@rubiadaibrahim

Sunday, June 12, 2011

Ayat Power 32: Kembali


         Setelah sebulan bercuti, aku kembali menjadi pelajar perubatan. Perasaan pertama kali masuk ke hospital bercampuk aduk. Maklum sahajalah, sudah lama bercuti. Otak sudah berkarat dan badan mula tak larat. Inilah parahnya kalau terlalu lama memanjakan diri. Bila dah kembali ke dunia nyata, mulalah sakit sana sini. Tapi sudah aku sematkan niat dalam diri. Aku harus atur langkah penuh berani, aku harus berjalan dan melalui hari-hariku dengan tekad dan semangat.
            ” Are you ready?.”
          Pertanyaan Einstein tidak berbalas. Cuma senyuman manis aku lemparkan padanya. Mungkin terlihat tidak ikhlas senyuman tersebut, dia bertanya lagi.
            ” Sayang okey ke tidak ni?.”
            ” Okey, Insya-ALLAH. Kalau tak okey, balik nanti ada orang boleh jagakan,” balasku penuh makna.
            Eisntein tergelak kecil. Dia menyongsong langkahku ke arah pintu masuk .Dia menghantarku masuk dengan senyuman masih bermain di bibirnya. Sikapnya mengundang tanda tanya di benakku.
            ” Ada yang tak kena ke?,” luahku.
            Laju dia menggeleng kepala. Seketika kemudian, dia memberi jawapan ringkas.
            ” Seronok ya bila dah duduk sekali ni. Pergi mana-mana boleh berdua. Kalau abang tahulah best macam ni, awal-awal lagi kita pindah rumah sendiri.”
            Aku tergelak kecil. Ada-ada aje suamiku ini.
            ” Paling seronok Bilah la sebab pergi berhantar, balik berjemput. Nanti abang nak Bilah hantar dan jemput abang pulak. Kiranya kita ambil turn la,” tambahnya.
            Aku menyeringai ketawa. Sejak aku kembali ke sini semalam, seloroh dan gurauannya tak henti-henti. Tak sangka betul dia boleh berubah menjadi banyak bercakap begini. Namun, aku senang dengan perubahannya. Padanlah dengan aku yang kepoh.
            ” Insya-ALLAH,” balasku setelah tawaku reda.
            Seperti biasa sebelum berpisah, kami bersalaman. Einstein sempat berpesan padaku agar menjaga diri baik-baik. Di raut wajahnya, tergambar kasih sayangnya. Dalam tenang, masih ada raut kebimbangan yang terpamer. Sempat aku bergarau dengannya sebelum dia melangkah pergi.
            ” Kalau Bilah penat, abangkan ada dekat rumah. So, esok abang ajelah ganti Bilah masuk hospital.”
            Einstein tergelak kecil sebelum berlalu. Aku menghantarnya pergi dengan lambaian tangan dan pandangan penuh kasih sayang.
-------------------------------------------
            Heboh dan kecoh seketika suasana bahagian Opthalmologi sebaik sahaja mereka melihat kelibatku. Maklum sahajalah ceritaku tempoh hari sempat membuatkan kekecohan di hospital dan menimbulkan spekulasi kurang enak di kalangan teman-temanku. Dan kemunculanku hari ini, pastilah mereka mahukan penjelasan dan jawapan pada kekeliruan dan kontroversi yang timbul tempoh hari.
            Banyak soalan yang muncul, jawapannya tidak ada satu pun. Aku memilih berdiam diri. Bagiku, segala yang berlaku sudah jadi lipatan sejarah. Yang penting sekarang adalah masa depan. Aku tidak mahu mengenang kisah lalu. Aku hanya mahukan kebahagiaan hari demi hari mendatang. Kalau mereka masih bertegas mahukan penjelasan, barulah aku akan membuka mulut. Namun, semuanya setelah ada pertimbangan sihat akalku dan persetujuan dari Einstein sendiri.
            ” Kau dah ukur jalan berapa kilometer Nabil?.”
            Suara yang menyapaku membuatkan aku tersengeh sendirian. Tak habis-habis mengenakan aku.
” Tak la jauh sangat. Baru sampai kafe ni ha,” selorohku.
Dania dan Nani mengambil tempat di depanku dengan. Ketawa kami bersahut.
            ” Macammana first day? Seronok tak jadi selebriti hari ni?,” soal Dania sambil tersenyum nakal
            ” Nama pun selebriti, penatlah menjawab soalan-soalan cepumas. I kata no comment je tadi,” balasku ringkas sambil mengangkat bahu.
Dania dan Nani sekali lagi ketawa.  
” Kalau dengan orang lain, kau bolehlah jawab no comment. Dengan kita orang, kau wajib komen ye.”
Nani berbicara penuh makna. Jelas, mereka mahukan penjelasan terperinci soal kejadian tempoh hari. Kesibukan demi kesibukan membuatkan kami tidak berkesempatan bertemu dan berbahagi cerita. Dan kerana mereka adalah sahabat susah dan senangku, aku akhirnya bercerita panjang lebar. Diana dan Nani kusyuk mendengar setiap bait kata yang aku sampaikan.
---------------------------------------------
” Ya ALLAH! Seram aku dengar. Kalau aku jadi kau, sampai sekarang aku trauma lagi kot,” komen Dania sebaik sahaja aku selesai bercerita.
Nani di sebelahnya menangguk setuju. Aku hanya tersenyum sahaja dengan gelagat mereka. Apa yang Dania luahkan adalah apa yang aku fikirkan setelah kejadian itu. Trauma, fobia dan aku takut menghadapi kejadian itu. Dalam keberanian, masih terselit rasa takut. Bimbang andai kejadian yang sama berulang lagi.
” Mak angkat Einstein tu sekarang ni dekat mana?,” soal Nani ingin tahu.
Aku menggeleng kepala. Sungguh, aku tidak pernah tahu dan tidak mahu tahu keberadaan dia. Cukuplah aku mengetahuinya sebagai ancaman dalam hidupku sahaja.
” Kalau aku, aku pun tak mahu ambil tahu pasal dia. Sebolehnya, aku nak jauh dari dia. Orang-orang kurang sihat macam tu bukannya boleh kita duga kelakuan dia. Hari ni baik, esok-esok belum tentu,” komen Dania pula.
” Dia tak rasa bersalah ke dengan kau?,”
Soalan cepumasa itu kuat menampan telingaku. Orang yang melakukan kesalahan pasti akan diburu rasa tidak senang. Walaupun di kala kita melakukannya di saat kiita kurang sadar, apa yang kita lakukan pasti melekat di ingatan dan terbekas di hati.Cuma bagi pihak dia, aku tidak berani menduga.
” Kisah yang lepas, kau jangan kenanglah Nabil. Apa yang lebih penting kau jaga diri kau.”
Nasihat Dania membuatkan aku mengukir senyuman. Sempat mereka bergurau denganku, menyuarakan rasa tidak sabar mahu menjadi ibu saudara pada bayi di rahimku.
” Agak-agaknya macam manalah rupa baby kau nanti ya?,” Nani bersuara dengan muka ceria.
” Yang pasti bukan macam muka auntie-auntie dia la,” balasku.
Dania dan Nani ketawa. Sempat membayangkan wajah bayiku ini. Ada-ada sahaja keletahnya menghiburkan hatiku.
” Aku rasa anak kau nanti akan ikut muka Einstein, perangai je ikut kau. Bestlah nanti anak kita berkawan, dapat kawan muka qudus, kelakuan rock and roll macam kau,” tambah Nani lagi.
Aku tergelak kecil. Tidak kisah bagaimana rupa bayi ini. Yang penting, dia lahir cukup sifat dan sihat. Dan sebagai ibu dan bapa, aku akan mendidik anak ini sebaiknya supaya menjadi anak yang soleh dan membahagiakan kami selamanya.
” Nabil, Einstein tak ada cadangkan nak temukan kau dengan mak angkat dia lepas kau bersalin nanti? Kata orang, bila tengok muka suci baby semua masalah akan hilang. Manalah tau dapat kurangkan perasaan tak menentu mak dia tu. Mudah-mudahan baby ni jadi penghubung kasih kau orang,” luah Dania pula.
Aku diam tidak berkata. Soal itu sudah beberapa kali dibangkitkan. Aku juga sudah berfikir panjang soal itu. Kalau pun dia mahu menemuiku, aku tidak akan pergi. Kalau dia mahukan kemaafan, aku tidak pasti mahu menunaikannya atau tidak. Kerana luka di hati ini sudah terlalu dalam. Dan kemaafan sahaja tidak mampu mengubatinya. Jadi, bagaimana?
--------------------------------------------------
Aku menunggu Einstein di rumah. Bosan juga bila bersendirian begini. Jadual kerja aku dan Einstein yang berbeza tidak memungkinkan kami pulang ke rumah dalam waktu yang sama. Aku pulang petang, sedangkan jam 10 malam baru kelibatnya menjelma. Dan setiap kali pulang, dia pasti kepenatan. Dan sebagai isteri, aku harus mengerti dan memahaminya.
Awalnya memang kekok dengan rutin baruku ini. Kalau dulu, aku jarang merasa sesunyi ini kerana ada Nani dan Dania yang menemaniku. Sekarang, semuanya harus berdiri di kaki sendiri. Dan aku kira tindakan pindah ke rumah sendiri ini bukanlah satu kesilapan. Keputusan yang diambil Einstein adalah yang terbaik untuk kami. Dan yang paling utama, aku rasa selamat setiap kali dia bersamaku. Walaupun waktu kami terbatas, sebolehnya aku tak mahu ianya berlalu terlalu pantas.
” Abang minta maaf sayang. Kesian sayang penat tunggu abang balik?.”
Einstein menyapaku sebaik sahaja dia tiba di rumah. Jelas raut kebimbangan dan bersalah di  wajahnya.
” Tak perlu minta maaf abang. Bilah faham. Kita kena biasakan diri dengan keadaan ni. Insya-ALLAH, ALLAH akan permudahkan urusan dalam rumahtangga kita,” balasku sambil membetulkan kedudukan.
Tangan Einstein aku kucup. Kemudian, aku meminta izinnya ke dapur untuk mengambil minuman. Pantas dia melarang. Tangannya merangkul bahuku erat.
” Tak payah susah-susahlah sayang. Nanti abang ambil air sendiri,” dia meraih tanganku.
Aku duduk di sebelahnya, aku pandang wajahnya penuh kasih sayang.
” Abang nak pandang isteri abang ni puas-puas. Hari ni susah nak jumpa. Rindu sangat-sangat ni,” luahnya syahdu.
Aku membetulkan kedudukan. Kepalaku dilentokkan di bahunya. Dia melemparkan senyuman manis sambil mengurut bahuku. Serta-merta rasa penat yang bermaharaja kerana tugas siang tadi berlalu pergi. Tanpa sedar, senyumanku kian lebar.
” Kenapa senyum sorang ni?,” Einstein bertanya.
Aku tersenyum malu. Tak perasanlah pula dia merenungku. Selalunya sebaik sahaja pulang ke rumah, dia mandi dan kemudian langsung tidur. Kalau pun duduk begini, pastinya matanya sudah tertutup. Sekadar memejamkan mata, dan sering tertidur dengan sendiri akhirnya.
” Beruntung Bilah dapat suami sentuhan tangan ajaib. Baru picit sikit, dah hilang penat,”ujarku.
            Bibir Einstein menguntum senyuman.
            ” Abang pun beuntung juga. Bilah senyum je, hati penuh berbunga-bunga tau. Ada bunga rindu, sayang dan cinta,” bisiknya perlahan.
            Aku tergelak kecil. Tak sangka pula dia pandai bermadah pujangga  begitu. Tak sangka Encik Einstein dan pandai berjiwang karat pula. Siapalah yang ajar dia ni?
            ” Abang nak bodek Bilah ke ni?,” soalku dalam nada gurauan.
            Einstein tergelak. Matanya yang kecil makin sepet jadinya.
            ” Isteri abang ni bukan setakat senyuman ajaib, ada ilmu mantik. Pandai meneka, tepat jawapannya,” balasnya dalam nada berseloroh.
            Aku mempamerkan muka bangga. Einstein membetulkan kedudukan. Dia merenungku dengan raut penuh kasih sebelum mengungkap permintaannya. Permintaan mudah, namun sulit bagiku untuk memberikan jawapan. Ya ALLAH, bantuku!
-----------------------------------------------
            ” Setiap orang pernah melakukan kesalahan. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang memohon dan memberi kemaafan. Dan abang harap sangat kita berdua dapat jadi orang tu. Sayang fahamkan maksud abang.”
            Kata-kata Einstein sentiasa kemas melekat di ingatan. Setelah sebulan aku kembali di sini, dua bulan setelah peristiwa itu berlaku, dia merayuku agar memaafkan kekhilafan insan yang pernah kami panggil mak itu. Aku pertimbangkan dengan akal warasku baik buruk segala keputusan.
            Tidak susah menghulurkan kemaafan. Hal yang paling berat adalah menghadirkan rasa ikhlas dalam setiap tindakan. Aku masih dihantui kenangan pahit itu. Saban hari, saban waktu tidak ada satu pun kebaikan yang aku ingat dari nama insan tersebut. Semuanya adalah sukar dan pahit ditelan.
            ” Abang tak paksa sayang. Abang faham situasi Bilah sebab abang pun lalui yang pahit tu. Cuma, sebagai seorang anak kadang-kadang kita kena mengalah. Kita yang akan mengubah keadaan yang tak betul . Insya-ALLAH, apa yang kita buat ni akan diberi kebahagiaan dalam rumahtangga kita.”
            Kali pertama Einstein menyuarakan hasratnya, aku bungkam. Protes aku suarakan melalui perang dingin yang aku ciptakan. Aku kurangkan bercakap dengannya. Hanya hal penting sahaja aku suarakan. Sampaikan Einstein juga bingung menghadapi sikapku. Namun begitu, layanannya tak berubah.
            Dia tetap Einstein yang penuh dengan kasih sayang. Dia tak pernah lupa dengan tanggungjawabnya. Saban malam, tidak lupa membacakan surah-surah yang dianjurkan sepanjang kehamilan. Lantaran sikapnya itu, aku makin jatuh hati. Kerana budinya juga, aku harus menjadikan lelaki paling bahagia di dunia ini.
            Permintaannya tempoh hari akan aku penuhi setelah aku rasakan itu adalah hal paling tepat. Aku mencari jawapan dari setiap persoalan yang bermain di benakku. Aku lakukan survey dan dapatkan pandangan dari orang sekelilingku.
            ” Kesalahan itu pahit, kemaafan itu indah.”
            Itu kata mama. Setelah panjang lebar ceramah yang diberikan padaku, akhirnya dia memberikan kesimpulan yang ringkas. Dia tidak memaksa, menyerahkan segala keputusan di tanganku. Ibu juga begitu, mengungkap kata-kata yang cukup indah yang membuatkan aku sedikit tersentak.
            ” Belajarlah memaafkan kerana dengan memaafkan kita akan mudah dimaafkan oleh orang lain dan ALLAH S.W.T. Dengan hanya kata maaf juga, kita dapat hubungkan kasih sayang, menjadi orang paling disayang Rasul dan hamba yang penyayang di sisi-NYA.”
            Aku merungkai setiap kata dan pandangan. Dan akhirnya, aku membuat satu keputusan, satu kesimpulan.
” Abang tak mahu Bilah rasa terpaksa dengan keputusan ni. Abang nak Bilah buat semua ni kerana Bilah sendiri. Bukan sebab abang, bukan sebab mama, ibu dan lain-lain,” ujar Einstein sambil memimpin tanganku.
Aku genggam erat tangannya. Aku renung wajahnya.
” Insya-ALLAH. Dengan adanya abang di samping Bilah, Bilah yakin dengan keputusan ni. Kebahagiaan abang adalah kebahagiaan Bilah. Keluarga abang, keluarga Bilah juga,” balasku penuh makna.
Kami berbalas senyuman. Dan kerananya, aku tegarkan hati berdepan dengan mereka sekali lagi.
            ” Bismillah. Ya ALLAH, permudahkan urusan kami.”
            Eisntein melafaz doa. Aku aminkan dalam hati. Melihat wajah dua insan di depanku, aku diburu seribu perasaan. Namun, aku kuatkan kaki melangkah.
Sesungguhnya, aku mahu jadi orang paling bahagia dalam hidup ini. Dan aku berharap dengan kemaafan ini, kebahagiaan mereka juga jadi milik mereka. Mak dan ayah, kembalilah tersenyum kerana penganti anakmu ini sudah kembali!
--------------------------------------------
Salam semua...Saya kembali setelah seminggu lebih menghilang. Menghilang dengan kesibukan sebagai medical student, exam week yang sangat menuntut kesabaran. Berhenti kisah saya, kembali dengan kisah Nabilah Azna & Umar Al-Farouq..Insya-ALLAH, ada 3 n3 lagi sebelum tamat. Penat rupanya jadi penulis ni memandangkan banyak kerja yang belum selesai. Sekarang ni dah tak berani nak berjanji. Kepada yang bertanya kelanjutan dan khabar CCB, terima kasih banyak2 atas keprihatinan anda.  Doakan2lah saya ye..Saya tak mahu jadi penulis sekerat jalan sahaja. Saya mencuba mencari masa lapang di natara kesibukan saya. Insya-ALLAH, ada rezeki jadilah buku nanti. Insya-ALLAH, ada kisah setengah/sekerat dan 1/2 yang akan saya ceritakan di blog satu lagi. Apa2 pun, selamat membaca.Wassalam

3 comments:

MaY_LiN said...

yea yea..
bilah da balik..

cactaceous opuntia said...

xsaba nk tggu ending...alhamdulillah bilah mkn ok...hopefully mk agkt einstein pn ok...^^

cik n.haliban said...

wah...ske bab romantik. hehe...