah. Kalau tak, Didi tak kenal dah agaknya.”
Rafiq melemparkan senyuman. Senang benar rasa hatinya bila bertemu dengan Aida. Banyak yang mahu dia tanyakan tapi kesuntukan waktu membuatkan dia memendamkan segala persoalan di benaknya. Rafiq menghulurkan kertas kerja dari briefcase hitamnya. Seketika kemudian, kertas cadangan beralih tangan.
“ Konsep resort terbaru kami semuanya dah dilampirkan di dalam. Cadangan bajet dari syarikat kami pun kami dah sertakan. Kalau bajet tu kurang, Cik Aida boleh kasi diskaun tak?.”
 “ Diskaun..apa tu?,” balas Aida dalam nada berseloroh. Tawanya lepas.
“ Aisyh, sudah tau bertanya pula. Teruk betul Didi ni. Dasar kedekut, tahi hidung masin.”
“ Isyh, kedekut iya. Kalau tahu hidung masin, tak ye. Fiq tahu dari mana tahi hidung masin? Pernah rasa ke?.”
 “ Erm, macam tu la kot. Oh ya, Didi ni asyik lukis bangunan untuk orang lain! Bila nak buat masjid atau bangunan untuk diri sendiri?,” soal Rafiq ingin tahu.
Aida mengangkat bahu. Dia mencari jawapan yang tepat untuk persoalan itu.
“ Tak jumpa project manager yang sesuai dan sanggup Fiq. Ke Fiq nak tawarkan diri?.”
Rafiq membuang pandang ke arah Aida. Lama dia terdiam sebelum dia menganggukkan kepala. Anggukan kepala Rafiq membuatkan fikiran Aida melayang. Kenangan zaman kanak-kanaknya menerpa fikiran.
“ Tak mahu kahwin tipu-tipu. Fiq nak kahwin betul-betul dengan Didi je. Tak mahu dengan orang lain”. 
Aduhai, siapa suruh cari penyakit? Padan muka! Siapa suruh ingatkan pasal perjanjian zaman muda dulu, kan dah tak senang duduk. Nasib..nasib

1 comment:

cactaceous opuntia said...

ni musuh merangkap kwn baik ke ape?huu...alahai rafiq..nk propose...propose la sungguh2...hee...tp xpe kot kn...kn bunda suka sgt kt rafiq...heheheh..lgpn didi da janji nk tunaikan permintaan bunda sbb entertain tetamu dia tu kn...i like...