@rubiadaibrahim

Sunday, March 27, 2016

Mahar: Prolog

           Salam alaik...Novel lama yang bakal dibarukan.

Kata orang, pernikahan adalah hal yang menggembirakan dalam hidup lelaki dan perempuan. Manakan tidak, dua hati disatukan dalam sebuah ikatan suci. Ikatan yang tujuannya hanya satu, bersama menggapai cinta teragung dari Allah S.W.T. Itu juga harapan aku dan Luqmanul Hakim suatu ketika dahulu. Harapan itu masih kekal hingga ke hari ini. Dulu, kini dan selamanya!
“ I tahu I bukan yang terbaik untuk you. Tapi I akan berusaha menjadi yang terbaik. I tahu I bukan sempurna macam orang lain, tapi I akan cuba tampil sesempuna mungkin untuk you. Kekurangan I, you akan bantu sempurnakan. Kekurangan you, I akan bantu sempurnakan. Insya-ALLAH, kita saling melengkapi antara satu sama lain.”
Harapan Luqman ketika dia melamarku masih kekal di ingatan hingga ke hari ini. Harapannya menggunung tinggi. Sama seperti harapan aku ketika itu. Benar, janji kami masih terikat hingga ke hari ini. Aku cuba menjadi yang terbaik buat suamiku itu. Suami, yang baru memeluk Islam setahun sebelum pernikahan kami. Aku sedar, berat tanggungjawab yang menantiku selepas pernikahan kami. Rasa risau mengisi segenap hati. Bagaikan tahu isi hatiku, dia memujuk aku.
“ Ita, I tahu you takut kalau you buatkan I jauh dari tujuan sebenar. Tapi you kena tahu, I masuk Islam bukanlah disebabkan seorang perempuan. Bukan kerana Izrene, bukan kerana Masyitah juga. Tapi kerana takdir dari-Nya. Takdir dan hidayah-Nya. Insya-ALLAH, kita sama-sama sempurnakan diri kita sebagai hamba-Nya”.
Hati aku terpujuk. Aku tahu hal itu. Tiga hari aku minta dia menjauh seketika walaupun cincin lamarannya sudah aku terima. Aku di duniaku dan dia dunianya. Dia lelaki yang menepati janji. Segala syarat aku dituruti. Tiada khabar darinya sepanjang aku memohon waktu untuk berfikir dan memohon petunjuk-Nya.
“ Ya Allah, seandainya kau takdirkan dia yang terbaik untukku, kau hadirkanlah rasa sayang dan cinta dalam hatiku. Seandainya benar hubungan kami demi cinta pada-MU, kau dekatkan hati kami. Jika tidak, hilangkan rasa cinta dan bayangannya sebagaimana tenggelamnya matahari saat senja menjelma.”
Itu doa yang aku ucapkan selesai solat istikharah saban malam. Bila rindu dan rasa sayang yang sebelumnya tidak ada hadir dalam hati, aku sedar dialah takdir ku. Khabar dari aku membuatkan dia tersenyum manis. Harapannya meletakkan aku sebagai wanita dengan mahar tertinggi di dunia jadi kenyataan juga. Aku juga melafazkan syukur. Syukur atas takdir terindah dari-NYA.
Kelvin Lim, temanku suatu ketika dahulu jadi pemimpinku. Dia memang suami yang hebat dan saudara baru yang cukup komited bila bergelar muslim. Betapa rasa kagum aku makin bertambah hari demi hari aku mengenalinya. Dia melahirkan rasa bangga dan bahagia kerana menjadi suamiku biarpun sering ditinggalkan bila tugasan menuntutku bepergian.
“ Takpelah sayang. Ita tinggalkan abang untuk berbakti pada masyarakat. Ita jangan rasa bersalah pada abang sebab itu tanggungjawab Ita. Ita ikhlaskan hati.Insya-ALLAH itu saham di dunia dan akhirat Ita,” ujarnya dalam senyuman setiap kali dia menghantarku ke hospital bila aku on-call.
Senyumannya menghadirkan kekuatan pada aku. Senyuman itu akan terus terukir di bibirnya biar apa juga keadaan sekali pun. Biarpun dugaan demi dugaan dalam rumahtangga kami mendatang, dia tak pernah mengeluh kerana semua itu dugaan dari-Nya. Itu pujukannya dan sedikit demi sedikit hati aku terubat biarpun  kehilangan demi kehilangan membuatkan aku  terus dilanda sebak dan kesedihan.



             “ Abang tahu Ita tabah. Ita cukup kuat hadapi semua dugaan. Ita lebih kuat dari abang. Abang tak mahu Ita sedih-sedih. ”
Itu pujukan Luqman bila aku keguguran ketika hamil kali pertama dan kali kedua. Hamil seawal usia perkahwinan kami memang berita yang paling mengembirakan aku dan Luqman. Tak sabar rasanya mahu melihat tanda cinta kami lahir ke dunia. Namun, takdir Tuhan siapa kita mahu melawannya?
“ ALLAH S.W.T Maha Tahu hikmah di sebalik semua ni. Mungkin terlalu awal dan kita sendiri belum bersedia jadi mak dan ayah. Kita sama-sama cari hikmah dari apa yang jadi pada kita ni,” pujuk Luqman lagi.
Mencari hikmah atas setiap dugaan Tuhan. Ya, setiap kejadian ada hikmahnya. Sama seperti dugaan yang hadir dalam kamus hidupku. Kehilangan ibu dan ayah ketika aku masih mentah. Tapi ujian itu mungkin untuk kami melengkapkan diri menjadi ibu dan ayah terbaik di masa akan datang. Pujukan Luqman membuatkan aku tersenyum dan bersemangat menjalani kehidupan kembali.
Kandungan kali ketiga aku ketahui ketika kami meraikan ulangtahun perkahwinan kami yang pertama. Aku tak menduga Allah hadirkan hadiah terbaik kepada kami dalam kegembiraan tersebut. Maklum sahajalah, tiada petanda seperti kehamilan aku sebelumnya.
“ Dia sengaja nak suprisekan ibu dengan ayah la tu. Alhamdulillah, abang gembira sangat-sangat dengan berita ni. Terima kasih sayang,” ucap Luqman sebaik sahaja berita gembira itu kami terima.
Kalau dia gembira, aku lebih lagi. Syukur pada-NYA kerana diberi peluang untuk merasai indahnya detik menjadi ibu. Mengandung selama 9 bulan sebulan hari dan menanti kelahiran cahaya mata dengan penuh debar. Dan sungguh, rasa syukur kerana diberi peluang sekali lagi dengan keistimewaan lahir sebagai wanita dan akan bergelar ibu.
“Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan. Ya Allah, bertuahnya isteri abang,” tambah Luqman lagi.
Buku Tips dan Panduan Hamil Dalam Islam ditunjukkan padaku. Itu hadiah kehamilanku kali ini. Buku itu jadi peneman aku seiring dengan besarnya kandungan. Sebagaimana nasihat dan panduan untuk membacakan surah Maryam dan Yusuf ketika kehamilan, Luqman tak pernah lupa melakukannya saban hari.
Setiap kali selesai membacakan ayat suci, Luqman akan berbual dengan anak kami. Dia akan berbicara dan menasihatinya supaya jangan nakal hingga membuatkan aku penat menjalani hari-hari dan tugasku. Kegembiraan Luqman membuatkan aku diburu resah. Bimbang kalau-kalau Allah menduga aku dengan kehilangan sekali lagi.
Bila bulan ke-3 dan ke-5 kehamilan aku lewati dengan rasa debar di hati. Luqman maklum betapa risaunya aku. Dia memujuk aku dan menghadirkan kekuatan pada aku.
“ Kita berdoa yang terbaik untuk kita. Insya-ALLAH, everthing will be okay. Yang penting, Ita kena jaga diri dan baby baik-baik. Jangan malas nak minum susu macam semalam,”pesannya dalam gurauan.
Aku tergelak kuat dengan pesanannya ketika aku dihantar ke hospital. Dia menghantar aku dengan sebotol susu di tangan. Wajib dihabiskan sebelum aku pulang ke rumah petangnya. Mahu tak mahu aku harus mengikuti kata-katanya. Kalau tidak, panjang lebarlah ceramah Encik Luqman Hakim Lim ni!
“Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya (serta menjaga sembahyang dan puasanya). Ita tak mahu ke?”.
Apa nak buat, aku hanya mengikut perintah. Mahu tak mahu, seorang isteri kenalah taat pada suaminya. Dan seorang isteri bernama Masyitah wajib taat pada suaminya, Luqman Hakim Lim sejak termeterai ikatan ini.
------------------------------------------
2 minggu sebelum tarikh aku dijangka melahirkan, debaran di hati memuncak bila tiada lagi gerakan halus dari perut yang dah mula menampakkan bentuknya. Aku diburu resah, sama seperti Luqman. Pagi itu kami bergegas ke hospital. Mahukan kepastikan.
“ Lutfi sengaja nak main sorok-sorok dengan ibu tu. Sekejap lagi, dia kasi la power kick dekat ibu.”
Kata-kata Luqman tak mampu membuatkan aku tersenyum lagi. Kalau Luqman fikir dia bijak memujuk aku, aku lebih arif keadaan yang aku alami kini. Mustahil seorang doktor tak tahu kondisi seperti ini. Mahu tak mahu, Luqman dan aku harus bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi.
“ Abang, kalau jadi apa-apa pada Lutfi, Ita nak minta maaf dengan abang. Maaf sebab tak mampu nak buat abang jadi lelaki paling bahagia di dunia ni. Maaf sebab impian abang nak jadi seorang ayah tak jadi kenyataan sekali lagi,” perlahan-lahan aku tuturkan rasa hatiku.
Riak terkejut Luqman terpamer juga biarpun dia cuba menyembunyikannya. Biarpun dia sedaya upaya memujukku, sekali lagi kami harus redha andai kami harus kehilangan sekali lagi.
“ Insya-ALLAH, everthing will be okay. Abang tak mahu Ita fikir yang bukan-bukan. Lutfi akan jumpa ibu dan ayah dia tak lama lagi. Abang tahu dan abang yakin,” balas Luqman dalam gementar suaranya.
            Aku tahu, dia juga sebak menerima kenyataan yang akan terbentang di depan mata. Biar setabah mana pun dia, dia juga manusia seperti aku. Ada perasaan. Aku genggam erat tangannya. Tanpa suara, dia membalas genggaman tanganku. Tanpa suara juga, dia melajukan larian kereta ke hospital.
------------------------------------------
“ Ita, I’m sorry. Your baby memang dah tak ada. Innalillah. Kita kena induce sebab kalau dibiarkan nanti banyak pula complication."
Aku hanya mengangguk perlahan sebaik sahaja Dr. Rabitah, pakar perbidanan dan sakit puan di HKL tersebut selesai berbicara. Mata aku menatap wajah Luqman. Dia merenungku tanpa kata, dia memegang tanganku erat.
“ Abang temankan Ita masuk delivery room,” ujarnya perlahan.
Aku tahu dia bersedih. Aku hanya mengangguk perlahan. Bila aku didorong masuk ke bilik bersalin, dia menggenggam erat tangannya. Dia mengusap kepalaku dengan penuh kasih, mengucup dahiku bila keringat memercik dari dahi menunggu seorang hamba Allah keluar dari rahimku.
Debar di hati masih ada. Debar untuk melihat wajah buah cinta kami. Tapi debar kami berbeza dengan debar pasangan suami isteri yang lain. Mungkin kerana kami tahu, kesempatan kami melihatnya hanya hari ini. Selepas ini dia akan pergi jauh dan tinggal dalam lipatan kenangan.
Pengalaman melahirkan buat kali pertama yang membuatkan aku dan Luqman berlinangan airmata. Buat pertama kalinya aku merasai pengalaman sebegini yang tanpa sedar melontar rasa sedih kerana tidak sempurna sebagai isteri pada Luqman.
“ Alhamdulillah. Semuanya dah selesai.”
Dr.Rabitah lincah menyelesaikan tugasnya. Aku tahu dan maklum Lutfi sudah keluar dengan selamat. Cuma, keluarnya dia tanpa suara. Tanpa tangis bayi baru lahir dan tanpa azan dari Luqman sebagai bapa. Hanya suasana sunyi dan sepi yang menyelubungi. Cuma dipecahkan dek suara tangis ibu dan ayahnya kerana terhad benar waktu untuk kami bersama.
“ Abang, maafkan Ita,” suaraku lemah.
Luqman menggeleng kepala. Bila Dr.Rabitah menghulurkan Lutfi yang sudah dibersihkan pada Luqman, Luqman terpaku seketika. Dia menghadiahkan ciuman pada bayi kami sebelum disuakan pada aku.
“ Ya Allah, kami redha dengan takdirmu. Muhammad Lutfi Hakim, nantikan ibu dan ayah sebagai wildan di syurga,” hanya kata itu yang terkeluar dari mulutku.
Lama aku hadiahkan ciuman pada wajah mulus itu. Bila dia dibawa pergi, rasa sebak kian mencengkam.
“ Ya Allah, berikan kekuatan kepada kami menerima dugaan-Mu ini.”
Itu doaku dalam airmata yang kian panas membasahi pipi. Aku redha dengan apa yang telah kau tentukan padaku biarpun sebenarnya aku ingin mendengar tangisan Lufi, aku ingin memeluknya erat, aku ingin menyusukannya dan aku ingin melihat dia membesar di depan mataku. 
“Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T.”
Sungguh, aku ingin merasa betapa istimewanya menjadi wanita yang bergelar ibu. Namun aku sedar, belum waktunya aku merasai semua itu. Aku redha dengan takdir-Mu, Tuhan Maha Tahu.

1 comment:

MaY_LiN said...

ada..
intronye sedih
smg d beri kelapangan utk smbg lg eh