@rubiadaibrahim

Tuesday, May 24, 2016

Bukan Buruh Biasa


              Bismillah

             “ Bunda, bangun. Kakak nak pergi toilet ni.”

             Suara Atfiya sayup-sayup kedengaran di cuping telinga. Aku mengerling jam dinding, baru jam 5 pagi.

               “ Bunda, cepatlah. Kakak takut,” rayu Atfiya lagi sambil menggoncangan bahuku.

Aku cuba membuka mata. Ya ALLAH, beratnya nak melawan mengantuk.

“ Kakak masuk dulu toilet. Bunda tengok dari sini boleh. Kalau takut buka pintu ya.” balasku lambat-lambat.

Laju Atfiya turun dari katil, agaknya dah tertahan menunggu aku bangun. Timbul rasa simpati melihat mukanya yang masih teragak-agak di depan pintu. Biasanya dia anak yang berani.  Jadi penakut ini pun gara-gara cerita hantu zaman sekolah dari Farah malam tadi. Disebabkan takut jugalah, Atfiya menemani aku tidur malam tadi, takut bunda kena sorok katanya.

“ Bunda, kakak dah ambil wudhuk. Nak ikut bunda solat boleh?.”

Kata-kata mengembalikan aku ke dunia nyata. Aku mengangguk dalam rasa kantuk yang masih terasa. Kepala Atfiya aku usap sambil tersenyum manis.

“ Kakak kejutkan abang ya bunda,” tambah Atfiya bila melihat reaksi positifku.

Mata aku makin terbuka luas. Ya ALLAH, terima kasih kerana menghantar malaikat kecil ini kepada kami. Fayyadh, anak sulung masih lena di tempat pembaringan ayahnya. Perlahan-lahan Atfiya menghampiri abangnya dan mengejutkan bangun. Aku masuk ke bilik air. Biasanya waktu sebegini memang aku sudah bangun, mengerjakan solat sunat. Kebiasaannya Ateeya dan Fayyadh, si kembar juga akan menyertai kami jika mereka terjaga.

Aku mencuci muka dan mengambil wudhuk. Usai aku mengambil wudhuk, Fayyadh sudah berdiri di muka pintu bilik air. Dia melemparkan senyuman manisnya sambil menghulurkan tangan mahu aku mendukungnya. Manja betul anak teruna seorang ni. Kalah adik perempuannya yang lebih berdikari dan otai tu.

“ Abang, tak mahu manja-manja. Kesian bunda nak dukung abang berat.”

Amaran Atfiya membuatkan Fayyadh mencebikkan bibirnya. Aku ketawa kecil, sejak dari kecil si adik selalu bersikap lebih matang dari abangnya. Kadang-kadang aku juga keliru mana satu yang lahir dahulu. Atfiya memang lebih matang fikirannya, adakala macam mak nenek pula gelagatnya. Dari jauh aku perhatikan Atfiya sudah bercekak pinggang, garang betul raut wajahnya. Aku masih di bilik air menemani Fayyadh hingga selesai urusannya, memerhatikan dia membasuh muka hinggala ke kaki.

Aku tersenyum puas. Fayyadh memimpin tanganku ke sejadah yang sudah terbentang. Telekung untukku, ketayap kecil untuk Fayyadh semuanya sudah disediakan. Tak henti rasa syukur dengan nikmat kurniaan Tuhan pagi hari yang hening ini. Betapa ALLAH menyayangiku dengan mengirimkan sepasang cahayamata yang soleh, impian setiap insan. Betapa 6 tahun ini sangat indah dengan gelak tawa dan tangis mereka setelah penantian penuh debar selama 9 bulan dalam rahimku.

Alhamdulillah, syukur pada-MU Ya ALLAH.

Biarpun hari ini dia, belahan jiwaku jauh dari mata namun tugasnya diambil alih pula oleh sepasang buah hati kami. Dia yang membiasakan keduanya bangun pagi, di hening pagi memanjatkan syukur pada ILLAHI RABBI, kerana masih memberikan kami nikmat Iman dan Islam shingga ke hari ini. Dan sungguh, rasa sayang dan cinta kami bertambah dengan rutin ini setiap hari.



Usai solat Subuh, Fayyadh dan Atfiya tidur kembali. Bimbang kalau mereka mengantuk di kelas Tadika dan tidak dapat menumpukan perhatian ketika belajar. Lagipun keduanya masih kecil lagi, nanti sedikitlah baru kami tekankan bab disiplin dan lainnya. Dulu pun zaman muda, aku bukannya rajin sangat bangun awal terutamanya waktu cuti. Selagi matahari tak tegak atas kelapa, selagi itulah aku melayan tidur. Dah jadi isteri dan mak orang ni, kenalah buang perangai buruk tu jauh-jauh. Kalau tidak, manalah suami nak sayang kan?

Sebut pasal suami tersayang, dia sekarang tak ada di bumi Malaysia sekarang. Dah tiga hari terbang ke negeri orang. Kali pertamanya dalam perkahwinan kami, dia berkelana jauh tanpa membawa kami bersama. Kalau dulu, semua anak isteri diangkut sekali walaupun jauh beribu batu. Tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang katanya. Sekarang? Sekarang dah tak boleh buat begitu, manalah larat nak melayan anak yang tengah melasak. Lagipun Iman Atfiya dan Ihsan Fayyadh dah masuk sekolah, takkan la nak ponteng selalu. Kenalah ikut perangai mithali bundanya yang tak pernah ponteng sekolah ni..(Perangai perasan ni jangan kecam ya!.”

Aduhai, penatnya menanggung rindu. Sepatutnya dia dah telefon sekarang. Dah lebih sejam menanti, masih belum ada khabar…Ini sah kes tertidur sebab penat sangat ni. Maklumlah jetlag satu hal, duduk dalam salju satu hal. Sah, terlupa anak binilah tu.Wa, sedihnya.

“ Bunda, bangun. Ayah online,” kejut Atfiya lagi.

Aku terpisat-pisat membuka mata. Facetime dari Faizal Adli, nun jauh dari Paris. 6 jam perbezaan masa, kalau sekarang pukul 6.30, maknanya di sana 12.30 malam. Jap-jap, dia belum tidur atau aku yang tertidur ni?

“ Kakak cakap dulu dengan ayah. Bunda nak cantik dulu,” kataku bersahaja.

Muka Faizal terpampang di skrin telefon, Aftiya tersenyum senang. Aku melarikan diri ke bilik air sekejap, mencuci muka dan mencalitkan lipbam di bibir. Takkan nak nampak muka selebet di kan?

“ Ayah bila nak balik? Kakak dah rindu.”

“ 3 hari lagi sayang, abang mana kakak? Tidur lagi ke,tak mahu sekolah ke hari ni,” balas Faizal.

“ Lamanya 3 hari ayah. Abang tidur lagi, sekejap lagi kakak kejutkan.”

Faizal menyeringai ketawa bila Atfiya mengalihkan telefon ke arah abangnya yang masih tidur. Jelas terdengar Faizal menghadiahkan ciuman kepada anak lelakinya. Jeles maknya ni okay!

Telefon beralih tangan, Faizal terkejut melihat muka aku pula yang muncul.

“ Lambatnya nampak muka sayang hari ni. Selalunya tak bagi can dekat anak-anak,” selorohnya.

“ Hari ini sayang mengalah sebab terbangun lambat hari ini. Segan anak-anak yang kejut tadi. Ini pun kakak yang kejutkan. Kalau tidak, sampai sudah sayang ingat abang lupa kami dah,” aku menjelaskan hal sebenar kepadanya.

Faizal tersengih sambil kecil.

“ Mana boleh lupa. Separuh hati tinggal kat sana kot.”

Romantis benar suaranya. Itulah suara yang membuatkan rindu makin menggunung.

 Sayang okay tak? Lately nampak penat sangat, abang cuba contact tadi dari pukul 4 tapi tak ada respon. Tak senang duduk risau ni.”

“ ALLAHU, ye ke. Betul-betul tak sedar abang. Minta maaf ya, kesian abang kena berjaga tengah malam. “

“No problem sayang. Malam masih mudah ni. Boleh lagi kalau nak mencuci mata,” guraunya.

“ Abang, jangan nak buat kerja mengarut.”

Dia mengekek ketawa. Memang hobinya mengusik aku. Satu lagi hobi memujuk aku bila merajuk.

“ Abang gurau jelah sayang. Okay tak ni? . Itulah abang suruh duduk rumah mummy tak mahu. Kalau tidak, okay sikit,” tingkahnya.

“ Insyaallah okay. Everthing is under control. Jangan risau, Farah ada temankan. Lagipun malas nak angkut rumah ni ke sana.”

Faizal tergelak senang. Maklum sudah sikapku yang suka berdikari. Memang dari dulu, aku tak gemar menyusahkan keluarga. Selagi termampu, biarlah kami urus semuanya sendiri. Kalau tidak boleh elak sangat, barulah aku menumpangkan kembar di rumah mentuaku. Kalau boleh, biarlah mereka membesar di depan mata. Nak pula sekarang memegang status isteri dan ibu sepenuh masa, lagilah bertambah sikap degilku. Pening jugalah Faizal melayan CikPuan Huda Diyana ini.

                10 minit saling bertatapan wajah dek kejauhan cukup menghantarkan rasa rindu padanya. Biasanya dia akan menghubungiku 2 kali sehari. Sekali sebelum masuk kerja atau mesyuarat, kali kedua sebelum tidur. Kali ini agak pendek sebab dah berkali-kali dia menguap menahan mengantuk. Maklum jugalah jadualnya yang padat bertemu dengan wakil antarabangsa di sana. Bila aku menyuruhnya berhenti bercakap dan tidur, laju dia mengucapkan terima kasih. Ketawaku pecah melihat gelagatnya. Hanya satu yang memusyilkan aku, kenapa dia yang menguap di sana tetapi aku pun rasa berat sangat mata di sini?..Dah kenapa ya?

-----------------------------------------------

                ALLAHU.

                Lemah betul badan aku rasakan. Tak pernah rasa begini sebelumnya. Mungkin sebelum ini, kerja rumah di bantu Faizal, aku rasa kuat dan semangat. Bila dia jauh, semangat semuanya jatuh merudum. Balik dari menghantar si kembar ke sekolah, aku hanya terbaring lesu di ruang tamu. Tak tahu nak mulakan kerja rumah dari mana dan bagaimana nak melawan perasaan tak rajin ni…Alahai.

                “ Kak Huda pergi butik tak hari ni,” tegur Farah sambil menikmati sarapan.

                Bila dia muncul di ruang tamu pun aku tak sedar. Sedar pun bila dia menyuakan mug berisi air Milo kepadaku.

                “ Insyaallah. Kenapa tanya?,” soalku kembali.

                Aku memandang Farah dengan muka pelik.

Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pula dia ni.

Sejak Faizal melarangku kerja panjat-memanjat di tapak pembinaan, aku mula menghaluskan perwatakan dan mengubah laluan kerjaya. Menjadi co-founder Butik Karsma bersama Farah dan ibu mertuaku membuatkan masa aku lebih terisi. Kalau tidak, memang mati kutulah aku di rumah.

“ Taklah saja tanya, akak nampak lemah sangat. Rindu 100% dekat abang ya?,” guraunya.

Laju aku menggangguk. Bab rindu jangan tanya, sebab seminit tak nampak pun rindu-rinduan.

Ini kan pula beribu batu jaraknya..Alahai sayang!

“ Kalau akak tak larat, tak payah pergilah kak. Mummy dengan Farah boleh handle. Lagipun hari ni tak busy sangat pun. Nak restock tudung dengan shawl design baru tu je..Akak rehat jelah dekat rumah. Nanti tenghari Farah hantar makanan.”

“ Okey. Terima kasih banyak-banyak Farah. Kirim salam and say sorry to mummy ya. Kalau petang nanti, akak rasa okay, akan sampailah dekat sana,” balasku penuh berharap.

Tinggi harapan agar kesihatan dan kekuatanku kembali. Seminggu Faizal pergi, seminggu jugalah aku begini.

“ Akak rehat je di rumah. Tak payah risaulah dobi mendobi, kemas-mengemas tu. Nanti tengahari Farah balik, kita buat sama-sama. Fayyadh dengan Atfiya, Farah jemput dari tadika nanti.”

Kata-kata Farah membuatkan aku tenang seketika. Mujurlah ada Farah, bolehlah dia menolong apa yang patut. Memang permintaan Faizal mahukan Farah menemani aku sepergian dia ke negara orang. Walaupun awalnya aku protes, sekarang barulah aku faham erti tindakannya. Dalam diam, aku mengucap terima kasih atas pengertiannya.

Farah berlalu perg. Meninggalkan aku merenung nasib sendiri. Entah kenapa aku jadi lemah begini. Padahal selepas melahirkan kembar, aku cergas dan sihat sahaja. Memanglah melalui detik kehamilan yeng mencemaskan, namun berjaya aku lalui fasa kritikal itu dengan cemerlang. Ya berkat sokonngan dari suami dan keluarga kami.

Cuma saat ini memang kritikal betul rasanya. Baru mengemas sedikit, penatnya mengalahkan berlari marathon. Kadang-kadang tak sedar, aku tertidur selesai aku solat. Ingatkan menonton televisyen, sudahkan drama yang tengok aku. Dulu pukul 12 malam mata masih segar, sekarang pukul sepuluh dah terpejam. Bab solat sunat di awal pagi, memang harapkan Atfiya dan Fayyadh yang kejutkan. Kalau tidak, berapa harilah aku tinggal tahajjud.

Tinggal solat malam?

Tinggal solat?

Tinggal mengaji A-Quran..

ALLAHU, aku terkedu..

Lama aku memifikirkan asbab dari perubahan diriku ini. Dalam sebulan ini, memang aku tak pernah tinggal solat sekalipun. Berjaya juga khatam Quran sekali sebulan seperti aku hajatkan dan lumba siapa dulu khatam dengan Faizal bulan lalu. Aku terpempam. Laju tanganku mencapai telefon, melihat calendar kesuburan dari aplikasi di telefon.

Kalaulah lambat, maksudnya?

Kalaulah bersih, ertinya?

Jangan-jangan ada rezeki yang datang menyapa.
Kata orang, rezeki jangan ditolak. Cuma kalau rezeki ini membuatkan dia memilih antara dua sanggupkah dia. Tak semena-mena, ingatan aku menerawang teringatkan peristiwa lalu. Sanggupkah dia menghadapinya untuk kali kedua?
 -----------------------
 Salam alaik. Selamat membaca, kalau pernah baca nama dan watak di atas, tahulah ni kesinambungan kisah apa..Memandangkan sekarang dah ada sikit pengetahuan pasal mengandung ni, eloklah kita bercerita sambil berkongsi ilmu ya. Cerita ini adaptasi dari real story yang terjadi pada pesakit saya. Moga bermanfaat.

3 comments:

MaY_LiN said...

yeayyyy
huda n faizal

Ainulrida said...

Rindunya nak baca nukilan awak ....

cactaceous opuntia said...

akhirnya Dr. Rubi...tq!!!